Halaman

Isnin, 3 Mac 2014

Sampai Bila Nak Catu Air Ni!!

'Sampai bila kami harus menanti?'
 Sampai bila rakyat Negeri Selangor harus berdepan dengan masalah krisis air yang bagaikan tiada penyudahnya...........

Gabungan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) kesal dengan sikap dangkal dan bodoh sombong Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu yang tidak habis-habis menuding jari dan menyerang Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berikutan krisis air yang melanda negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, kelmarin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran itu dilaporkan meminta penjelasan Syabas mengapa bekalan air tidak mencukupi sedangkan beliau mendakwa pemeriksaan dibuat minggu lalu mendapati air terawat 11 peratus melebihi daripada permintaan harian walhal daripada mana fakta yang diperolehi juga boleh dipertikaikan.
“Sama ada beliau tidak tahu atau memang sengaja buat-buat tidak tahu, kenyatan yang dibuat itu jelas menunjukkan sikap dangkal seorang pemimpin yang tidak mengetahui perkembangan semasa.
“Sebenarnya seawal Ogos 2011 lagi Kerajaan Pusat telah memberi amaran mengenai krisis bekalan air bakal melanda menjelang tahun 2014 di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.”
Jelasnya, pihak Syabas sebelum ini pun sudah sering memaklumkan bahawa gangguan bekalan air di kebanyakan kawasan di Lembah Klang ketika ini disebabkan oleh kapasiti pengeluaran air terawat daripada loji-loji air tidak dapat menampung permintaan air terawat.
“Apa yang dilakukan kerajaan negeri ketika itu? Mereka hanya berpeluk tubuh mengatakan bekalan air mentah, sambil merujuk air empangan masih banyak sehingga melimpah ruah.
“Mereka masih berpolitik ketika rakyat bakal berhadapan krisis air yang meruncing. Tidak habis-habis mereka mengatakan bahawa air mentah masih mencukupi. Padahal rakyat memerlukan air terawat, bukan air mentah,” ujarnya  selepas mengetuai satu Lawatan ke Sungai Langat WTP (Loji), Bt 10 Jalan Hulu Langat sebentar tadi.
Tambahnya, krisis air berlaku berikutan peningkatan mendadak penggunaan air oleh pengguna. Kesan daripada peningkatan permintaan yang mendadak ini terutama di Lembah Klang menyebabkan beberapa kolam utama menghadapi penurunan paras yang ketara.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut mengunjurkan bekalan air yang dapat dikeluarkan oleh 34 loji rawatan air di Selangor hanya dapat memenuhi permintaan air sehingga hujung tahun ini. 33 loji rawatan air ini adalah milik kerajaan negeri Selangor.
Pada masa ini rezab bekalan air bersih sedia ada ialah kurang daripada 3 peratus. Keadaan ini menyebabkan tekanan air rendah dan sebahagian kawasan tidak mendapat bekalan air terutama di sekitar kawasan ‘water stress’ iaitu wilayah Petaling, Klang, Kuala Lumpur dan juga Hulu Langat, melibatkan sejumlah 209,678 akaun pengguna ataupun lebih kurang sejuta penduduk di wilayah-wilayah terbabit.
Situasi ini juga menyebabkan beberapa Loji Rawatan Air beroperasi pada tahap maksimum atau melepasi kapasiti reka bentuknya (overload) dan berhadapan dengan tekanan memenuhi permintaan yang pada masa ini di tahap 4,259 JLH (Juta Liter Sehari). Ini adalah kerana jumlah kapasiti bekalan air yang boleh dikeluar dan diagihkan dari kesemua 34 loji sedia ada adalah sekitar 4,371 JLH sahaja.
“Tujuan GPRS melawat Loji Rawatan Air Sungai Langat dengan membawa sekali beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin setempat, wakil penduduk dan pihak media adalah untuk melihat sendiri operasi di sini dan bagi membuktikan bahawa loji ini telah melebihi kapasiti pengeluaran air sebanyak 24 peratus iaitu daripada 386 juta liter sehari kepada 478 liter sehari”, katanya.
Pada masa sama jelas beliau lagi GPRS mahu membuktikan bahawa keputusan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan exconya tidak mahu melaksanakan Loji rawatan Air Langat 2 adalah keputusan yang politik dan pentingkan diri sendiri! Projek tersebut dapat merawat sebanyak 1.89 bilion air mentah yang akan disalurkan ke Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.
“Betapa ceteknya pemikiran Abdul Khalid dan barisan exconya apabila mereka mahu air mentah dalam empangan dipam keluar untuk disalurkan kepada rakyat.
“Air dalam empangan bukan untuk kegunaan harian, sebaliknya ia adalah simpanan untuk digunakan pada musim kemarau apabila paras air sungai rendah. Air empangan ini pula jika digunakan secara berteusan hanya mampu bertahan selama 4 bulan sahaja,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang.
Pada masa yang sama tegas beliau lagi kerajaan negeri turut membekukan CAPEX atau perbelanjaan modal milik Syabas sejak 2008 menyebabkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan paip-paip air tidak dapat dilaksanakan. Tindakan Abdul Khalid mahu mengambil alih (step-in) Syabas hanyalah untuk mengalih perhatian rakyat daripada kegagagalan kerajaan negeri menguruskan air di Selangor.
“Kini apabila rakyat menderita, mereka terus menjadikan Syabas sebagai kambing hitam. Untuk mengaku kesilapan sendiri? Sudah tentu tidak! Kerajaan negeri bukan sahaja mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan bahkan memutar belit fakta kerana bimbang rakyat tahu perkara sebenar.
“Apa yang rakyat perlu faham ialah kerajaan negeri memiliki aset air sebagaimana dan bertanggungjawab menyediakan air bersih, manakala Syabas sebagai operator pengagihan bertanggungjawab membekal dan mengagihkan bekalan air terawat. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM606 juta untuk melaksanakan projek-projek mitigasi supaya penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak mengalami krisis air walaupun mendapat tentangan kerajaan negeri,” tambahnya.
Kata beliau lagi tindakan kerajaan negeri terus berpolitik dan menyelewengkan fakta untuk mengaburi mata rakyat tidak akan menyelesaikan krsis air, malah akan menjadi lebih teruk. Sepatutnya kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menangani masalah ini bukan menuding jari menyalahkan pihak lain.
Paling menyakitkan hati, ketika rakyat menderita kerajaan negeri hanya berpeluk tubuh, tidak berbuat apa-apa.
“Bagi yang mahu mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai krisis air ini, GPRS menjemput semua hadir ke majlis taklimat di Sekolah Kebangsaan Beranang pada Sabtu ini, jam 10 pagi.
“Kita perlu bagi penjelasan kepada rakyat agar tidak terus terpengaruh dengan pembohongan kerajaan negeri PKR dan tidak diperbodohkan dengan auta Menteri Besar dan barisan exconya yang hanya tahu bercakap daripada membantu rakyat!,” tambahnya. -MediaUMNO

