Halaman

Rabu, 11 Disember 2013

Awas! Berhati-Hati Dengan Powerbank Palsu Berisi Pasir!


Sejak kebelakangan ini, penggunaan powerbank dikatakan semakin meluas, di mana-mana sahaja mesti ada orang yang menggunakannya, banyak peniaga yang menjual powerbank ini kerana mendapat permintaan yang tinggi.

Tapi bagi pembeli, anda hendaklah berhati-hati dan berwaspada dengan powerbank yang hendak dibeli, ada satu kes di mana seorang pembeli ditipu apabila powerbank yang dibelinya berisi pasir. Walaupun berlaku di luar negara tak mustahil boleh berlaku di negara kita.

Niat seorang lelaki di Taiwan membeli bateri portabel atau popular disebut “power bank” berkapasiti besar, mendapat nasib malang apabila peranti yang dibeli itu dipenuhi pasir.

Lelaki ini dikatakan membeli sebuah power bank berkapasiti “24000 mAh” buatan sebuah syarikat berasal dari Shenzhen, China.

Jika dilihat sepintas lalu, tak ada yang pelik atau luar biasa dengan power bank berwarna putih tersebut. Terdapat satu butang ‘ON’ diikuti lampu-lampu indikator dan port USB. Yang mencurigakan adalah keterangan kapasiti yang terdengar terlalu luar biasa.

Setelah dibuka, ternyata di bahagian dalam power bank ini ditemui dua beg plastik berisi pasir, yang kemungkinan sengaja ditempatkan untuk memberi sensasi “berat” yang meyakinkan.

Power bank tersebut masih boleh digunakan untuk mengisi bateri gadget kerana memang menyediakan sebuah power-cell yang kelihatan uzur. Kapasiti aslinya tidak diketahui, tetapi kemungkinan besar tidak mencapai 24000 mAh yang tertulis pada pelekat di bahagian bawahnya.


Umno kekurangan ulama jelas isu Syiah

Umno kekurangan ulama bagi membahaskan isu fahaman Syiah yang semakin menimbulkan salah faham dalam kalangan umat Islam.

Kenyataan itu dibuat Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir ketika menjawab soalan penonton pada sesi Dialog Bersama Pemimpin yang mengupas Impak Krisis Timur Tengah Kepada Malaysia, hari ini.

Beliau juga menyatakan parti selain Umno tidak begitu serius dalam usaha menyekat penyebaran fahaman tersebut.

"Dalam soal Syiah, belah sana nampaknya tak berapa serius nak bersama kita menyekat penyebaran fahaman itu.

"Belah kita pula tak cukup orang untuk bahas soal Syiah," katanya.

Beliau akui Umno memerlukan lebih ramai ulama seperti Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya.

"Ustaz Fatul Bari ada di sini, dia antara yang lantang. (Beliau) masuk (video) dalam Youtube untuk menjelaskan soal Syiah.

"Tapi, tak cukup ramai. Kita perlu lebih ramai lagi," katanya.

Beliau mencadangkan agar peluang dibuka seluas-luasnya supaya ulama-ulama lain turut bersama Umno membanteras isu Syiah tersebut.

"Saya syorkan, kalau boleh...sepatutnya boleh lah kan? Kita buka peluang seluas-luasnya supaya ulama-ulama ini bersama-sama kita.

"Kalau itu dapat kita lakukan, saya percaya orang yang melihat Umno menjauhi agama, akan kembali bersama kita.

"Dan orang yang dulunya merasakan Pas itu mewakili agama, akan sedar bahawa, kita pun dua kalimah syahadah juga, kita pun sembahyang lima waktu juga, kita pun seIslam dengan mereka juga," katanya.

Syiah: Pas nak tengok bukti dahulu

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan bukti yang menyatakan pemimpin nombor dua Pas terlibat ajaran Syiah.

Beliau berkata jika benar seperti yang dikatakan menteri tersebut, Pas akan mengambil bertindak termasuk meminta pemimpin terlibat mengangkat sumpah.

"Zahid kemukakanlah dulu bukti, kalau Zahid ada.

"Saya tak mahu Mat Sabu sumpah dahulu, kita nak tengok bukti dulu.

"Saya pun nak tengok (bukti), lepas itu baru kita boleh ambil tindakan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan nama Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kembali dikaitkan dengan ajaran Syiah.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno pada ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno.

