Halaman

Jumaat, 17 Mei 2013

Bekas hakim : Saya bukan rasis, beri peluang jawab

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah berkata, adalah tidak wajar beliau dilabel sebagai rasis kerana beliau perlu diberi ruang   untuk menerangkan sesuatu isu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

"Orang politik melihat sesuatu kenyataan itu daripada pandangan kaca mata sempit, saya hendak terangkan sesuatu menurut Perlembagaan patutnya diberi ruang untuk  rakyat mendengar, bukannya ditutup dengan mengatakan saya rasis, Datuk Mohd Noor Klu Klux Klan, Datuk Mohd Noor itu Hitler.

"Janganlah macam itu, bagi ruang untuk saya terangkan apakah parameter di dalam Perlembagaan yang menjamin rakyat hidup dalam aman damai," katanya yang muncul sebagai tetamu dalam rancangan bual bicara Helo Malaysia terbitan Bernama TV di saluran 502 Astro.

Rancangan satu jam yang mengupas tajuk 'Memperkasakan Perlembagaan' itu turut mengundang Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal dan diwawancarakan perantara Dahlan Maamor.

Mohd Noor dikritik banyak pihak terutamanya pembangkang apabila mengeluarkan kenyataan yang dikatakan berunsur hasutan berhubung sekolah vernakular pada satu forum bertajuk 'Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), baru-baru ini.

Mohd Noor berkata Perkara 152 menyatakan bahawa Perlembagaan hanya mengiktiraf satu bahasa iaitu Bahasa Malaysia untuk satu Malaysia dan bagi urusan rasmi.    

"Cuma kelonggarannya ialah sesiapa sahaja di negara ini hendak belajar bahasa ibundanya sama ada Bahasa Cina, Bahasa Jepun, Bahasa Tamil belajarlah, tetapi belajar  sendiri, jadi Sekolah Cina dan India swasta itu hak yang tidak boleh dihapuskan," katanya.

"(Jika) Sekolah Kebangsaan (SK) untuk orang Melayu, SJKC untuk orang Cina, SJKT untuk orang India, bila masa anak cucu cicit kita belajar dalam kelas yang sama, makan di satu kantin, bila? Tida ada langsung ruang untuk itu," katanya.

Beliau berkata istilah yang lebih tepat ialah mencorakkan SJK kepada sekolah kerajaan seperti 'Government English School' pada zaman dahulu di mana para pelajar  berpeluang mempelajari pelbagai bahasa.

"Di sana nanti kita adakan mata pelajaran Bahasa Inggeris yang wajib dipelajari kerana ia bahasa antarabangsa, Bahasa Malaysia wajib dipelajari kerana ia menjadi bahasa  yang menyatu-padukan rakyat Malaysia.

"Selepas itu, kita galakkan pelajar-pelajar kita belajar Bahasa Arab kerana orang Melayu beragama Islam, pada masa sama galakkan semua orang Malaysia belajar  Bahasa Cina dan Bahasa Tamil kerana kedua-dua bahasa ini bahasa ekonomi dunia, bukankah cantik macam itu," katanya.

Mohd Noor berkata sekiranya rakyat  Malaysia memahami Perlembagaan, ia akan dapat mengelak daripada berlaku pergeresan sesama masyarakat.

"Malangnya, orang yang tidak faham Perlembagaan, mereka interpret Perlembagaan itu mengikut kepentingan dan hala tuju politik masing-masing, dan yang menanggung akibat buruknya adalah masyarakat yang terikut-ikut," katanya.

Beliau yang fasih berbahasa Tamil turut menyampaikan pesanan kepada Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dalam Bahasa Tamil bahawa beliau bercakap benar dan hanya menyatakan apa yang terkandung di dalam Perlembagaan.

"Maksudnya saya bukan orang politik yang bercakap mengenai politik, saya tidak diupah dan tidak bercakap bagi mana-mana pihak, apa yang benar itulah yang saya  cakap.

"Tetapi di dalam budaya India kalau saya cakap begitu maknanya ada yang tidak benar, jadi saya tidak cakap yang bohong, apa yang saya kata hari ini kalau ada terkecil  hati, saya hanya nyatakan apa yang terkandung dalam Perlembagaan, tidak ada tokok tambah," katanya.

Sementara itu, Zainul berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Noor tidak bersifat rasis dan bukan menghasut atau mencetuskan ketegangan kerana ia berdasarkan  kepada Perlembagaan itu sendiri.

