Halaman

Jumaat, 20 Disember 2013

Persona SV Mampu Milik



 PROTON Persona Super Value (SV)

Mungkin ramai yang tidak mengetahui baru-baru ini PROTON Edar telah melancarkan varian terbaru Proton Persona iaitu Proton Persona SV selepas mendapat maklum balas positif daripada pengguna Malaysia terhadap model Proton Saga Super Value yang dilancarkan Jun lepas..

Boleh belanja wang gaji tanpa mohon kebenaran suami

Harta menjadi keperluan pada zaman ini. Bersama ahli panel, Nurul Hidayah Kamarudin dari Pusat Zakat Kuala Lumpur, program Fiqh Wanita yang bersiaran jam 1 petang di TV3 hari ini, membawa penonton memahami lebih lanjut persoalan pembahagian harta pusaka secara faraid. 

Isu yang dibincangkan termasuk harta perolehan isteri yang bekerja kerana perkembangan hari ini menunjukkan wanita tidak dapat lari daripada keinginan mencari harta, memiliki dan membelanjakan harta mereka. 

Persoalan sering ditanya adakah isteri boleh membelanjakan harta seperti gaji diterima tanpa pengetahuan atau perlu meminta kebenaran suami. Jawapannya pasti buat wanita tersenyum kerana mereka boleh dengan syarat untuk memenuhi keperluan asas, tidak membazir dan melanggar syarak. 


Harta bukan milik mutlak 

Hidayah juga menekankan kepentingan umat Islam menyedari bahawa harta bukan milik mutlak seseorang, sebaliknya ia adalah amanah Allah SWT yang akan disoal nanti bagaimana dibelanjakan. 

Diingatkan juga dalam harta yang dimiliki ada hak orang lain yang dikeluarkan untuk membayar zakat. 

Islam juga tidak menghalang umatnya mencari harta serta berusaha menambah melalui pelaburan. 
Namun, perlu mengikut syarat, ia bukan pelaburan yang meragukan (syubhah) dan patuh syariah. 

Bagi wanita, pemilikan harta boleh diperoleh daripada pelbagai punca seperti nafkah yang diberikan suami, mutaah, harta sepencarian, pewarisan dan gaji diterima daripada pekerjaan dilakukan. Ada juga harta dimiliki secara warisan. 

Di sinilah hukum pembahagian secara faraid perlu difahami demi kepentingan memelihara hak waris. 

Tidak dinafikan ada yang melihat hukum faraid tidak adil kerana wanita menerima bahagian kurang daripada lelaki. 

Diskusi Fiqh Wanita bertujuan menyedarkan masyarakat terutama wanita supaya memiliki harta dengan jalan yang benar dan diredai Allah SWT. Memakan harta dengan cara yang batil adalah berdosa besar dan kesannya sehingga ke hari kiamat. 

Yang pasti, ada hikmah di sebalik peraturan ditetapkan Allah SWT dan untuk mengetahuinya perlu difahami secara mendalam. Jika ingin mengetahuinya, semua itu bakal dirungkai panel program Fiqh Wanita.

CARA NAK JADIKAN GAJI ANDA BERKAT

1.Bila hari terima gaji, jangan dilupa ibu dan ayah. Perkara pertama buat, transfer utk mereka dahulu. Banyak atau sedikit, itu tidak penting. Walau mereka berdua mungkin sudah berpendapatan, tetapi berikan kepada mereka sebagai hadiah. Percayalah, duit gaji kita akan cukup! 
2.Jangan dilupa "Tabung Haji", memotong melalui potongan gaji lebih baik. Anda tahu, bila kita sudah mendaftar haji, ia bermakna "Nawaitu" itu telah ada! 
3.Sebagai seorang ayah, ingat kembali urusan anak. Aqiqahkan mereka dahulu, sebelum anda membeli TV LED baru, sebelum menukar sport rim baru!
4.Sebagai seorang isteri yang bekerja, bantulah suami! Tidak salah jika isteri berkata "Duit I, Duit I, Duit suami, Duit I! Tapi, redha itu lebih penting. Suami pula jangan ambik kesempatan atas kebaikan isteri!
5.Sebagai isteri yang tidak bekerja, redha dengan apa yang ada. Jangan merungut! Tiada suami yang mahukan kekurangan dalam keluarga.
6.Lihat ahli keluarga yang terdekat, siapa yang perlu dibantu? Orang susah, anak yatim? Rezeki kita akan sentiasa cukup jika mendahulukan orang yang dekat!
7.Jangan kedekut tetapi jangan pula terlalu boros! Memberi makan merupakan sedekah yang sangat mudah. Sekali sekala, apa salahnya belanja kawan2 *moga bermanfaat pada semua.

