Halaman

Khamis, 5 Disember 2013

Bantuan banjir: Tiada diskriminasi

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Kuantan,  Fuziah Salleh yang mengatakan kerajaan bersikap diskriminasi terhadap pemimpin pembangkang berhubung misi bantuan mangsa banjir di kawasan itu.

Menurutnya, kerajaan tidak akan berbuat demikian kerana ia melibatkan perkara serius di mana rakyat perlu diberi keutamaan.

“Jangan bersangka buruk. Dalam soal ini kerajaan tidak akan mencampuradukkan isu politik kerana apa yang penting adalah bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

“Apa yang dikatakan beliau (Fuziah) itu tidak benar. Dalam beri bantuan, kita tidak mengira latar belakang politik pemimpin,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Terdahulu, Fuziah memberi kenyataan bahawa pemimpin pembangkang tidak dipanggil untuk sertai mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dalam membantu mangsa banjir.

“Kami lihat ia sebagai satu diskriminasi di mana kami tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat itu sedangkan kita perlu duduk bersama untuk mengetahui keadaan rakyat yang ditimpa banjir.

“Dalam hal ini, mereka mahu rakyat melihat kami tidak mampu berbuat apa-apa. Tapi saya percaya rakyat ini lebih bijak dan tidak akan tertipu dengan perkara seperti ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai usul tergempar pengisytiharan darurat ekoran banjir di Kuantan dari Fuziah yang ditolak Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam persidangan semalam, Shahidan memberitahu ia tidak seharusnya berlaku.

“Sebenarnya usul itu tidak perlu lagi. Semua wakil rakyat yang terlibat dengan banjir perlu balik ke kawasan masing-masing untuk bantu mereka yang memerlukan.

“Mereka perlu maklumkan kepada kita bantuan yang diperlukan. Bukan kita mahu publisiti tapi mahu bantu rakyat,” katanya.

Pada masa yang sama, Shahidan memberitahu beberapa bantuan telah dikerah bagi membantu mangsa banjir terutamanya di kawasan yang terjejas teruk.

“Kita sudah hantar dua helikopter dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan enam bot tambahan dari MKN untuk mengeluarkan mangsa di Kuantan ke tempat yang disediakan.

“Selain itu, bantuan makanan juga telah di disalurkan kepada mereka. Saya berterima kasih kepada sukarelawan dan menyeru lebih banyak sukarelawan untuk muncul bantu mangsa banjir,” katanya.

'Salahkan media amalan biasa LGE'

Bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Mohd Isa Samad menganggap tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyalahkan media kononnya tersalah tafsir kenyataannya berhubung larangan penayangan filem Tanda Putera bukan sesuatu yang  mengejutkan.

Beliau yang juga Pengerusi Felda berkata sudah menjadi amalan pemimpin berkenaan menjadikan media sebagai sasaran setiap kali kenyataannya mendapat tentangan rakyat.

"Dahulu semasa menjadi pembangkang mereka sering membuat bantahan kerana tidak ada kebebasan bersuara, namun kini apabila telah menjadi kerajaan, mereka lupa apa yang diperjuangkan.

"Jadi apabila kenyataannya mendapat tentangan orang ramai, beliau akan jadikan media sebagai sasaran dan ini bukan satu perkara luar biasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Felda Lok Heng di sini hari ini yang dihadiri oleh lebih 1,000 penduduk dari kawasan sekitar.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Guan Eng semalam yang menyifatkan media sebagai tersalah tafsir kenyataannya berhubung larangan tayangan filem sejarah arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba iaitu Tanda Putera di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut Isa berkata, isu berkenaan juga sengaja dicetuskan Guan Eng untuk mengalih perhatian anggota DAP daripada tertumpu kepada soal pemilihan jawatankuasa eksekutif pusatnya (CEC).

"Ini cara melarikan diri daripada isu ini (pemilihan CEC), mereka alih perhatian dengan menceritakan kononnya filem ini memperjuangkan satu kaum sahaja, ini tidak bagus.

"Filem ini berbentuk sejarah dan dia kena terima walaupun sebahagian kecil terasa... kita tidak boleh ubah kerana itu namanya sejarah. Mereka tidak perlu khuatir sebaliknya semua kaum di negara ini sepatutnya mengambil iktibar agar ia tidak berulang," katanya.    Katanya,  semua kaum di negara ini dilindungi dengan perlembagaan negara yang telah dibentuk semasa Malaysia mencapai kemerdekaan dan semua pihak seharusnya menghormati kontrak sosial yang termeterai.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Isa berkata, Felda akan mengadakan satu seminar tentang Syiah pada 9 Sept ini di ibu negara bagi menyedarkan masyarakat Felda tentang bahayanya fahaman itu.