Susulan itu, Mohamad atau Mat Sabu telah menyatakan akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid sekaligus mengakui beliau adalah pengikut dan pengamal ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Terbaru, Ahmad Zahid berjanji akan mendedahkan bukti mengenai pemimpin nombor dua Pas terlibat ajaran Syiah.

Dalam pada itu, Harun juga berkata, dalam perlembagaan Pas ahlinya adalah mesti daripada pengikut Sunni.

"Saya tak tahu, saya tak terima apa-apa laporan mengenai Syiah dalam parti.

"Lagipun perlembagaan kita telah tetapkan ahli Pas mesti mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," jelasnya.

Mengenali karekter seseorang melalui statusnya di Facebook

Perdana :Perdana Menteri




Guan Eng biadab, harus mohon maaf

Lim Guan Eng
Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang Datuk Jahara Abdul Hamid menyifatkan kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang melabelnya "racist grandmother" atau nenek rasis sebagai biadab dan tidak sopan.
Beliau yang sangat kecewa dengan label itu mahu Ketua Menteri memohon maaf dengan serta-merta dalam persidangan Dun.
"Guan Eng tidak sepatutnya merendah kaum wanita dan perkataan itu tidak seharusnya keluar dari mulut seorang Ketua Menteri.
"Itu adalah satu penghinaan kepada semua wanita di dunia ini dan saya mahu Guan Eng memohon maaf," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam laporan akhbar hari ini, Guan Eng telah melabel Jahara sebagai seorang nenek rasis kerana membawa isu perobohan gerai-gerai makanan tidak berlesen yang didakwa dilaksanakan secara tidak adil dalam persidangan Dun semalam.
Sementara itu, Jahara berkata kerajaan negeri pimpinan DAP telah bersikap "berat sebelah" dengan perbezaan layanan dalam  meroboh gerai-gerai makanan tanpa lesen di negeri ini. 
Katanya, terdapat empat restoran "makanan laut" yang besar telah beroperasi di tanah milik kerajaan negeri di Jalan Bagan Ajam yang berada tepi pantai namun tiada tindakan perobohan dilakukan.
"Restoran seafood berkenaan dibina dengan konkrit tetapi hanya diberi kompaun setahun sekali sebaliknya seorang makcik yang berniaga di depan rumahnya di Persiaran Gurney, gerainya telah diroboh tanpa diberi sebarang notis minggu lepas," katanya.
Beliau berkata keempat-empat restoran makan laut itu dibina di satu bangunan kekal tetapi mereka hanya dikenakan kompaun.
"Ini satu tindakan yang tidak telus dan kurang adil dan saya berharap Guan Eng dapat memberikan penjelasan yang munasabah,"  katanya. - Bernama

Guan Eng minta maaf dengan Jahara?

Selepas menggelar ketua pembangkang, Datuk Jahara Hamid sebagai nenek rasis kerana membangkitkan isu Pulau Mazhu dan isu perobohan gerai makanan tidak berlesen yang didakwa dilaksanakan secara tidak adil dalam sidang Dun semalam, akhirnya Ketua Menteri  Lim Guan Eng tampil memohon maaf.

Dalam satu kenyataan hari ini, Guan Eng berkata, jika Jahara terasa hati kerana digelar seorang nenek yang rasis kerana ia berkait dengan gendernya, beliau hanya akan memanggilnya seorang rasis.    

"Saya memohon maaf kerana menggunakan perkataan ‘nenek’.

"Namun beliau tetap seorang yang rasis kerana memainkan api kebencian terhadap kaum dan agama melalui pembohongan konon saya meluluskan penukaran nama Pulau Jerejak menjadi Pulau Mazhu (seorang dewa Cina) kerana saya meluluskan tokong Mazhu..

"Pembohongan ini memainkan sentimen agama sedangkan Pulau Mazhu ini tidak wujud pun," katanya.

Menurutnya, satu lagi pembohongan yang dilakukan ketua pembangkang itu ialah apabila bertanya kenapa tiada tindakan diambil ke atas empat gerai tanpa lesen milik pengusaha Cina di Pantai Bersih di Butterworth.