~Pesan Ustaz Mohd Nassru Abdul Latif

DBKL Tak Kejam

Prihatin dengan keluhan warga kota, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pengurangan kadar peratusan yang digunakan untuk mengira jumlah Cukai Taksiran 2014.
Menerusi kadar baharu itu, cukai perlu dibayar pemilik rumah pangsa kos rendah di ibu kota dikurangkan kepada dua peratus daripada nilai hartanah, berbanding enam peratus pada masa kini.

Pada masa sama, DBKL memberi jaminan kenaikan cukai taksiran bagi rumah kos rendah dan sederhana rendah, dikenakan pada kadar paling minimum.
Bagi rumah kos tinggi, kenaikan tidak lebih 10 peratus dan tidak lebih 35 peratus bagi bangunan komersial berbanding jumlah yang dibayar pemilik ketika ini.

Turut diumumkan, pemberian insentif dalam bentuk pengurangan cukai taksiran kepada pemilik hartanah golongan kelainan upaya (OKU), pesara dan pemilik yang menghuni kediaman sendiri dan tidak menyewanya.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu diambil bagi mengelak rakyat berasa terbeban selepas penilaian semula hartanah di ibu kota.
Beliau berkata, ia juga mengambil kira bantahan warga kota dan beberapa pihak sebelum ini.

“Saya berharap pengumuman ini dapat meredakan kegusaran pemilik harta. Saya juga akan memastikan DBKL mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memperbanyak penyediaan kemudahan infrastruktur demi kesejahteraan warga kota,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu ke-35, Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang (Greater Kl/KV) di ibu pejabat DBKL di sini, semalam. Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib Tengku Adnan berkata, kira-kira 53,000 pemilik yang mengemukakan bantahan secara bertulis dan lisan sehingga 17 Disember lalu akan dipanggil ke sesi pendengaran Jawatankuasa Mendengar Bantahan Cukai Pintu.

Katanya, individu terbabit berpeluang membayar kadar lama sekiranya dapat membuktikan Nilai Tahunan yang dicadangkan DBKL terhadap hartanah mereka adalah tinggi.

“Jawatankuasa itu boleh mengurangkan lagi Nilai Tahunan itu dan ini seterusnya mengurangkan lagi jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar oleh pemilik,” katanya.

Beliau berkata, bagi pemberian insentif, golongan yang layak perlu mengisi borang permohonan yang boleh didapati di kaunter pembayaran DBKL dan menyertakan dokumen sokongan.

“Bagaimanapun, pemilik perlu menghuni kediaman mereka, bukannya disewa kepada orang lain. Insentif juga hanya boleh diberi kepada satu rumah pemilik sahaja,” katanya.

Tol LSA tak naik

 KESAS Sdn Bhd, pemegang syarikat konsesi Lebuhraya Shah Alam (LSA) menyatakan tiada kenaikan kadar tol di LSA pada 2014.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam, Pegawai Perhubungan Awamnya Khairani Mohamed Salleh berkata, pihaknya berharap masyarakat, terutama pengguna LSA jelas dan tiada lagi perbincangan atau pertanyaan mengaitkan KESAS dalam isu kenaikan kadar tol.

“Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Perhubungan Awam KESAS di talian 03-8025 0808,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kenaikan kadar tol dijangka tahun depan sejajar dengan perjanjian antara kerajaan dan pemegang konsesi.

Tutup suara sumbang

Foto
 Dia beberapa kali bertukar sekolah kerana tidak tahan diejek robot berikutan memakai penyokong besi pada satu kakinya, namun semua kenangan pahit itu lenyap dengan keputusan cemerlangnya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang diumumkan, semalam.
Nur Aliyah Fatihah Hassan, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya, Bukit Jelutong, di sini, tersenyum puas dan bangga bersama ibunya, Balkish Mohd Osman, 45, selepas mendapat A dalam semua lapan mata pelajaran diambilnya.
Dia disahkan menghidap penyakit tulang belakang sejak lahir yang memberi implikasi kepada sistem buah pinggangnya menyebabkan dia tidak dapat mengawal pembuangan air kecil.

Nur Aliyah berkata, dia terpaksa menggunakan tiub untuk menyalurkan air kencingnya ke dalam beg plastik sepanjang masa.

“Setiap hari saya pastikan tiba awal di sekolah bagi mengelak diejek rakan yang lain. Siapa tidak sedih kalau diejek kaki robot, tetapi saya tidak berputus asa.

Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.Setiap kejadianNYA pasti ada hikmah.

1MDB pelawa pelabur sertai Tun Razak Exchange

1Malaysia Development Bhd (1MDB) mempelawa pelabur antarabangsa dan domestik untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan strategik daerah kewangan baru Kuala Lumpur, Tun Razak Exchange (TRX). 

Berikutan minat kukuh yang ditunjukkan peserta tempatan dan global, pemaju utama daerah kewangan baru Kuala Lumpur itu, 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE) semalam secara rasmi menjemput pelabur yang layak untuk mengemukakan cadangan bagi pembangunan Peringkat Satu TRX.

