Halaman

Khamis, 19 Julai 2012

BN janji atasi isu rumah kos rendah

Alor Setar- Barisan Nasional (BN) berjanji mengatasi rumah kos rendah, lebih-lebih lagi selepas kerajaan PAS Kedah gagal menyediakan keperluan itu sepanjang empat tahun menerajui negeri.
Malah, usaha menyediakan kediaman terbabit turut disenarai sebagai inti pati utama dalam manifesto BN negeri, khusus untuk Pilhan Raya Umum ke -13 (PRU13) nanti.
Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata PAS Kedah gagal menyediakan rumah kos rendah sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada PRU 12,malah turut mengakuinya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 16 Julai lalu. 
"Isu lain diambil kira dalam manifesto BN ialah kepentingan pembangunan belia, pendidikan dan projek tebatan banjir,"katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, selepas melancarkan Pasar Tani Khas Pra Ramadan Pasar Tani Taman Wira Mergong,semalam.
Beliau menyifatkan kerajaan Pas Kedah gagal melaksanakan tanggungjawab, malah memberi pelbagai alasan termasuk tidak menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan mengakibatkan rumah kos rendah tidak dilaksanakan  di negeri ini.

Sumber: BH 19 Julai 2012

LA: Ape kes PAS,bila rakyat dah bagi jadi pemimpin,buat lah kerja ,jangan dok sibuk berkempen jer..nie kes tipah tertipu la nie.:)

PAS Kedah akui beli saham FGV

MB sudah arah PKNK jual 500,000 unit sebagai hormati pakatan  

Alor Setar: Kerajaan negeri semalam mengakui mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menjual 500,000 unit saham Felda Global Ventures Holdings (FGV). Arahan jualan itu dibuat bagi menunjukkan pendirian kerajaan negeri selari dengan pakatan pembangkang. 
Ia diakui sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika mengulas kontroversi berkaitan pembelian saham berkenaan oleh anak syarikat kerajaan negeri itu. 

“Memang untung... itu sebab orang beli saham. Bagaimanapun, saya arahkan PKNK jual balik untuk hormati pendirian parti, termasuk mengelak kekeliruan dalam pakatan pembangkang. 

“Selain PKNK, kita juga ada terima permohonan Amanah Saham Kedah Berhad (ASKB) untuk membeli saham itu yang ditawarkan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), tetapi kita tahan sebab tak mahu timbul kontroversi,” katanya. 

Baru-baru ini, PKNK membeli 500,000 unit saham FGVH pada harga RM4.55 seunit walaupun pembangkang menolak keras penyenaraiannya di bursa saham. 
Bagaimanapun, atas arahan Azizan selaku pengerusinya, PKNK setakat ini sudah menjual 50,000 unit saham itu pada harga RM5.50 seunit, sekali gus meraih keuntungan RM47,500. 

Azizan ketika ditanya mengenai pembelian saham itu, mengakui ia 'terlepas' daripada pengetahuan beliau, tetapi menyifatkannya amalan biasa kerana PKNK memang diberi hak untuk membeli mana-mana saham yang difikirkan mampu menjana keuntungan. 

Hormati rakan pakatan 

“Tahun lalu saja, kita lulus peruntukan RM5 juta kepada PKNK khusus untuk beli saham. Apa pun, saham FGVH ini kita terpaksa arah jual balik sebab sensitif, termasuk untuk hormati rakan dalam pakatan. Cara mana atau bila saham itu hendak dijual, itu terpulang kepada pengurusan PKNK,” katanya. 

Pada sidang media sama, Azizan turut meminta FELDA menjelaskan penyenaraian dua aset milik kerajaan negeri iaitu ladang getah berkeluasan 1,116.25 hektar yang disenarai sebagai harta agensi itu melalui prospektus penyenaraian FGV. 

“Saya minta penjelasan FELDA kerana sepanjang saya jadi Menteri Besar, tiada sebarang kebenaran diberikan kepada mereka untuk menggunakan dua tanah di Gunung Bongsu, Baling, sebagai aset dalam prospektus miliknya,” katanya.


sumber: BH 19 Julai 2012

Majoriti guru tak setuju


Hasil negatif benar pelajar bawa gajet ke sekolah 

Kuala Lumpur: Lebih 90 peratus guru dan 80 peratus pemimpin sekolah tidak bersetuju cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah. Keputusan hasil kaji selidik membabitkan kira-kira 2,000 responden di seluruh negara itu dimaklumkan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM), Muhamad Khailani Abdul Jalil kepada BH, semalam. 
Muhamad Khailani adalah Ahli Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Malah, kajian itu turut mendapati lebih 75 peratus ibu bapa dan 55 peratus pelajar sendiri turut menolak cadangan berkenaan. 

Kajian dibuat Kementerian Pelajaran tahun lalu untuk mendapatkan pendapat pihak berkepentingan mengenainya.

Beliau berkata, rata-rata semua pihak kepentingan menegaskan keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti. 
“Kebimbangan utama semua pihak berkepentingan itu ialah ia lebih banyak membawa keburukan. 

“Berdasarkan pengalaman sekolah, 60 peratus pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan ketika ini. Masalah berlaku apabila telefon bimbit hilang, pelajar menuduh rakan mencuri sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Selain itu, pelajar membawa anasir berunsur lucah ke sekolah dan berisiko tinggi berlaku penyebaran yang boleh mempengaruhi rakan,” katanya.