"Beliau sengaja tidak menyebut bahawa tiada tindakan diambil terhadap lebih empat pengusaha gerai Melayu tanpa lesen dalam kawasan yang sama dan ia jelas sekali tidak wujud ‘double standard’ seperti yang didakwa.

"Kerajaan negeri tidak akan berdiam diri terhadap penipuan yang bertujuan menimbulkan kebencian antara masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama," katanya.

Kenaikan tarif elektrik beri kesan kepada inflasi

Kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa 1 Januari, 2014, dijangka memberi kesan sementara kepada kadar inflasi negara, kemungkinan naik sedikit kepada 3.0 peratus tahun depan daripada 2.8 peratus sekarang, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, hari ini.

Beliau berkata bank pusat itu tidak menilai bagi asas bulan ke bulan.

"Penilaian awal kami ialah ia mungkin menyebabkan kenaikan inflasi sebanyak 0.4 peratus. Justeru itu, memandangkan kadar semasa ialah 2.8 peratus, ia boleh mencecah 3.0 peratus," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Tenaga 2013, di sini.

Zeti berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai pengumuman semakan tarif elektrik oleh kerajaan semalam.

"Kami melihat kepada trend dan penilaian kami ialah pelarasan ini akan memberi kesan sementara kepada inflasi," katanya. - Bernama

Tarif elektrik naik kurangkan sakit apa?

Mohd Asri Zainal Abidin
Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini, menyifatkan kenaikan tarif  elektrik yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2014 nanti sebagai tidak munasabah sekaligus akan membebankan rakyat.

Menurutnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) baru-baru ini, telah melaporkan keuntungan yang tinggi, namun agak mengejutkan apabila tarif elektrik tetap dinaikkan dengan kadar yang sangat drastik.

“TNB melaporkan keuntungan yang tinggi malangnya tarif eletrik tetap naik dengan drastiknya.

“...tahun 2014 tarif elektrik baru bermula.. 2015 GST bermula.. rakyat Malaysia sentiasa ceria dengan kenaikan yang pelbagai.

“Jika bulan lepas gula dikurangkan subsidi kerana hendak mengelakkan rakyat kencing manis.. kini tarif elektrik dinaikkan untuk mengurangkan penyakit apa pula?” katanya yang dipetik menerusi laman Facebooknya.

Semalam Bernama melaporkan subsidi elektrik dan gas akan disemak semula, dengan kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/KWJ, berkuat kuasa 1 Januari 2014.

Tarif elektrik semasa ialah 33.54 sen/KWJ.

Harga naik: Ramai tak puas hati



Harga naik: Ramai tak puas hati
Walaupun kerajaan sudah berusaha memberi alasan kenapa kadar tarif elektrik perlu dinaikkan awal bulan depan, banyak pihak masih tidak puas hati dengan tindakan itu.

Apakah perasaan pihak-pihak yang membantah itu, yang meliputi NGO dan pemerhati, boleh dipandang remeh atau diperlekehkan?

Daripada pengalaman lalu, apa yang mereka luahkan ada logiknya dan adalah sesuatu yang wajar sekiranya cadangan mereka diberi perhatian.

Perlu diingat, selepas PRU13 pada 5 Mei lalu, beberapa perubahan telah berlaku.

Yang paling awal dan tentunya yang paling menimbulkan keresahan banyak pihak adalah pemotongan subsidi yang menyebabkan RON95 naik 20 sen seliter.

Kenaikan harga petrol itu mempengaruhi peniaga dan pengusaha kenderaan dan lain-lain perkhidmatan segera menaikkan harga barang dan tambang atau meminta kenaikan setengah harga barang dan tambang dipertimbangkan.

Kenaikan harga gula tidak lama lepas itu memaksa banyak lagi peniaga dan pengusaha menaikkan harga barang dan caj perkhidmatan.

Ia tidak berhenti di situ sahaja. Keazaman kerajaan untuk menyuburkan ekonomi melihat penglibatannya dengan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dengan 11 negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan penguatkuasa sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

TPP akan dibincangkan di taraf muktamat di Singapura pada 7 Disember ini, sementara GST sudah diumumkan perdana menteri akan dilaksanakan mulai April 2015.

Dengan rancangan itu yang dikhuatiri menambah beban rakyat, apakah mereka boleh dipersoalkan apabila bertanya kenapa harga barang dan caj perkhidmatan perlu dinaikkan?