Bagi Peringkat Satu itu, komponen pembangunannya ialah empat menara pejabat termasuk sebuah menara utama, lima menara kediaman, dua hotel lima bintang dan sebuah pusat beli belah. 


1MDB RE terbuka kepada kedua-dua peluang kerjasama (JV) dan jualan plot penuh. 

1MDB RE pegang kepentingan 

Ketua Eksekutif 1MDB RE, Datuk Azmar Talib, berkata bagi majoriti pembangunan TRX, 1MDB RE merancang untuk terus memegang kepentingan ekuiti menerusi kerjasama. 

Jualan tanah, bagaimanapun katanya akan dipertimbangkan mengikut kes dan tertakluk kepada pelan induk. 
Kami gembira dengan minat yang ditunjukkan terhadap TRX. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan pelabur serta institusi berkelas dunia dan mengambilnya sebagai langkah penting ke arah merealisasikan wawasan TRX, katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam. 

Terletak di tanah pegangan bebas perdana seluas 28.3 hektar tidak jauh dari Menara Berkembar PETRONAS, TRX adalah langkah penting ke arah sasaran Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020. 

Pembangunan pelbagai guna di tengah-tengah Kuala Lumpur itu akan membentuk sebuah daerah kewangan antarabangsa baru yang diisi dengan ruang kediaman, peruncitan, santai dan budaya berkelas dunia.

Pastikan bajet seimbang, organisasi tidak perlu berhutang - Raja Nazrin

Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah sesebuah organisasi harus mengamalkan bajet seimbang antara hasil dengan perbelanjaan supaya ia tidak menanggung defisit yang mendorong membuat pinjaman dan menanggung bebanan hutang. 

Baginda bertitah falsafah di sebalik bajet seimbang bukan saja relevan kepada organisasi, malah ia mempunyai aplikasi langsung kepada kehidupan setiap individu dan keluarga. 

Titah baginda hutang dimungkinkan sekiranya pinjaman dilakukan untuk tujuan produktif yang pada akhirnya memberi pulangan bersih, positif atau untuk dimanfaat pada jangka panjang. 


"Sumber rezeki dan sumber kekayaan ada batasannya, ia tidak melimpah ruah, bagai pipis datang melayang, bagai bulat datang menggolek. Kerana itu, Islam amat menegaskan supaya insan berbelanja secara bertanggungjawab lagi berhemah dengan mengamalkan sikap berjimat cermat serta menegah budaya boros dan amalan pembaziran. 

"Di peringkat individu dan keluarga, sikap berbelanja melebihi pendapatan akan mendorong kepada perbuatan tidak sihat, berhutang, menipu, menyalah guna kuasa dan rasuah sehingga ramai yang berakhir sebagai muflis," titah baginda pada persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, hari ini. 

Raja Dr Nazrin Shah bertitah pendidikan mengenai bajet perlu diperkenal dan diamalkan individu dan keluarga, melalui kuliah dan kelas agama di surau, masjid dan jabatan-jabatan kerajaan. 

Baginda merujuk kepada data Jabatan Insolvensi yang menunjukkan sebanyak 116,488 orang diisytiharkan muflis antara 2007 hingga 2013 dan daripada jumlah itu 39,967 orang berada dalam lingkungan usia 35 hingga 44 tahun, 23,967 orang dalam usia 25 hingga 34 tahun manakala 1,322 orang belum mencecah usia 25 tahun. 
Menurut data tahun 2012, 48.41 peratus yang diisytiharkan muflis berketurunan Melayu, 33.15 peratus Cina dan 14.12 peratus India. 

Bilangan yang diisytiharkan muflis melihatkan trend yang terus meningkat daripada 13,885 dalam tahun 2008 kepada 19,575 dalam tahun 2012, begitu juga dalam kalangan wanita yang kini 30 peratus, suatu keadaan yang tidak sihat, titah baginda. 

Mengenai persidangan hari ini, baginda bertitah ia akan membincangkan Bajet Majlis bagi tahun kewangan 2014 yang menganggarkan hasil RM135.9 juta yang diperoleh melalui kutipan zakat (RM120 juta), sumber am Baitulmal (RM10 juta) dan wang terkumpul (RM5.9 juta). 

Terdahulu, baginda menyempurnakan majlis penyerahan zakat tanaman dan perniagaan daripada 10 agensi iaitu Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Felcra Berhad Wilayah Perak, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Hedd Industries Sdn Bhd, Smart Aladdin Sdn Bhd, Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad, Agro Bank dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia. 

