Halaman

Khamis, 13 Jun 2013

Penulis 'anonymous' sebar fitnah gugat keharmonian

 Kewujudan penulis 'anonymous' (tanpa nama) di media sosial yang mengambil peluang menyebar maklumat berunsur fitnah boleh merosakkan keharmonian negara, berbeza dengan media arus perdana yang berpegang kepada etika kewartawanan.
   
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam memastikan perjalanan media sosial tidak terus disalahguna, rakyat harus berpegang kepada prinsip dan nilai tanggungjawab terhadap apa jua maklumat yang disiarkan.
   
"Untuk itu saya ingin lontarkan kepada rakyat dan kalangan pengguna media sosial mencadangkan bentuk kawalan positif yang perlu dilaksanakan bagi memastikan nilai kebertanggungjawaban itu dan maklumat yang disampaikan tidak melangggar undang-undang.
 
 "Cadangan yang dikemukakan itu biarlah tidak bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia yang menegaskan tiada tapisan terhadap internet," ketika berucap pada Malam Kewartawanan Malaysia 2013, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kebebasan bersuara harus sesuai dan sepadan dengan identiti jati diri Malaysia yang sinonim dengan sifat budi bahasa dan nilai-nilai murni.
   
Beliau berkata, kebebasan menyuarakan pelbagai pendapat berbeza dapat dilakukan secara bijaksana serta dapat menghakis rasa tidak percaya dan perasaan syak wasangka yang melampau.
   
"Untuk demokrasi benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada di antara kita yang menyimpang mahupun menyalahgunakan kuasa," katanya.

Tambah Najib, tuntutan kebebasan bersuara di negara ini bukan sahaja berpunca daripada kesan globalisasi, tetapi dirangsang oleh akses kepada kemudahan infrastruktur internet, peningkatan taraf sosioekonomi dan tahap pendidikan.
   
Tegas Perdana Menteri, rakyat harus mahu dan mampu memanfaatkan kebebasan bersuara dengan menyalurkan maklumat yang tepat dan tidak mengelirukan.

"Kebebasan bersuara yang berpaksikan jati diri Malaysia akan menghadirkan semula perkongsian dialog-dialog penting di antara pelbagai kumpulan yang ada walaupun berbeza pendapat," katanya.
   
Najib dalam pada itu berkata, landskap media dan organisasi berita di negara ini telah mengalami perubahan yang amat pesat dengan kehadiran media dalam talian melengkapi media cetak dan media elektronik sedia ada.
   
Sementara itu, Perdana Menteri melahirkan penghargaan dan pujian kepada para wartawan yang telah melakukan tugas mereka secara beretika dan bertanggungjawab semasa PRU13 lalu.
   
Katanya, demokrasi media dan kebebasan bersuara benar-benar menjadi kenyataan dan penggunaan sepenuhnya kesemua jenis media itu dapat disaksikan semasa musim pilihan raya.
   
Bagaimanapun, katanya, penyebaran pelbagai bentuk pembohongan, fitnah dan hasutan kebencian dalam media sosial semasa musim pilihan raya tidak harus dibiarkan berleluasa kerana akan mendatangkan kesan buruk kepada masa depan negara.
   
Najib turut menyeru para wartawan untuk bijak mengetengahkan isu-isu seperti perpaduan dan usaha Malaysia untuk membangun sebagai sebuah negara yang berjaya, dalam usaha membetulkan semula perspektif dan persepsi orang ramai.
 
"Sebagai wartawan, saudara dan saudari turut mempunyai peranan iaitu dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
   
"Marilah kita bersama-sama berganding bahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi supaya keamanan dan kemakmuran yang dikecapi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia," katanya.
   
Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2012 termasuk pemenang Hadiah Kajai, Sophia Ahmad dari Berita Harian. - Bernama

Zuraida dedah isu pelantikan Saifuddin

Kepimpinan PKR Selangor  masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung mengenai pelantikan Datuk Saifuddin Nasution sebagai pegawai seranta politik  (political liason) negeri Selangor.
Perkara tersebut didedahkan Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamarudin yang menegaskan beliau serta pemimpin lain termasuk Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali tidak dimaklumkan berhubung pelantikan tersebut.

“Kepimpinan daripada pihak negeri (setakat ini) kami tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenai perkara ini, serta skop kerja yang akan dilakukan oleh beliau.

“YB Azmin kembali hari ini (semalam). Kita akan duduk berbincang apakah ia (pelantikan dan jawatan) tersebut sebenarnya,” katanya dalam sidang media semalam.

Pelantikan Saifuddin  mewakili PKR sebagai political liason yang bakal ditubuhkan dalam masa terdekat diumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penutupnya semasa Kongres Nasional ke-9 PKR.
Jawatan tersebut bakal ditubuhkan bagi  mengendali hal ehwal politik dalaman negeri sekali gus membantu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tanpa mencampuri pentadbiran awam atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR bagaimanapun berkata, PKR serta kepimpinan lain mengalu-alukan pelantikan tersebut jika benar ia dibuat demi kepentingan urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Dalam perkembangan lain, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang turut mendakwa karenah birokrasi Kerajaan Negeri yang diterajui Menteri Besar menyebabkan urusan penyaluran dana dalam penyelesaian masalah rakyat terbantut.

Menurutnya, beberapa masalah rakyat yang dikenal pasti terbengkalai lantaran kelewatan maklum balas daripada pihak Kerajaan Negeri.

“Kami berharap masalah rakyat yang dikenal pasti terbengkalai lantaran kelewatan maklum balas daripada pihak Kerajaan Negeri.