Maka dengan apa yang berlaku, mereka boleh dimaafkan apabila menjadi bimbang dan meminta kerajaan kaji semua segala yang disusun ini.

Dalam kenaikan kadar tarif elektrik, banyak pihak meminta kerajaan mengkaji semula perjanjian dengan pengeluar tenaga persendirian (IPP) untuk pastikan tindakan yang diambil syarikat-syarikat gergasi yang tidak berpihak kepada pengguna digubal semula.

Apakah setengah NGO yang mewakili pengguna tidak wajar mempersoalkan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ atau menyifatkan tindakan menaikkan kadar tarif yang akan membebankan ramai pengguna sebagai tamparan hebat kepada rakyat selepas PRU13?.

Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) bantah kenaikan kadar tarif elektrik yang diumumkan kerajaan, dengan mendakwa ia akan terus menekan rakyat golongan bawahan yang sudah pun terpaksa berdepan dengan kos sara hidup semakin tinggi.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pelaksanaan tarif baharu mulai 1 Januari 2014 itu tidak selari dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ yang sering dibawa oleh kerajaan BN.

Mereka memandang serius perlaksanaan kadar tarif elektrik baharu 15 peratus atau 4.99 sen per kilowatt jam seperti diumumkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air kelmarin.

“Kami pandang serius kenaikan 14.9 peratus tarif elektrik. Ini satu tamparan besar kepada rakyat selepas PRU13.

“Ternyata slogan ‘Rakyat Didahulukan’ gah dicanangkan BN adalah pisau bermata dua,” katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.

Katanya, mereka mempersoalkan dengan pengurangan subsidi dalam banyak sektor masih tidak cukup untuk menampung sikap belanja tidak berhemah oleh kerajaan.

“Jika jawapannya ya, maka pihak kerajaan perlu bertanggungjawab. Jangan salahkan rakyat jika mereka mengelak cukai walhal pengkhianat sebenar boros berbelanja.

“AMK maklum kerajaan pernah uar-uarkan kajian terperinci akan dibuat berkaitan tarif elektrik ini. Maka dengan pengumuman kenaikan itu,  kami menggesa kerajaan dedahkan dapatan kajian itu kepada umum,” katanya.

Katanya, seorang timbalan menteri kewangan memberitahu Parlimen baru-baru ini, kadar tarif elektrik kekal berikutan kestabilan harga minyak dunia.

“Ia jelas bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Maximus Ongkili kadarnya dinaikkan sebagai rasionalisasi subsidi untuk kukuhkan kedudukan kewangan negara, selain kesan penyelarasan harga gas domestik, gas asli cecair, arang batu dan semakan tarif asas TNB,"katanya.

Pasport: Tidak perlu bawa gambar lagi


Pasport: Tidak perlu bawa gambar lagi

Pasport: Tidak perlu bawa gambar lagi

Kena kawal harga barang naik

PADA suatu masa dahulu, saya anggap saya sinonim dengan keadaan di Pulau Pinang. Masa itu dengan megah saya beritahu rakan-rakan dari luar kononnya saya tahu setiap lorong di pulau  itu.

Masa kecil, saya pukul kaki dan kemudian naik basikal masuk kampung, keluar kampung; Kampung Makam, Kampung Dodol, Kampung Selut, Kampung Jawa, Sungai Pinang, Klawai dan banyak lagi.

Apabila mula bekerja, saya, dengan kawan-kawan sebaya, naik motosikal pusing seluruh bandar dan keliling pulau sejauh kira-kira 70 km.

Hari ini wajah dan suasana sudah banyak berubah. Kampung-kampung itu sudah dihimpit hutan konkrit; kos yang perlu dibayar untuk menikmati pembangunan.

Masa belasan tahun, hampir setiap dua minggu sekali, saya ikut ayah dan rakan-rakan pasukan badmintonnya panjat Bukit Bendera melalui Moon Gate, dekat Taman Bunga yang menarik ratusan pengunjung setiap hujung minggu dengan kejernihan air terjun dan monyetnya yang banyak.

Hari ini saya tidak nampak lagi orang mandi-mandi di air terjunnya dan monyet pun macam sudah kurang. Harap-harap bukan akibat dicuri orang.