AMALAN BAGI MEREKA YANG DITIMPA MUSIBAH BANJIR

1-Bersangka baik kepada Allah SWT.
2-Anggap ia satu ujian dan dugaan.
3-Anggap ia salah satu cara penghapus dosa-dosa lalu yg kita lakukan sama ada sedar ataupun tidak (kafarat).
4-Bertaubat jika ada melakukan dosa kepada Allah.
5-Saling bermaafan antara satu sama lain.
6-Banyakkan berdoa.
7-Jangan mengumpat dan memburukkan orang lain.

Bahaya Pneumokokal



GENAP tujuh bulan Aqil Hamzah meninggalkan kami. Hidup tanpa Aqil Hamzah, pelbagai persoalan diajukan kepada kami. Bagaimana perasaan kami? Bagaimana kehidupan kami? "Tiada ayat yang mampu kami ucapkan untuk menggambarkan perasaan kami. Tapi kami bersyukur, Alhamdulillah, semakin hari kami dapat rasakan yang kami semakin baik. Betul, bila kita meredai sesuatu perkara, ujian daripada Allah, hati kita akan merasa tenang," ujar Erina Asmawani, 29.
Menurut Erina, dia dan suami tidak menyangka Aqil pergi secepat ini kerana anaknya seorang yang ceria dan aktif macam biasa.
Mengimbau peristiwa April lalu, Aqil diserang demam hingga mencecah 38.3 darjah Celsius.
"Kami membawanya ke sebuah pusat perubatan swasta di Selangor. Doktor menjelaskan Aqil hanya demam dan tekaknya merah sikit. Selepas makan ubat demam dan selesema yang diberikan doktor, demam Aqil kebah tetapi dua hari selepas itu, dia diserang demam lagi," ujarnya.
Erina mula khuatir dan segera membawa Aqil ke hospital dan suhu Aqil kali ini sangat tinggi iaitu 39.7 darjah Celsius.
Selepas ujian darah dilakukan, doktor mengesahkan Aqil tiada jangkitan dan hanya diberikan antibiotik.
"Esoknya, Aqil tak demam tetapi kami perasan dia banyak merengek, tidak mahu minum susu dan kelihatan lemah. Saya dan suami bergilir-gilir cuba menidurkannya tetapi Aqil masih tidak mahu tidur.
"Kami membawanya semula ke hospital. Doktor yang merawat Aqil masa itu hairan kerana Aqil sebelum ini kelihatan aktif. Mereka membuat ujian ke atas Aqil dan mengesahkan kemungkinan ada pneumonia (jangkitan paru-paru).
"Tapi bukan pnuemonia biasa sebab kalau pnuemonia, sel darah tidak berkurang. Aqil kemudian dipasangkan tiub oksigen untuk membekalkan oksigen yang cukup ke dalam badannya," ujar Erina sedih.
Keadaan Aqil lebih kritikal pada keesokannya dan anak kecil Erina terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menaiki ambulans.
Dengan perasaan sedih dan ketakutan dia memeluk Aqil.
"Air mata memang jadi peneman setia sepanjang di hospital. Tak sanggup tengok keadaan Aqil. Doa saya, cepat sembuh sayang, mama rindu nak tengok Aqil senyum.
"Doktor mendiagnosis Aqil menghidap Lobar Pneumonia akibat jangkitan Streptoccoccus, bakteria yang paling kuat. Pada 3 Mei pukul 5 petang, doktor memanggil saya dan suami lalu memberitahu yang Aqil boleh pergi bila-bila masa sahaja. Akhirnya kami reda dan melepaskan Aqil pergi," katanya teresak-esak.
Peristiwa ini sudah pasti akan sentiasa kekal dalam ingatan Erina dan dia mahu setiap ibu bapa mempunyai kesedaran tentang penyakit pneumokokal (PnD). Nasihatnya, ibu bapa perlu menyedari kesan penyakit dan keperluan untuk mendapatkan vaksin dalam usaha melindungi anak-anak daripada bahaya PnD.
"Saya berkongsi cerita ini supaya ibu bapa dan semua pihak sedar tentang keperluan vaksin ini. Saya menyesal kerana pada awalnya, memang saya berniat untuk memberi vaksin ini pada Aqil.
"Malangnya, seorang jururawat di hospital berkenaan memberitahu saya bahawa vaksin ini tidak penting. Menyesal tiada gunanya, tetapi bagi anda mungkin boleh mengambil langkah pencegahan awal. Mungkin dengan memberi vaksin, anak anda boleh dirawat segera dan menyelamatkan nyawanya," katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 18,853 tanda tangan telah berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Ya Kepada Perlindungan Daripada Penyakit Pneumokokal (PnD) sempena Hari Pneumonia Sedunia, baru-baru ini.
Kempen yang mendapat sokongan pakar pediatrik dan pengamal perubatan di seluruh negara itu dimulakan oleh Parenting2U, sebuah program kendalian ibu bapa; Pakatan Strategik Asia bagi Pencegahan Penyakit Pneumokokal (ASAP) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA).
Penganjur memaklumkan, kempen tersebut bertujuan menyeru kerajaan Malaysia menyediakan vaksin pneumokokus kepada semua kanak-kanak di negara ini dengan merangkumkan vaksin ke dalam Program Pelalian Negara (PPN).
Tanda tangan tersebut telah dipamerkan di Tropicana City Mall sebagai menyuarakan sokongan masyarakat terhadap kempen itu.