"Apa yang dikatakan berdasarkan peruntukan, terpulang kepada penerimaan kita, kalau hendak tapis sesuatu itu berdasarkan tapisan politik, kita akan cari alasan tertentu  bagi justifikasikan pandangan parti-parti tertentu.

"Tetapi, kalau tapisan kita berdasarkan tapisan Perlembagaan dan perundangan, saya tidak nampak ia satu masalah besar, apa yang dikatakan Datuk Mohd Noor saya tidak nampak apa-apa perkara pun yang melanggar Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata tiada peruntukan secara spesifik mengenai SJK di dalam Perlembagaan, tetapi di dalam Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996, menyatakan bahawa menteri  boleh mewujudkan SJK dan SK.

"Apa kata perkasakan SK kita, berikan guru-guru yang terbaik di SK, tingkatkan kemudahannya, sudah pasti ia akan menarik minat bangsa-bangsa selain Melayu untuk  menghantar anak-anak mereka ke SK," katanya.- Bernama  

MPN tubuh kumpulan kerja satukan rakyat.

Majlis Profesor Negara (MPN) akan mewujudkan kumpulan kerja misi penyatuan nasional sebagai memenuhi aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjamin keharmonian kaum di negara ini.

Pengerusinya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid berkata, kumpulan kerja itu akan dianggotai para profesor yang pakar dalam bidang masing-masing daripada universiti awam dan swasta untuk berdialog bersama masyarakat.

MPN turut mengucapkan tahniah kepada barisan Kabinet baharu yang diumumkan Najib semalam yang disifatkan mantap, seimbang dan berpandangan jauh daripada aspek yang relevan dan diperlukan di negara ini. - UTUSAN ONLINE

Harap usaha murni ni mendapat manfaat kepada semua.

Pihak kalah perlu terima hakikat

Mana-mana pihak yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) harus menerima kenyataan itu dan diharap tidak membuat sebarang provokasi seperti demonstrasi yang akhirnya akan menyebabkan huru-hara berlaku dalam negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pada masa kini terdapat juga pihak yang sudah pun mencipta suasana tidak selesa itu dengan memberitahu orang ramai bahawa PRU13  adalah pilihan raya yang tidak adil.

"Mereka menghasut orang ramai sekiranya keputusan tidak memihak kepada mereka, mereka akan  membuat demonstrasi.

"Ada pihak yang tidak boleh menerima kekalahan dan akan membuat demonstrasi.Dr Mahathir juga mendakwa, merancang demontrasi merupakan kemahiran tinggi Anwar dalam membuat persiapannya itu.

"Persiapan Anwar ialah membuat demonstrasi awam. Sebelum ini tidak pernah ada demonstrasi.

"Malah masa dia (Anwar) dalam kerajaan, dia sendiri menentang demonstrasi,tetapi sekarang sejak dia keluar penjara, sering kali berlaku demonstrasi termasuk Bersih dan Himpinan Hijau," katanya.

Adat bertanding lah Anwar, ada kalah dan menang.Dah awak tu kalah,terima je lah,x yah lah nak menyalak lagi.Rimas tahu tak!!

Kembali kepada asas agama elak perpecahan

Umat Islam perlu kembali kepada asas ajaran agama dalam usaha mengembalikan perpaduan ummah, sekali gus mengelak berlakunya perpecahan dan permusuhan sesama mereka seperti tercetus di beberapa negara Islam di seluruh dunia kerana perbezaan ideologi. 

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, berkata pencapaian hebat Nabi Muhammad SAW perlu dicontohi apabila berjaya menyatukan puak yang berperang, bagi mewujudkan keharmonian pada zaman kegemilangan baginda. Kehebatan Rasulullah perlu dijadikan inspirasi dalam mewujudkan semula keharmonian dalam dunia Islam yang kini berpecah, dengan umat Islam saling bermusuhan danberbunuhan sesama sendiri. 


Berbeza mazhab 

Cukup menyedihkan apabila kita melihat berlaku insiden keganasan, pertumpahan darah dan konflik sesama umat Islam seperti yang berlaku di Syria, Iraq dan Afghanistan hanya kerana berbeza mazhab dan ideologi masing-masing, katanya. 

Baginda berkata demikian ketika merasmi dan menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Dan Keamanan 2013: Islam Dan Diplomasi - Ke Arah Pencarian Keselamatan Manusia Sejagat di Institut Diplomasi & Hubungan Luar Negeri (IDFR), di sini, semalam. 