"Seminar yang dijangka akan disertai kira-kira 500 peserta terdiri daripada pemimpin dan ketua peneroka dari seluruh negara ini, diadakan bertujuan untuk menjelaskan kepada mereka mengenai Syiah dan mengapa ia berlawanan daripada Sunnah Waljamaah.

"Jadi kita harap selepas memperoleh pengetahuan itu, mereka balik dan dapat menerangkannya pula kepada anak buah untuk mengelakkan fahaman ini menular di kawasan Felda," katanya.

Bagaimanapun, setakat ini beliau belum menerima sebarang laporan berhubung wujudnya amalan Syiah di kalangan peneroka Felda. - Bernama

Guan Eng Kena Positif

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak perlu berfikiran negatif mengenai isu penjualan air mentah dari Kedah kepada Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Guan Eng seharusnya bersangka baik terhadap isu itu demi kepentingan rakyat di kedua-dua negeri.

“Saya rasa Guan Eng mungkin sudah salah faham. Kita bukan mahu menekan Kerajaan Pulau Pinang melakukan sesuatu yang mereka tidak mahu.

“Sebaliknya, apa yang kita nak buat adalah mungkin boleh beri manfaat kepada kedua-dua negeri iaitu pendekatan menang-menang bagi kedua-dua pihak,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 280 guru al-Quran sukarela, mudim dan bidan kampung di Masjid Al-Muttaqin Pida 3 di sini, kelmarin.

Mukhriz turut melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Guan Eng sebelum ini yang menolak tawaran itu sebelum mengadakan rundingan.

“Oleh kerana Guan Eng mengesyorkan agar saya sendiri berjumpanya, saya tidak keberatan melakukannya,” katanya.

PR sedia beri kerjasama selesai isu ketirisan

PR tawar kerjasama dengan kerajaan untuk membentuk sebuah majlis bagi membantu menyelesai masalah ketirisan dalam jabatan kerajaan yang didakwa berlaku sejak sekian lama.
    
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, majlis itu akan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Menurutnya, Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) tidak  efektif menyelesaikan masalah itu.

“Penubuhannya supaya tindakan dapat diambil terhadap pegawai yang  menyeleweng.

"Ia juga dapat pastikan reformasi  lebih sistematik dalam jabatan kerajaan," katanya di lobi Parlimen, semalam.

Ketika ditanya adakah  PAC selama ini tidak memberikan sebarang hasil, beliau berkata, PAC hanya mampu mengeluarkan laporan tanpa boleh ambil tindakan tegas.

“Mereka (PAC) hanya sediakan laporan, dan melepas batok di tangga, tetapi selepas seminggu orang akan lupa,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan tidak mengambil iktibar di atas cadangan yang telah dibuat oleh Jabatan Audit Negara.

“Kita lihat saban tahun ada ketirisan dan penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir kerajaan,” katanya.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut menyifatkan, tawaran yang dibuat PR untuk bekerjasama dengan kerajaan adalah bagi mengatasi masalah yang berlaku.

“Saya lihat trend sekarang, laporan audit ini sering kali diberikan pada saat-saat akhir Parlimen. Untuk mengelak ahli parlimen memberi kritikan atau menegur salah guna kuasa yang berlaku.

“Seperti sedia maklum, ahli parlimen PR akan teliti setiap laporan itu.

"Kami akan bahas dalam perbahasan akan datang,” katanya.

Selain daripada pembentukan majlis berkenaan, PR juga mencadangkan pemberian tender terbuka secara kompetitif dilakukan bagi mengurangkan penyalahgunaan kuasa.

Difahamkan PR akan menyerahkan surat rasmi berhubung cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam masa terdekat.

Guan Eng kebal?

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disoal berhubung kekebalan atau imuniti yang dimiliki Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang terus berkeras dengan pendirian parti itu berhubung isu kalimah ALLAH.

Penyelaras Jaringan Muslim Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan didesak selepas ini sekiranya tidak mengambil tindakan terhadap individu yang ingkar dengan perintah mahkamah.