Tingkatkan gaji penjawat awam

 CUEPACS akan menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan penjawat awam kepada RM4,000 sebulan dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup. 

Presidennya yang baru, Azih Muda berkata usaha meningkatkan gaji penjawat awam termasuk kumpulan pelaksana II, seperti pembantu am dan pemandu itu akan menjadi agenda utama kesatuan berkenaan.

Azih, 56, berkata, sasaran itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi, dengan syarat kelayakan ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau diploma. 


Agenda utama 

Agenda ini akan kita bincangkan pada peringkat kongres sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi, termasuk kepada Perdana Menteri, katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai Presiden CUEPACS bagi penggal 2013-2016 pada pemilihan Konvensyen Tiga Tahun Sekali CUEPACS di Dewan Wawasan, Menara PGRM Cheras, di sini semalam. 

Azih berkata, ketika ini penjawat awam kumpulan pelaksana dengan gaji sekitar RM1,200 termasuk elaun kakitangan awam tidak dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. 

Katanya, cabaran berdepan dengan kenaikan kos sara hidup bukan hanya dialami kumpulan pelaksana sebaliknya penjawat awam lain yang bergaji kurang RM3,000 sebulan, terutama di bandar. 
Beliau berkata, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2015 akan meningkatkan pendapatan negara dan ia boleh digunakan untuk menambahbaik skim gaji penjawat awam. 

Kerajaan boleh tambah baik skim gaji, elaun dan insentif penjawat awam supaya mereka lebih fokus dengan hala tuju ditetapkan Perdana Menteri, katanya merujuk kepada sasaran negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. 

Aziz juga menyifatkan pemilihannya sebagai Presiden CUEPACS satu amanah yang berat untuk memperjuangkan aspirasi dan kebajikan penjawat awam, turut mencadangkan supaya bekas presiden Datuk Omar Osman dilantik sebagai senator untuk meneruskan sumbangannya kepada rakyat dan negara.

Azih Muda presiden baru CUEPACS

Azih Muda presiden baru CUEPACS

Pemilihan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyaksikan Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysis (ANULAE), Azih Muda, 56, diumumkan sebagai Presiden CUEPACS bagi penggal 2013-2016.

Bekas Timbalan Presiden 1 CUEPACS itu menewaskan pencabarnya, yang juga Presiden Kesatuan Kakitangan Kementerian Pertahanan (KESATRIA), Ahmad Shah Mohd Zain dengan majoriti 390 undi bagi jawatan tertinggi kesatuan yang mewakili suara 1.4 juta penjawat awam. 

Azih mendapat 701 undi, manakala Ahmad Shah 311 undi pada Konvensyen Tiga Tahun Sekali CUEPACS di Dewan Wawasan, Menara PGRM, di sini semalam. 

Dah dapat jawatan,silalah bekerja dengan tekun dan amanah ye...

Rumah penjawat awam RM90,000

Kerajaan bersedia membina projek perumahan untuk penjawat awam dalam lingkungan harga sekitar RM90,000 bagi membolehkan semua peringkat golongan itu dapat memiliki rumah sendiri.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, perkara itu akan dipertimbangkan dengan kajian menyeluruh untuk menambah satu lagi projek perumahan rakyat selain Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), projek perumahan rakyat (PPR) dan program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang sedang dibangunkan ketika ini.

Kata beliau, kerajaan sedar bahawa penjawat awam peringkat kumpulan pelaksana sebahagian besarnya tidak mampu memiliki rumah PPA1M yang ditawarkan pada harga RM150,000 hingga RM300,000.

"Saya telah bercakap dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencari jalan membina rumah kepada penjawat awam dalam lingkungan harga tersebut kerana itu yang terbaik tetapi kita perlu rancang dahulu.

"Kita akan cari satu model rumah lagi dengan harga RM90,000, kita akan kaji untuk dilaksanakan di Putrajaya dan bandar-bandar utama, apa yang penting kita mahu merealisasikan pemilikan rumah oleh penjawat awam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama warga kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ketika sesi lawatan beliau di institut tersebut di Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Pada April lalu, Perdana Menteri melancarkan PPA1M sebagai satu usaha terbaharu kerajaan membantu penjawat awam membeli kediaman mampu milik yang bermutu.