Masa kempen pilihan raya umum pertama, saya selalu mendengar di corong radio lagu Mari Mengundi yang disampaikan penghibur serba boleh masa itu, Zainal Alam.

Lagu itu menyebut: Marilah tuan dan puan; 27 hari bulan; undilah calon yang utama; marilah, undilah bersama-sama.

Macam-macam stail yang menarik dalam kalangan penceramah dan pemimpin parti politik semasa kempen, yang saya ikuti di Padang Brown (orang Pulau Pinang sebut Padang Berom).

Antara penceramah hebat ialah Presiden Pas, Allahyarham Datuk Asri Muda. Beliau terkenal bukan sahaja kerana ucapannya yang berapi-api, tetapi juga stailnya yang unik.

Ada pada suatu malam, ketika beliau berucap, hujan lebat. Apabila ada petugas naik ke pentas membawa payung untuknya, beliau menolak tawaran itu. Beliau mendapat tepukan kerana tindakan itu.

Tepukan hadirin menjadi bertambah gemuruh apabila Asri meminum air hujan yang memenuhi gelas diletak atas rostrum. Sekarang Padang Brown yang menjadi tempat remaja bermain bola kelihatan kecil setelah dikelilingi gerai-gerai makanan.

Semalam saya ke tempat yang dikenali Rope Walk, di depan Stadium Pulau Pinang di Jalan Perak. Sebenarnya, kawasan itu ialah Lorong Kulit, bekas kawasan parkir. Rope Walk yang sebenar di mana terdapat penjualan barang-barang lama dan antik ialah di pusat bandar raya (dekat Chulia Street).

Di kawasan baru di depan stadium itu, macam-macam barang ada; daripada kasut, baju dan seluar bundle kepada barang elektronik, antik dan buah-buahan.

Gambar-gambar hitam putih anak-anak Pulau Pinang; Tunku Abdul Rahman dan Tan Sri P Ramlee, wajah bangunan, jalan raya dan kenderaan awam di bandar Pulau Pinang pada tahun-tahun 40-an hingga 70-an. Dari mana datangnya gambar-gambar lama itu saya  tidak pasti.

Yang saya tahu, disebabkan sambutan sangat menggalakkan, lot-lot niaga di situ sudah bertambah banyak sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Di situ ada tiga atau empat pentas yang macam-macam bentuk hiburan; tari-tarian, nyanyian, main baling bola dan gelang rotan untuk memenangi hadiah dan tentunya persembahan boria.

Malam paling sesak ialah ketika persembahan oleh anak kemegahan Pulau Pinang, seniman legenda Tan Sri P Ramlee dengan kumpulan penyanyinya Puan Sri Saloma, Tan Sri S M Salim serta pelawak A R Tompel dan Ibrahim Din.

Lorong kulit itu sebenarnya tidak sampai 150 meter dari rumah ibu P Ramlee di Counter Hall. Dua tiga kali saya ke rumah itu bersama Nasir (anak P Ramlee yang sekelas dengan saya dari darjah satu hingga tiga di hujung tahun 50-an). Hari ini kawasan itu selalu dilanda banjir.

Kawan-kawan yang masih tinggal di Pulau Pinang mengeluh makanan di sesetengah tempat di sini mahal. Mentang-mentang dikunjungi ramai pelancong antarabangsa, bihun sup yang patutnya berharga RM3.50 atau RM4 paling tinggi, dijual dengan harga RM6 di gerai kawasan tepi pantai.

Itulah harga pembangunan yang perlu dibayar, tetapi apakah peniaga mahu terus ambil kesempatan? Pihak penguat kuasa mahu tengok sahaja!

Pijak tangga stesen LRT Masjid Jamek, dengar bunyi piano

Mulai hari ini, penumpang yang memijak anak tangga di stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Masjid Jamek boleh mendengar alunan muzik piano.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Monorel Rapid Rail Sdn Bhd, Abdul Hadi Amran, perkara itu merupakan yang pertama diwujudkan di premis pengangkutan awam di negara ini.

Kos menyiapkan 'tangga piano' itu ialah sebanyak RM400,000, katanya pada majlis pelancarkan tangga itu oleh Ketua Pegawai Pembangunan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azmi Abdul Aziz.

"Objektif utama program ini adalah untuk menyokong pelan Prasarana 2.0 bagi mempromosi perkhidmatan pengangkutan awam negara bertaraf dunia," kataAbdul Hadi.