Denggi Terus Membunuh

Kes denggi di Selangor mencatatkan peningkatan sehingga 354% dalam tempoh dua bulan pertama tahun 2014 iaitu 6,211 kes berbanding 1,367 kes tahun lalu.
Sehingga 8 Februari lalu, empat daerah utama yang menunjukkan kes  denggi tertinggi adalah daerah Petaling (2738 kes), Hulu Langat (1784 kes), Gombak (644 kes) dan Klang (775 kes).
Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi Dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata, situasi denggi di Negeri Selangor masih membimbangkan dan secara am, peningkatan kes berterusan telah dilihat semenjak awal bulan Mei 2013.
Menurutnya, Kerajaan Negeri dalam tempoh dua bulan lalu berusaha membasmi wabak denggi melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Strategi utama program kawalan denggi di Negeri Selangor adalah melalui aktiviti “cari dan musnah” kawasan potensi pembiakan nyamuk di dalam dan di luar rumah.
“Aktiviti pencegahan ini termasuklah menerusi gotong-royong berkala dan pemeriksaan rumah untuk pembiakan nyamuk sekurangnya ’10-minit sekali seminggu’,  penubuhan Pasukan ‘Communication for Behavioral Impact (COMBI) Denggi dan Skuad Anti-Denggi di tempat kerja atau belajar dan kawasan perumahan.
Untuk tujuan ini, katanya Jawatankuasa Tetap Kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah melancarkan kempen di laman sosial Facebook mengenai situasi semasa denggi di Negeri Selangor (www.facebook.com/situasidenggiselangor).
Melalui Facebook, katanya orang ramai boleh mendapatkan maklumat denggi terkini, mempelajari kaedah-kaedah pencegahan denggi, melihat gambar-gambar tempat berisiko pembiakan Aedes dan digalakkan untuk bertanya soalan dan memberi pendapat serta cadangan bagi mengukuhkan lagi program kawalan denggi di Negeri Selangor.
Sementara itu, Daroyah turut mengumumkan kempen ‘Ayuh Gempur Aedes Khas’ sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang bagi membasmi lokaliti pembiakan nyamuk di kawasan tersebut.
Katanya, kempen akan bermula pada 2 Mac depan dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) diarahkan untuk mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk aedes untuk melaksanakan proses pembersihan.
“Selain memelihara kesihatan dan keselamatan penduduk tempatan, kita tak mahu orang awam yang datang bertugas sebagai jentera pilihan raya pulang ke negeri asal masing-masing dengan membawa wabak denggi dari Kajang,” katanya.

Krisis Air Selangor Mainan PR

Seorang ahli Lembaga Pengarah FELDA, Datuk Mohd Isa Abu Kassim Sabtu mendakwa tercetusnya krisis air di beberapa kawasan di Selangor adalah akibat mainan politik Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata krisis tersebut tidak mungkin timbul sekiranya kerajaan negeri pimpinan PR bersetuju dengan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, lima tahun lalu.

"Kerajaan Persekutuan telah lama menjangkakan bahawa krisis air akan berlaku di Selangor dan mahu membina Loji Rawatan Air Langat 2, sejak lima tahun lalu.

"Bagaimanapun kerajaan negeri di bawah pemerintahan pakatan pembangkang telah mempolitikkan isu tersebut sehingga menyebabkan pembinaan loji itu yang sepatutnya dimulakan sebelum ini masih tidak dimulakan sehingga sekarang," katanya.

Mohd Isa berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 1,000 kotak air mineral kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif bagi meringankan beban masyarakat Dengkil yang terputus bekalan air sejak dua minggu lalu.

Sementara itu, Shahrum berkata lebih 6,000 kotak air mineral telah diagihkan kepada penduduk hasil sumbangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan, Angkatan Tentera Malaysia dan badan-badan korporat.

--BERNAMA

Harap rakyat didahulukan,yang menanggung seksa dan azab daripada permainan politik ini adalah RAKYAT.Kesianlah kat kami rakyat marhaen ini.