Pada peringkat permulaan, sebanyak 10,336 unit rumah mampu milik akan dibina menerusi projek tersebut di Putrajaya pada harga RM150,000 hingga RM300,000 mengikut keluasan lantai dari 1,000 kaki persegi hingga 1,500 kaki persegi berkonsepkan kondominium yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan untuk mempertimbangkan cadangan daripada Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya pinjaman perumahan dapat disamakan dengan harga rumah.

"Ada juga syor CUEPACS supaya potongan rumah itu sehingga sampai masa pencen tetapi kita tidak mahu pula penjawat awam berada di bawah garis kemiskinan, apa pun kita akan cari jalan untuk menyelesaikan masalah," katanya.

Kurang Ajar Betul!!


Entah di mana akal fikiran, perasaan malu yg dimiliki oleh setiap wanita. Bangga sangat ke hingga siar dlm facebook?. Paling menjelikkan tindakannya seolah-olah mempersenda papan tanda yg ada di sekolah tersebut. Papan tanda yg jelas tertulis 'Zon menutup aurat dan berpakaian sopan' sengaja dipersenda wanita ini dgn gaya seksi menyelak baju dan rokok dibibirnya. Perbuatan tak senonoh jelas menghina agama Islam.

Pesanan Untuk Mat Rempit



Haha...Pastu leh nyanyi lagu Rabbani "Pergi Tak Kembali" ..hahahaha

Anwar Cakap Tak Serupa Bikin



Betul ke tak nak?/cam tak caya je,bukan ke kau memang nak sangat jawatan tu.Kalau tak ,takkan salah sanggup buat bermacamcara semata-mata kemaruk sangat dengan jawatan Perdana Menteri tu!!

Jangan cakap tak serupa bikinlah Anwar ..Kau ingat rakyat Malaysia ni boleh macam kau ke??Kalau dengan PKR boleh g mampus!!

Salute Datuk Ong Kim Swee!!



Cayalah...I salute this man. He takes ownership of the team's failure. That's an honorable thing to do. (NST, page 40). Not like our politicians whether from BN or PR who like to blame others.Thmub up to him..

Fuziah Perasan Bagus!!



Orang kata, bangkai gajah mana boleh tutup kan..Samalah juga macam Fuziah ni..Nilailah sendiri siapa yang banyak bantu mangsa-mangsa banjir..Di mana Anwar semasa mangsa-mangsa banjir berada dalam keadaan genting...

Pelantikan Mat Sabu beri laluan mudah kepada DAP

Pelantikan Mohamad Sabu sebagai Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang dapat memberikan laluan mudah kepada DAP untuk membuat lebih banyak keputusan besar di negeri itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican mendakwa, DAP memerlukan seorang ahli propaganda yang kuat dan Mohamad akan memainkan peranan itu.

"Kita boleh melihat bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berasa cemas dengan kemerosotan sokongan pengundi Melayu di Pulau Pinang.

"DAP perlukan seseorang yang boleh diperolokkan untuk mendapatkan pengaruh di kalangan pengundi Melayu," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengumumkan pelantikan Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu itu dibuat sebagai langkah untuk merapatkan hubungan parti Islam itu dengan kerajaan negeri berikutan hubungan rapat Timbalan Presiden Pas itu dengan Guan Eng.
Mustafa berkata, pemilihan itu dibuat berikutan Mat Sabu adalah anak jati Pulau Pinang dan dikenali di negeri ini.

Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas menambah, pelantikan tersebut turut mengesahan bahawa Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang yang lama tidak berkesan dalam usaha politik Pas terpaksa meletakkan seorang 'Timbalan Presiden' untuk berhadapan dengan Umno dan BN Pulau Pinang.

Namun katanya, tidak ada sebab untuk Umno Negeri Pulau Pinang perlu berasa risau dengan perlantikan Mat Sabu.

"Kita merasakan ianya keputusan yang sangat tidak strategik dan boleh mendatangkan masalah politik kepada pembangkang.

"Dengan pelbagai tekanan yang sedang dihadapi Mat Sabu, khususnya dalam isu akidah dan sebagainya, kelebihan berpihak kepada Umno dan BN," tambahnya.

Reezal yang juga Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang menambah, beliau turut menyatakan rasa simpati kepada pemimpin Pas Pulau Pinang yang terpaksa berhadapan dengan pimpinan diktator seperti Guan Eng.

Menyifatkan pelantikan Mat Sabu sebagai satu 'hukuman politik', Reezal mendakwa, DAP sebelum ini juga berani mengusulkan agar Pas meninggalkan pakatan politik pembangkang yang dirasakan meminggirkan Pas sebelum ini.

"Guan Eng menggunakan pengaruh politik untuk mendapatkan pimpinan Pas Pulau Pinang yang lebih mesra dengan stail kepimpinan autokratik yang diamalkannya.

"Mat Sabu sesuai dengan tugasan itu," katanya lagi.

Nilai mata wang jatuh

Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara berterusan tanpa kawalan, akan memberi kesan kepada nilai mata wang negara.

Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, nilai RM1 pembelian barang ketika ini dijangka turun kepada 80 atau 90 sen pada tahun hadapan dan 2015, berikutan kenaikan harga secara bertindan.

Beliau berkata, kejatuhan nilai wang itu juga akan menyebabkan kuasa beli pengguna semakin berkurangan.

“Jika dilihat kenaikan tarif elektrik dan tol serta pengurangan subsidi gula, ia memberi kesan kepada pengguna dengan kenaikan harga barang dan inflasi juga dijangka meningkat dan ini memerlukan pemantauan berkala daripada pihak kerajaan.

“Jadi tidak ramai pengguna akan membeli (barang dan perkhidmatan) mungkin sebab mahal,” katanya ketika ditanya berhubung kuasa beli pengguna dalam tempoh dua tahun akan datang.

Mohamad Fazli berkata, kesan kenaikan harga sesetengah barang dan perkhidmatan bermula bulan hadapan, secara tidak langsung akan menyebabkan berlaku fenomena gelembung hartanah, iaitu situasi di mana masyarakat tidak berkemampuan membeli hartanah kerana bebanan hutang isi rumah tinggi.

“Nilai hartanah ketika ini sudah tinggi dan tidak ramai mampu memiliki kediaman sendiri. Jadi, orang akan fokus kepada barang keperluan asas, iaitu makanan seperti beras, gula dan tepung,” katanya.

Bagi mengatasi kesan kenaikan harga, Mohamad Fazli menyarankan masyarakat berhemah ketika berbelanja seperti menyediakan rancangan perbelanjaan, mengutamakan pembelian barang keperluan dan membuat perbandingan harga sebelum membeli barang.

Menurutnya, pengguna perlu menjadi masyarakat yang bermaklumat dan bijak dalam membuat keputusan berkaitan penggunaan dan perbelanjaan mereka.

“Program Rasionalisasi Subsidi (SRP) ini ada pro dan kontra kepada kerajaan dan masyarakat. Kerajaan pasti ada alasan sendiri jalankan program SRP disebabkan faktor kenaikan harga pasaran dunia dan untuk tujuan pembangunan.

“Masyarakat pula rasa sebaliknya, iaitu terbeban dengan kenaikan harga. Yang pasti, kenaikan akan berlaku dan kita perlu hadapinya. Kita sendiri yang mencorakkan perbelanjaan kita dan kena berbelanja di bawah lingkungan pendapatan,” katanya.

Beliau turut menyarankan supaya kerajaan mengkaji secara menyeluruh kesan kenaikan harga ke atas masyarakat di bandar dan luar bandar.

Perbetul segera isu berkaitan tarif

Pelbagai pihak meminta kerajaan bertindak lebih tegas dan cepat dalam memperbetulkan semula beberapa keputusan dibuat pembuat dasar yang ada kalanya mengambil jalan mudah dengan memperkenalkan kenaikan tarif tertentu. 

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohamad Nor, berkata tindakan dilakukan kumpulan berkenaan yang membabitkan beberapa pihak termasuk golongan korporat seperti dalam isu terbaru berkaitan kenaikan tarif elektrik dan cadangan pelarasan kadar tol baru tahun depan menyebabkan kerajaan seolah-olah hilang kekuatan serta mengetepikan kebajikan rakyat. 

Katanya, sebuah kerajaan transformasi yang bercirikan negara maju mesti lebih efisien dan canggih dalam merungkai masalah, bukan dengan jalan mudah menaikkan tarif dan meminta rakyat menanggung beban kenaikan. 


Cara ini bukan cara sebuah kerajaan transformasi yang seharusnya lebih tangkas tangani masalah di samping mempertahankan kedudukan rakyat bawahan, katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berkata kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada soal ketirisan, suapan rasuah serta persetujuan perjanjian yang berat sebelah sehingga menguntungkan golongan dan syarikat korporat. 

Tumpu khusus soal rasuah 

Ini seharusnya menjadi orientasi kerajaan transformasi. Sebagai ahli jawatankuasa rasuah (JKMR), saya mahu ada tumpuan khusus kepada soal rasuah dalam menyelesaikan masalah. Walaupun ia rumit berbanding keputusan naikkan harga tarif, itulah tanggungjawab sebuah kerajaan transformasi, katanya. 
Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, memaklumkan kenaikan kadar tol dijangka berlaku tahun depan, selaras dengan kandungan perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya. Cadangan itu mendapat reaksi negatif rakyat termasuk di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN). 

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad pula meminta kerajaan komited dengan janji manifestonya untuk menurunkan kadar tol secara berperingkat. 

Mengakui kerajaan berkemungkinan terpaksa menanggung kos tertentu jika tidak berlaku sebarang kenaikan tol, beliau berkata janji Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lebih utama untuk dipenuhi.