Azmi turut melancarkan kelab Alumni Rapid Rail bagi mengeratkan hubungan antara syarikat dengan bekas pekerja.- Bernama

Tambang LRT, monorel pula naik?

Tambang bagi pengangkutan awam jenis LRT dan monorel dijangka naik pada tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan sedang mengkaji semula struktur tambang pengangkutan awam itu.

Beliau juga berkata, peningkatan itu bergantung kepada peningkatan tarif elektrik yang akan bermula Januari depan.

"Sudah 10 tahun tambang tak pernah dinaikkan, jadi kadar tambang LRT dijadualkan akan naik tahun depan," katanya dipetik The Malay Mail.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, kajian itu akan dilakukan secara menyeluruh dan mengambil kira beberapa faktor untuk memastikan kenaikan itu tidak membebankan rakyat.

"Ia akan menjadi satu keadaan menang-menang antara kemampuan orang ramai dan kemampanan industri kereta api.

"Kita sedar kenaikan bahan api dan kos tenaga boleh menyebabkan kesan negatif dengan bilangan penumpang yang rendah dan mengurangkan  pasaran saham pengangkutan awam," katanya.

Selain itu, Syed Hamid berkata, sebarang keputusan yang dibuat akan memastikan jangka panjang industri rel mampan dan kurang bergantung kepada sokongan kewangan kerajaan.

Pemohon Pasport Tidak Perlu Bawa Foto Mulai 1 Mac 2014

Pemohon Pasport Tidak Perlu Bawa Foto Mulai 1 Mac 2014 - 

PUTRAJAYA - Mulai 1 Mac tahun depan, warga Malaysia yang memohon pasport baharu, penggantian pasport atau penyambungan pasport gantian tidak perlu membawa foto untuk dilekatkan di borang permohonan mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemohon hanya perlu datang ke pejabat imigresen untuk mengambil gambar mereka.

"Tiada caj dikenakan untuk pengambilan foto itu dan tiada bayaran tambahan dikenakan untuk perkhidmatan pengambilan gambar berkenaan kerana ia adalah arahan diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus kepada beliau dan Jabatan Imigresen baru-baru ini," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menghadiri Hari Imigresen 2013 di ibu pejabat Jabatan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mod Radzi dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad.

Dalam pada itu, Alias berkata bagi tahun 2012, Jabatan Imigresen menerima sebanyak 2.3 juta pemohon pasport Malaysia.

Justeru itu, jabatan menjangkakan tahun ini (2013) pemohon meningkat kepada 2.6 juta.

Sementara itu, Zahid berkata mulai sekarang pelancong China dan India perlu memohon visa sebelum memasuki Malaysia selepas Jabatan Imigresen mendapati jumlah pelancong asing yang tinggal melebihi tempoh masa yang ditetapkan di Malaysia adalah tinggi.

"Jabatan Imigresen mendapati sebanyak 39,000 pelancong India dan 6,000 pelancong dari China tinggal di Malaysia melebihi masa dan pihak Imigresen bersama pihak berkuasa yang lain telah pun menjalankan gerakan untuk mencari mereka dan menghantar mereka pulang ke negara asal," katanya.

Mengenai pemberian pistol bagi kalangan penguatkuasa Jabatan Imigresen, sebanyak 180 pucuk pistol yang sedia ada tidak mencukupi dan Kementerian Dalam Negeri akan mempertimbang untuk membekalkan anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen dengan senjata api kelak. "Pemberian pistol akan diuruskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen... dan pemberian bergantung kepada jawatan mereka dan kesesuaian untuk mengelakkan kejadian penyalahgunaan senjata api tersebut," katanya.

Ditanya adakah KDN mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya berikutan kejadian rusuhan di kawasan Litle India Singapura Ahad lepas, Zahid berkata kementerian sentiasa bersiap-siaga dan melakukan pemantauan di semua kawasan tumpuan warga asing di seluruh negara.

--Bernama

Di Mana Anwar Ketika Banjir???

Banjir :Jom Menderma



Jom menderma................

Peniaga digesa tak naikkan harga barang


 Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malik meminta peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang disebabkan banjir di Pantai Timur. 