“Sebelum ini ada pemimpin yang menyebut mahu membakar kitab Bible dan beliau diminta untuk memberi keterangan di Bukit Aman, tetapi kenapa Guan Eng yang sering berdegil untuk menggunakan kalimah suci ALLAH tidak dipanggil?

“Apa imuniti yang dia (Guan Eng) ada? Kenapa dia begitu kebal dalam isu ini sedangkan isu ini sangat sensitif. Dia berani mempersendakan kalimah suci ALLAH dan dengan bangga mengatakan pendirian partinya sedangkan mahkamah dah buat keputusan,” katanya kepada media selepas demonstrasi di Masjid Simpang Enam, semalam.

Pihaknya juga memberi amaran kepada Guan Eng dan DAP supaya tidak terus berdegil dengan pendirian mereka itu sekiranya tidak mahu negeri ini dalam keadaan kritikal.

Terdahulu, kira-kira 50 badan bukan kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang mengadakan demonstrasi secara aman di Masjid Simpang Enam dan berarak ke Komtar untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kenyataan Guan Eng sebelum ini.

Demonstrasi melibatkan Perkasa, Persatuan Anak Jati Malaysia (Pajim),  Persatuan Muka Buku dan Gerakan Pelajar Semenanjung (GPMS) itu, sedikit kecoh apabila dihalang anggota polis ketika menyerbu ke tingkat 3 Komtar.
Walaupun dihalang polis,  mereka terus bergegas ke tingkat 3, Komtar dan menyerbu masuk ke pekarangan pejabat serta menghala ke arah lif bangunan itu.

Bagaimanapun dengan usaha polis, mereka akur dengan arahan dan beredar.

Mohamed Hafiz berkata, pihaknya menyokong usaha polis dalam menjalankan tugas namun kecewa apabila Guan Eng langsung tidak diambil tindakan walaupun banyak laporan ke atasnya dibuat.

Sebelum ini, Guan Eng menyatakan pendirian DAP yang bertegas menggunakan kalimah ALLAH yang mana parti itu tetap mempertahankan dan tidak akan berganjak daripada pendirian mereka.

Guan Eng berkata, walaupun Mahkamah Rayuan memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan akhbar mingguannya The Herald, DAP tetap dengan pendirian seperti sebelum ini dan pendirian itu jelas.

Syarikat Tanggung Azabnya

Pembatalan lesen syarikat kawalan keselamatan baru-baru ini adalah sebagai iktibar, amaran dan pengajaran kepada syarikat lain supaya tidak melakukan kesalahan atau melanggar peraturan, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua syarikat kawalan keselamatan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan KDN bagi mengelak sebarang kejadian atau insiden buruk berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 Oktober lepas, KDN mengumumkan pembatalan lesen syarikat kawalan keselamatan yang menggaji pengawal keselamatan terlibat dalam kejadian menembak mati pegawai operasi Ambank di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya, pada 23 Oktober.

Syarikat berkenaan didapati gagal mematuhi syarat dan peraturan pengendalian serta pengurusan agensi persendirian di bawah Akta Agensi Persendirian 1971.

Tapi tidakkah terfikir apa jadi pada nasib yang hilang punca pendapatan berikutan pembatalan lesen syarikat terbabit.Tidakkah ada sikap perikemanusiaan di dalam diri mereka yang membatalkan syarikat berkenaan.??

Isu 'pak guard': Undang-undang perlu ketat

Kelemahan penguatkuasaan undang-undang sedia ada menyebabkan kes melibatkan pengawal keselamatan terus meningkat sejak kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Saheen Mirza Habib berkata, kerajaan perlu sentiasa memantau operasi syarikat keselamatan yang sentiasa mencari peluang untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan keselamatan masyarakat.

"Kerajaan mesti periksa syarikat yang menggajikan pengawal keselamatan.

"Mereka ini, dua tiga tahun lepas menggunakan perkhidmatan warga asing atau pendatang asing tanpa izin (pati) untuk mengaut keuntungan daripada membayar gaji lebih, perkara itu berlarutan apabila tidak ada penguatkuasaan undang-undang.

"Apabila penguatkuasaan tak dilaksanakan, syarikat ini akan buat ikut suka hati dan mereka juga tidak menghantar butir peribadai kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya kepada Sinar Harian Online.

Pada Rabu lalu, media melaporkan satu insiden melibatkan pengawal keselamatan yang memiliki senjata api telah merompak sebuah kedai emas.