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Luar Qatar, Dr Khalid Mohammad Al Attiyah dan Pengerusi Institut Kajian Lanjutan Islam Malaysia (IAIS), Profesor Dr Mohammad Hashim Kamali. 
Raja Nazrin yang juga Penaung Diraja IDFR, berkata konflik sesama umat Islam, khususnya di Asia Barat dan Afrika Utara turut memberi persepsi negatif masyarakat antarabangsa terhadap Islam. 

Bawa kehancuran 

Konflik yang tidak berkesudahan membawa kehancuran, kehilangan nyawa tidak berdosa, terutama wanita dan kanak-kanak, selain kemusnahan harta benda menyebabkan berjuta umat Islam menjadi pelarian dan kebuluran. 

Justeru, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) disarankan perlu mencari inisiatif bagi mengembalikan kedamaian dan keamanan di rantau bergolak itu, selain memperjuangkan nasib umat Islam di Selatan Thailand, Selatan Filipina dan etnik Rohingya (Myanmar) daripada terus ditindas, katanya. 

Baginda turut menyatakan perasaan sedih melihat ramai umat Islam hidup dalam keadaan serba kekurangan dan dibelenggu kemiskinan, selain tidak mempunyai kemudahan pendidikan dan kesihatan yang sempurna.

'Utama ketelusan dalam pentadbiran'

'Utama  ketelusan dalam pentadbiran'

Najib dan Muhyiddin bersama barisan anggota Kabinet baru pada sesi bergambar sebelum mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA
Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak menekankan kepentingan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan kerana ia adalah aspek yang dieksploitasi dan digembar-gembur oleh pembangkang tanpa mengambil kira sama ada ia bersandarkan kepada realiti atau persepsi.

Perdana Menteri berkata, ketika ini pembangkang hanya tahu bagaimana persepsi boleh mengatasi realiti. Katanya, dalam mesyuarat khas jemaah menteri yang dipengerusikannya buat kali pertama semalam selepas PRU-13, beliau meminta supaya anggota pentadbiran kerajaan memberikan maklum balas dengan lebih pantas dan lebih tegas terhadap sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang. 


Perdana Menteri berkata, beliau turut menegaskan betapa penting bagi anggota Kabinet untuk bersedia menghadapi penilaian awam yang lebih tinggi lagi.

Maknanya, jangkaan atau harapan rakyat terhadap tingkah laku kita, sama ada pada diri kita mahupun anggota keluarga, adalah begitu tinggi. Oleh itu, kita mesti menjaga apa saja yang kita lakukan, pembawaan dan cara hidup supaya rakyat tidak mempersoalkan apa saja membabitkan integriti kita sebagai anggota pentadbiran, katanya.

Mesyuarat pertama Kabinet

Pagi semalam, anggota Kabinet baru mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, di Istana Negara. 
Mesyuarat pertama Kabinet baru hari ini berlangsung selama hampir dua jam, sejurus mereka bergambar beramai-ramai di Aras Satu bangunan Putra Perdana, pada jam 3.15 petang.

Merujuk kepada anggota Kabinet baru Najib berkata, beliau melihat mereka sememangnya bersemangat tinggi dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai satu pasukan.

Insya-Allah kita akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi dan melaksanakan segala amanah dan janji kita kepada rakyat, katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat pertama itu beliau juga menegaskan pentingnya untuk menjunjung amanah dan kepercayaan diberikan rakyat kepada kerajaan.

Beri nilai tambah

Katanya, beliau menegaskan bahawa apa saja disuarakan anggota Kabinet, ia bukan atas nama individu, sebaliknya mewakili kerajaan dan adalah pendirian bersama.

Apa saja yang kita lakukan, ia mesti atas nama sebuah kerajaan, bukannya kita bergerak dalam compartment (ruang atau bahagian yang terpisah daripada bahagian lain) atau silo masing-masing. Saya tegaskan penting kita menjadi satu pasukan yang jitu, kukuh dan selaras tindakan kita, sama ada dalam negara mahupun di luar negara, sama ada kita berbicara dengan media tempatan mahupun media antarabangsa, katanya.

Beliau meminta setiap anggota Kabinet memberi nilai tambah kepada perkhidmatan dengan bukan hanya menjaga kementerian atau kawasan masing-masing, sebaliknya sanggup melakukan lebih daripada itu termasuk menyertai forum bersama dengan rakyat, sama ada penyertaan secara bersemuka, mahupun menerusi media sosial atau tradisional. 
BERNAMA