DBKL turun cukai taksiran

Lebih 500,000 pemegang hartanah di ibu negara boleh menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan mengurangkan kadar cukai taksiran kepada satu hingga empat peratus berkuat kuasa tahun hadapan. 

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata keputusan itu dibuat atas keprihatinan kerajaan dalam usaha mengurangkan beban rakyat. 

Keputusan ini diharapkan dapat memberi kelegaan kepada warga kota yang ketika ini gusar dengan keputusan DBKL untuk menyemak semula nilai cukai taksiran tahunan melalui notis yang diedarkan sebelum ini. 


Kadar empat peratus 

Dengan kadar baru ini, pemilik kediaman hanya perlu membayar pada kadar empat peratus, manakala pemilik hartanah komersial sebanyak 10 peratus, katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Pengumuman itu dibuat selepas warga kota mengemukakan bantahan terhadap cadangan kenaikan kadar cukai taksiran yang tinggi diumumkan oleh DBKL sebelum ini. 

Difahamkan, kadar yang dicadangkan DBKL sebelum ini adalah enam peratus bagi pemilik kediaman dan 12 peratus bagi pemilik hartanah komersial. 
Tengku Adnan berkata, kerajaan juga bersetuju memberi insentif dalam bentuk pengurangan jumlah cukai taksiran kepada pemilik hartanah oleh Orang Kelainan Upaya (OKU), pesara dan pemilik hartanah yang mendiami kediaman mereka. 

Mereka boleh mengisi borang permohonan yang boleh didapati di kaunter bayaran DBKL dengan disertakan dokumen sokongan, katanya. 

Beliau berkata, pemilik hartanah yang sudah mengemukakan bantahan secara bertulis kepada DBKL sebelum atau pada 17 Disember akan tetap dipanggil bagi sesi pendengaran bantahan pada 6 Januari hingga 31 Mac 2014. 

Jika mereka dapat membuktikan nilai tahunan yang dicadangkan oleh DBKL terhadap hartanah mereka adalah tinggi, Jawatankuasa Pendengaran Bantahan boleh mengurangkan nilai cukai tahunan itu, katanya. 

ASB umum pulangan 8.7 sen

ASB umum pulangan 8.7 sen
Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pulangan 8.7 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013. 

Ia membabitkan bayaran pengagihan pendapatan sebanyak 7.70 sen seunit dan bayaran bonus 1.00 sen seunit. 

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM9.38 bilion, iaitu peningkatan 17.4 peratus berbanding RM7.99 bilion yang dibayar pada 2012. 


Peruntukan bagi pembayaran bonus pula, katanya ialah RM706.88 juta, naik 3.84 peratus berbanding RM680.73 juta. 

Pengagihan kompetitif 

Prestasi ASB sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 keseluruhannya adalah memuaskan, sejajar dengan keadaan ekonomi dan pasaran semasa. 

Kadar pengagihan pendapatan dan bonus ASB tahun ini adalah kompetitif jika dibanding instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan, katanya sambil menambah pembayaran itu akan memanfaatkan 8.26 juta pemegang unit yang melanggan 127.2 bilion unit ASB. 
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan agihan pendapatan tabung itu di Kuala Lumpur, semalam. Yang turut hadir ialah Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. 

Ahmad Sarji berkata, jumlah pendapatan kasar ASB pada 31 Disember 2013 dijangkakan sebanyak RM9.92 bilion, meningkat 15.1 peratus berbanding RM8.62 bilion pada 2012. 

Beliau berkata, pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat menyumbang RM4.41 bilion atau 44.5 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar itu, manakala pendapatan daripada keuntungan penjualan saham menyumbang RM4 bilion atau 40.3 peratus. 

Baki RM1.51 bilion atau 15.2 peratus disumbang lain-lain pendapatan, katanya. 

Diagih 2 Januari 

Ahmad Sarji berkata, pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus itu akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit, yang mana pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat atau ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari 2014.

Beliau berkata, pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan 2013, manakala pengiraan bonus pula berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan untuk 10 tahun untuk tempoh 2004 hingga 2013. 

Urus niaga ASB ditangguhkan pada 22 Disember 2013 hingga 1 Januari 2014 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus, katanya. 

Sementara itu, Hamad Kama Piah menjelaskan, sungguhpun pengagihan pendapatan dividen dan bonus bagi tahun kewangan 2013 itu rendah sedikit berbanding pada 2012, tetapi jumlah peruntukan pembayaran adalah jauh lebih tinggi. 

Pengagihan pendapatan ASB tahun lalu ialah 7.75 sen seunit manakala bonus pula ialah 1.15 sen seunit. 

Mengenai pelancaran Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2), Hamad Kama Piah berkata, PNB masih menjalankan kajian, penelitian dan menyelesaikan segala gerak kerja secara terperinci berikutan ia membabitkan saiz dana yang besar.