Sebelum ini, pengawal keselamatan yang menggunakan kad pengenalan palsu telah menembak mati pegawai sebuah bank dan melarikan sejumlah wang tunai.

Dalam pada itu Saheen berkata, KDN perlu tegas dalam mengambil tindakan terhadap syarikat pengawal keselamatan yang didapati bersalah melanggar syarat yang telah ditetapkan dalam Akta Agensi Persendirian 1971.

"Kalau ada syarikat yang langgar syarat dengan sengaja, patut tarik lesen atau gantung saja lesen," katanya lagi.

10,000 pengawal keselamatan naik ke gred KP17

10,000 pengawal keselamatan naik ke gred KP17


Kira-kira 10,000 pengawal keselamatan di seluruh negara yang kini berada di gred KP11 dan KP14 dijangka dinaikkan ke gred KP17 pada tahun depan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Beliau berkata kenaikan itu adalah wajar kerana tugas yang diamanah dan dipikul mereka dalam skop keselamatan pada masa kini amat mencabar termasuk keselamatan pada bangunan, aset, para pekerja serta pelajar.

Katanya hampir 50 peratus pengawal keselamatan kini berkhidmat di lebih 20 buah institusi pengajian tinggi awam dan selebihnya berkhidmat di enam agensi dan beberapa kementerian di Putrajaya.

"Kita telah adakan bengkel pada bulan lepas mengenai penambahbaikan gred pengawal keselamatan ini dan telah putuskan untuk dijumudkan lantikan mereka kepada KP17," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengawal-pengawal keselamatan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Kampus UTeM di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam sedang membuat semakan mengenai permintaan Cuepacs itu. - Bernama

Gaji YB Naik Lagi

'Saya tunggu respons MB'

Isu kenaikan gaji ahli dewan negeri Selangor yang dikatakan terlalu tinggi membabitkan menteri besar, speaker, timbalan speaker dan Adun boleh dibincangkan pada sidang Dun akan datang sekiranya ada yang ingin membahaskan usul berkenaan.

Speaker, Hannah Yeoh berkata, kelmarin beliau dimaklumkan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) telah meminta kerajaan negeri mengkaji semula kenaikan gaji yang telah dipersetujui pada 27 November lalu.

“Sebagai Speaker Dun, saya tunggu maklum balas kerajaan negeri mengenai hal itu. Dan sekiranya ada yang ingin membahaskannya pada sidang akan datang, Adun boleh berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, difahamkan pimpinan tertinggi PR meminta Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkaji semula kadar kenaikan gaji atas desakan rakyat yang tidak berpuas hati mengenainya.

Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan di pejabatnya di Parlimen selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi yang sekali lagi meminta kajian semula dilaksanakan.

Mesyuarat turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim kit Siang.

Anwar juga ada menegur Abdul Khalid supaya mengkajinya semula tetapi bersetuju dengan kenaikan cuma jumlahnya perlu dikurangkan sebelum ia dilaksanakan.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Azmin Ali juga senada dalam menyuarakan isu berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Shamsudin Lias Isnin lalu juga meminta kajian semula dibuat kerana apa yang disuarakan bukan hanya melibatkan BN, tetapi mewakili suara rakyat.

Beliau akui sudah tidak sempat untuk menangguhkan kenaikan tetapi menyifatkan boleh dikaji semula dan akan membawa isu itu pada Sidang Dun akan datang.

Minggu lalu, dewan negeri meluluskan pindaan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 2013 melibatkan gaji menteri besar naik 106 peratus dari RM14,175.15 kepada RM29,250 bermula 1 Januari.

Gaji speaker (RM6,109.29 kepada RM22,500), timbalan speaker (RM3,327.50 kepada RM15,750), Exco (RM6,109.29 kepada RM20,250) dan Adun (RM6,000 kepada RM11,250).

Tumbuk Wanita Umno, bon jaminan dilanjut

Mahkamah Majistret Yan, kelmarin melanjutkan bon jaminan ke atas seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang ditahan di sekitar kawasan Ulu Sedaka, di sini pada 4 November lalu kerana disyaki terlibat dalam kes tumbuk seorang Anggota Jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Batu.

Insiden itu berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Ulu Sedaka, di sini pada hari mengundi PRK Dun Sungai Limau yang lalu.

Tertuduh diwakili peguam, Muhamad Afif Abdullah dan Ahmad Taufiq Baharum.

Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat turut hadir untuk melihat sendiri proses perbicaraan tersebut berlangsung.