“Polisi dan dasar yang digubal oleh Kerajaan Negeri dapat meningkatkan komunikasi untuk mendapatkan maklum balas dengan ahli Parlimen dan Adun juga Ahli Majlis,” katanya.

Antara masalah tersebut adalah isu air, kekerapan dan kapasiti pengutipan sampah, pembersihan kawasan awam dan longkang, jalan berlubang serta masalah lampu jalan.

Selain itu, Zuraida turut meminta Kerajaan Negeri menyemak kembali dana terkumpul berjumlah RM2.6 billion dan menyalurkan dana tersebut dengan lebih teliti.

'Speaker tak ada hak boikot'

Ahli parlimen PR khususnya PKR tidak gentar jika hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekiranya mereka tidak mengangkat sumpah pada 24 Jun ini.

Sebaliknya Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kenyataan Tan Sri Pandikar Amin Mulia kelmarin tidak mengikut perundangan malah Speaker sendiri tidak boleh menolak majlis angkat sumpah pada tarikh lain yang dipersetujui ahli Parlimen PR.

"Itu adalah satu kenyataan yang tidak mengikut undang-undang yang dibuat oleh Speaker Parlimen, dan belum tentu pun dia akan jadi Speaker Parlimen.

"Kalau ikut pemahaman dan tafsiran undang-undang yang kita, Speaker tidak ada hak untuk menolak angkat sumpah kerana ahli Parlimen dilantik oleh rakyat.

"... kuasa yang kami ada sebagai mewakili kuasa rakyat tidak boleh dibatalkan hanya kerana seorang Speaker tunjuk lagak untuk tidak mahu menerima angkat sumpah kita," katanya kepada Sinar Harian Online, di Ibu Pejabat PKR, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Speaker Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa jika ahli parlimen pembangkang memulaukan majlis angkat sumpah dan tidak hadir selama enam bulan berturut-turut di Parlimen, mereka akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Malah katanya, beliau juga boleh bertindak boikot ahli parlimen pembangkang untuk upacara angkat sumpah di hari yang lain.  

"Kalau mereka boleh boikot sistem demokrasi, saya juga akan memboikot mereka jika mereka mahu mengangkat sumpah pada hari lain.

"Ahli Parlimen yang tidak mengangkat sumpah tidak akan dibenar berada dalam Parlimen atau menjalankan fungsi sebagai wakil rakyat," katanya.


Apsal lak speaker tak boleh boikot??ingat mereka nie berkuasa sangat ke???jangan perasanlah Rafizi oii

Cukup-cukup sudah,cukup sampai di sini sahaja pembangkang!!!

 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien hari ini menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang memboikot taklimat di Parlimen semalam, gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13), sebagai tidak bertanggungjawab.
   
Beliau berkata tindakan itu jelas menunjukkan mereka tidak menghormati proses sistem berparlimen yang diamalkan, selama ini.
   
"Sungguh tidak bertanggungjawab, hanya seorang sahaja daripada parti pembangkang yang hadir semalam.
   
"Itu bukan sahaja menunjukkan mereka tidak menghormati Speaker dan proses berparlimen, malah pengiktirafan yang telah rakyat berikan kepada mereka (pembangkang) selepas PRU13," katanya kepada pemberita selepas melawat pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini.
   
Hishammuddin meminta semua pemimpin tidak kira kerajaan mahupun pembangkang untuk berhenti bermain politik dan lebih tumpuan kepada keselamatan dan pentadbiran negara.

"Cukup-cukuplah kita berpolitik...mereka ini masih ingin berpolitik tanpa memikirkan isu yang lebih penting seperti mentadbir negara dan keselamatan dalam negara," katanya.
   
Beliau turut mempersoalkan keikhlasan pemimpin pembangkang untuk mewakili rakyat di Parlimen sama ada hanya mahu menjadi wakil rakyat atau mahu berpolitik.
   
Beliau mengulas tindakan 88 pemimpin parti pembangkang tidak menghadiri taklimat itu kecuali anggota Parlimen Bakri, Er Teck Hwa dari DAP. - Bernama

Dah-dahlah tu pembangkang,tak perlulah semua isu nak dipolitikkan.

Pasal malaun ni BN fail 21 petisyen!!

Tian Chua, Nurul Izzah

Soal kelayakan bertanding calon PKR di Parlimen Batu, Tian Chua antara 21 kandungan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh BN, kelmarin.
Pasukan petugas khas undang-undang, yang diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, Tian Chua yang pernah didenda kerana mengasari anggota polis telah dibenarkan bertanding oleh SPR pada pilihan raya lalu.

Menerusi petisyen tersebut, calon BN, Dr Dominic Lau Hoe Chai, 46, mendakwa Tian Chua tidak berkelayakan bertanding kerana Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara, atas kesalahan mencederakan anggota polis pada 2007.

Katanya, Dominic turut menamakan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Batu, Mustafa Mohd Nor dan SPR sebagai responden.

Selain itu, ujar Hafarizam, BN turut memfailkan petisyen terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di atas kenyataannya mengganggu pengundi supaya tidak mengundi calon BN, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di dalam sebuah laman portal berita.

“Kenyataan beliau itu antara petisyen yang difailkan BN kelmarin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, Hafarizam berkata, tiada tambahan lain buat masa ini untuk BN bagi mengemukakan petisyen baru memandangkan tarikh akhir memfailkan petisyen tamat semalam.

Katanya, beliau yakin petisyen difailkan BN mempunyai asas kukuh serta merit yang wajar dipertimbangkan.

“Setelah mempertimbangkan dan menyaring 50 petisyen pada awalnya serta adanya bukti-bukti kukuh, kemungkinan besar kemenangan berpihak kepada kami,” katanya.