Beliau berkata, ini kerana sayur-sayuran terutama dari Cameron Highlands sukar dibawa keluar dari Pahang berikutan penutupan jalan akibat bencana berkenaan hingga menjejaskan bekalan di negeri lain. 

Berikutan itu, katanya, beliau sudah mengarahkan pegawai penguat kuasa di semua negeri menyiasat dakwaan kenaikan harga barang oleh peniaga yang sengaja mengambil kesempatan berikutan bekalan tidak mencukupi itu. 




Mereka yang menaikkan harga barangan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat jika ada peniaga bertindak demikian ketika banjir ini. 

Maklumat itu penting bagi membolehkan penguat kuasa mengambil tindakan pantas dan aduan boleh dibuat secara terus dengan menghubungi talian 1800-886-800, katanya ketika dihubungi BH, di sini semalam.

Bahasa Melayu di IPTA merosot

Majlis Bahasa Melayu Institut Pengajian Tinggi (IPT) Nusantara mendapati penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi di universiti awam di negara ini merosot sehingga 10 hingga 15 peratus. 

Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Emeritus Dr Ibrahim Komoo, berkata penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi dinilai dalam konteks pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan. 


Gagasan pembangunan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sebenarnya sudah berkembang pesat pada 1970-an hingga 1990-an yang dimulakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga mencapai kira-kira 65 peratus. 


Tingkat bahasa Melayu 

Kami berharap dapat menstabilkan kembali dan meningkatkannya sedikit demi sedikit apabila Majlis Bahasa Melayu IPT Nusantara membincangkan perancangan dan strategi untuk bergerak ke hadapan bagi menangani kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi, katanya selepas Majlis Dialog Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Tinggi di sini, semalam. 

Hadir sama, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Persekutuan, Tan Sri Dr Rais Yatim; Ahli Sidang Pelaksana Pusat Majlis Bahasa Melayu IPT Nusantara, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong dan Pengarah Penerbit UMT, Prof Madya Dr Noraien Mansor. 

Ibrahim berkata, perbincangan itu turut membabitkan wakil Brunei Darussalam dan Indonesia yang turut melihat bagaimana kesatuan Nusantara dapat digemblengkan untuk melonjakkan bahasa Melayu pada tahap ilmu tinggi pada peringkat serantau. 
Sementara itu, Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata Badan Bertindak Bahasa Melayu perlu ditubuhkan dan disertai sarjana serta ahli akademik khususnya wakil IPT, badan bukan kerajaan, selain individu. 

Badan itu boleh menggunakan pendekatan berhemah untuk menasihatkan kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan, bukan saja dalam merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahkan menterjemahkannya sebagai bahasa ilmu tinggi. 

Jika profesor dan pensyarah tidak melakukan sesuatu, bahasa Melayu akan mendap sehingga tidak dapat bangkit lagi sebagai bahasa ilmu, sekali gus lebih banyak wadah diperlukan bagi perbincangan lebih kerap dalam memberikan sumbangan kepada institusi masing-masing, katanya. 

Rais berkata, beliau tidak mempertikaikan beberapa institusi termasuk UIAM yang perlu menggunakan bahasa Inggeris seperti yang diletakkan syarat antarabangsa oleh kumpulan negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada awal penubuhannya.

Anggota polis maut dijangkiti Influenza A


Seorang kakitangan wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkhidmat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, disahkan maut selepas dijangkiti Influenza jenis A+ ketika dirawat di Hospital Mahkota, Melaka, pada 5 Disember lalu. 

Mangsa yang berusia 48 tahun itu, dikatakan mengadu tidak sihat selepas menghadiri majlis bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Melaka pada hari sama, sebelum dimasukkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan. 


Khalid ketika mengesahkan perkara itu berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di hospital terbabit kira-kira jam 11.10 pagi keesokan harinya akibat jangkitan wabak berkenaan. 



Katanya, berikutan kematian itu, kira-kira 300 orang kakitangan awam PDRM termasuk beliau sendiri dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan saringan di hospital atau klinik berhampiran bagi mengelak wabak merebak. 

Demam serius 

Mangsa dimasukkan ke hospital akibat demam serius sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian selepas dijangkiti wabak itu, katanya selepas majlis Anugerah Balai League Table (BLT) 2013, di sini, semalam. 