Muhamad Afif berkata, mahkamah hanya melanjutkan bon jaminan terhadap tertuduh kerana pertuduhan belum dibacakan di hadapan majistret.

“Kes ini ditangguhkan kerana kertas pertuduhan belum dibacakan di hadapan majistret kerana saya difahamkan, pihak pendakwa belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan tersebut.

"Hanya bon jaminan tertuduh sahaja dilanjutkan sehingga 6 Januari depan,” kata Muhamad Afif kepada Sinar Harian.

Pray For Kuantan



Setiap yang terjadi ada hikmahnya.Mungkin bila terlalu mengejar keduniaan, akhirat di lupakan.

Banjir Teruk Di Pahang

Banjir Pahang

Inilah keadaan banjir teruk di Pahang.Harap mereka bersabar dengan bencana yang menimpa ...

Jangan Keruhkan Lagi Keadaan

Polis hari ini meminta orang ramai agar tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan melalui media sosial kononnya air akan dilepaskan dari empangan di negeri-negeri yang sedang dilanda banjir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebaliknya menasihatkan orang ramai agar mendapatkan maklumat tepat mengenai kejadian banjir daripada sumber yang sah.

"Media sosial boleh dibaca, tetapi jangan percaya bulat-bulat...dengar daripada sumber yang sah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Khalid pengumuman mengenai banjir akan dilakukan pihak berkuasa dan media arus perdana.

Beliau turut menasihatkan mangsa banjir supaya mematuhi arahan polis, pasukan bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam sekiranya diarah untuk berpindah.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata siasatan polis mendapati tiada kesan penderaan terhadap mayat tiga beradik perempuan yang ditemui mati di Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, Kedah pada Sabtu dan Ahad lepas.

"Setakat ini, siasatan tidak menunjukkan tanda penderaan, tetapi keadaan mayat ditemui itu meragukan kami walaupun sebab kematian ketiga-tiganya adalah lemas, jadi polis mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh," katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes terbabit.

Dalam kejadian itu, mayat Puteri Nurul Akma, 3 dan Nur Izzati Husna, 12 ditemui pada 3.45 petang Ahad lepas dalam terusan Mada di Kampung Padang Tani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari tempat mayat kakak mereka Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui di sawah Kampung Alor Senibong, Langgar pada petang Sabtu.

Tiga beradik itu keluar dari rumah mereka dengan motosikal ditunggangi Nor Syafikah Nadia pada 7.30 malam, Jumaat lepas dan tidak pulang selepas itu.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan. - Bernama

Smart Saver VsTarif Elektrik

Cadang TNB perkenal skim ‘Smart Saver’


Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu memperkenalkan skim ‘Smart Saver’ untuk kumpulan berpendapatan sederhana yang tinggal di bandar kerana ia berupaya mengurangkan beban mereka selepas pelarasan kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa 1 Januari 2014. 

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata ini kerana sistem diguna pakai di Australia itu membolehkan pengguna menikmati diskaun jika membuat bayaran awal bil elektrik bulanan mereka. 

“Kenaikan tarif elektrik bukan saja memberi kesan kepada peningkatan bil elektrik rumah, tetapi juga kenaikan harga barang, selain kemungkinan peningkatan tambang pengangkutan awam.

“Jadi, Smart Saver ini dapat membantu mengurangkan beban pengguna berpendapatan sederhana, namun ia hanya tertakluk kepada pelanggan biasa dan bukannya dalam kalangan sektor industri.

Harap jangan hnya cakap sahaja,tapi tindakan perlu diambil.

Ustaz Kazim Tak Pilih Pas Ataupun Umno

'Saya tidak mahu UMNO, PM difitnah'

Ustaz Kazim tak jadi Ahli MT kerana komitmen terhadap Al-Barakah, aktiviti dakwah

Pendakwah bebas dan penceramah terkenal, Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali Ustaz Kazim pada ceramah agamanya di Taman Ria, Sungai Petani, Kedah, malam kelmarin membuat pengumuman tidak menerima pelantikan sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Beliau pada temu bual bersama media di Pejabat Pusat Pendidikan Al-Barakah, Manjoi, di sini, semalam memberi penjelasan mengenai perkara itu.



Sekarang, saya tidak memakai baju UMNO atau PAS. Saya hanya bercakap bersandarkan hadis dan al-Quran” Mohammad Kazim Elias, Pendakwah bebas