Sementara itu, tiga kakitangan awam IPK Kedah yang turut menghadiri perjumpaan bersama Ketua Polis Negara disahkan positif mengalami simptom jangkitan Influenza A+. 
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan tiga individu terbabit dikuarantin untuk pemeriksaan susulan. 

Hasil pemeriksaan awal dilakukan mengesahkan mereka positif jangkitan influenza itu, sebelum dikuarantin untuk beberapa hari. Bagaimanapun mereka sudah dibenarkan pulang semalam (kelmarin) selepas pemeriksaan lanjut mengesahkan mereka bebas jangkitan virus berkenaan, katanya. 

Hidap penyakit tiroid 

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam menafikan mangsa meninggal dunia akibat jangkitan virus Influenza A (H1N1), sebaliknya disebabkan penyakit tiroid dihadapinya. 

Kementerian diberitahu, mangsa meninggal dunia disebabkan penyakit tiroid dan tiada sebarang tanda H1N1 dikesan, katanya.

Lima bukti kegiatan Syiah pemimpin PAS

Lima bukti kegiatan Syiah pemimpin PAS
 Sekurang-kurang lima bukti kukuh akan dikemukakan bagi membuktikan kegiatan serta kecenderungan seorang pemimpin kanan PAS terhadap fahaman Syiah di negara ini. 

Menurut sumber, segala bukti itu sudah lama dikumpul pihak berkuasa yang sememangnya sudah sekian lama menyedari kegiatan pemimpin PAS terbabit yang mengamalkan fahaman bertentangan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah. 


Difahamkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi mendedahkan kepada orang ramai berhubung kegiatan Syiah pemimpin kanan PAS terbabit. 


Enggan dedah secara teliti 

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan secara teliti lima bukti yang dimaksudkan bagi mengait pemimpin PAS kerana ia akan didedahkan oleh pihak berkaitan dalam masa terdekat. 

Antara kecenderungan pemimpin PAS terbabit terhadap gerakan Syiah ialah mengagumi serta menyeru supaya meneladani pemimpin revolusi Iran iaitu Ayatollah Khomeini, serta perlu menyokong pemimpin Iran itu. 

Beliau juga secara terangan mengakui mengagumi ulama Syiah Lubnan selain turut menuntut ilmu agama dengan seorang guru agama Syiah di utara tanah air dan kerap berkunjung ke Iran. 
Semua bukti itu sudah ada dengan pihak berkuasa dan ia akan didedahkan kepada umum satu masa nanti, katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Pemimpin PAS yang didakwa berfahaman Syiah didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO pada ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu. 

Sikap berpura-pura 

Sementara itu, bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad, berkata Syiah sememangnya sudah meresap dalam parti itu selepas revolusi Iran dan ramai kalangan mereka menghantar anak belajar ke negara itu. 

Nakhaie berkata, Syiah berjaya meresap dalam PAS adalah kerana revolusi Iran dan pada masa itu, mereka masih belum memahami Syiah dalam erti kata sebenar yang boleh membawa kepada penyelewengan akidah. 

Nak kesan pengikut fahaman Syiah ini amat susah kerana mereka mempunyai sikap berpura-pura, misalnya bila berada di tanah suci Makkah golongan ini boleh solat mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, katanya. 

Teliti bukti KDN 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata JAKIM perlu meneliti bukti dikemukakan KDN sebelum melakukan penyiasatan terhadap pemimpin kanan PAS yang didakwa mengamalkan ajaran Syiah. 

Katanya, tindakan yang akan diambil nanti, bukan hanya bertumpu kepada pemimpin kanan PAS itu, malah kepada semua yang mengamalkan ajaran Syiah. 

Tidak kira pemimpin nombor satu, dua, tiga atau empat, ia merangkumi semua dan tidak terikat kepada mana-mana parti. Asalkan dia orang Malaysia dan Islam, kemudian dia terikat dengan Syiah, tindakan akan diambil. 

Kita akan berbincang dengan KDN, kita nak tengok bagaimana pendedahan (yang akan dibuat). Di Malaysia, muzakarah fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan Syiah kerana ia terkeluar daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, itu dari sudut hukum. Cuma, dari sudut pendakwaan kita perlukan kepada pembuktian, katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian sambutan Bulan Zakat dan Ijtima Amil Zakat Kebangsaan 2013 di sini, semalam.