Halaman

Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan

Isnin, 23 Disember 2013

PAS korban prinsip untuk kelihatan lebih terbuka


Meneliti dan mendengar penjelasan Ustaz Kazim Elias mengenai punca beliau meninggalkan PAS seperti yang penulis paparkan minggu lalu, mudahlah kita memahami kenapa begitu ramai ulama dan tokoh agama sebelum beliau tidak lagi mahu bersama parti itu. Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Datuk Ghazali Ahmad, Datuk Nakhaie Ahmad, Datuk Dr Hassan Ali, Ustaz Hassan Basri, Prof Datuk Dr Shahnon Ahmad, Dr Mohd Noor Deris, Ustaz Kamal Saidin juga ulama pondok yang disegani di Kedah dan Kelantan termasuk Tok Guru Haji Rahim Pendang, Tok Guru Sobri Osman dan Tok Guru Abdullah Sa’amah, sekadar menyebut beberapa nama, semuanya melahirkan kekecewaan dengan sikap hipokrit pucuk pimpinan PAS dan kegagalan parti itu mempertahankan martabat Islam dan umatnya. 

Mereka tidak boleh terima hakikat bahawa PAS sanggup pusing 360 darjah berhubung dasar parti dan perjuangan asas. Konsep Negara Islam, kalimah Allah dan tahaluf siyasi dengan parti rasis-cauvinis Cina DAP dan parti menyokong liberalisme dan pluralisme agama Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah sebab utama mereka hilang terus kepercayaan kepada PAS. 

Terdesak raih sokongan bukan Melayu 




Menyedari ia dan sekutunya tidak mungkin mendapat undi mencukupi untuk memerintah negara tanpa sokongan bukan Melayu dan melihat kejayaan formula Barisan Nasional (BN) dalam banyak pilihan raya umum pada dekad 1970-an, 1980-an dan 1990-an, PAS mengambil keputusan bersekongkol dengan DAP sejak 15 tahun lalu. Pada hal, PAS sebelum itu menunjukkan sikap politik yang anti-Cina dan India. Ketika menubuhkan PAS pada 1951, pemimpinnya menentang kerakyatan diberi kepada orang Cina dan dan India. 

Mereka mahu Kerajaan British mengetatkan undang-undang imigresen agar orang Cina dan India, masing-masing berjumlah 1.2 juta dan 270,000 ketika itu, tidak mudah berada di Persekutuan Tanah Melayu. Malah, PAS mahu pastikan tiada orang Cina atau India berjawatan menteri, ketua menteri, gabenor atau pegawai tinggi angkatan tentera (Baca buku Alias Mohamed, Malaysia’s Islamic Opposition: Past, Present and Future, 1991). 

Benci PAS kepada Cina dan India bukan setakat soal kerakyatan dan jawatan, malah melimpah kepada Melayu yang turut dianggap kafir kerana berbaik-baik dan bekerjasama dengan bukan Melayu. Dalam setiap pilihan raya sejak 1950-an hingga sekitar 2000, PAS melaung-laungkan bahawa orang Islam tidak boleh mengambil bukan Islam sebagai pemimpin. 
PAS melarang ahli dan penyokongnya memberi undi kepada calon Cina atau India kerana perbuatan itu seperti mengangkat orang kafir jadi pemimpin. PAS mendakwa UMNO jadi kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC sejak 1955. Apabila UMNO bergabung dengan parti lain menubuhkan BN pada 1974, apatah lagi apabila Tun H S Lee, Tun Tan Siew Sin, Tun VT Sambanthan dan Tan Sri Manikavasagam dilantik menteri Kabinet, pemimpin PAS memutarbelit maksud ayat 28 Surah Al-Imran. Dalam ceramah di seluruh negara, mereka menimbulkan istilah ‘kafir berikat’ yang ditujukan kepada UMNO. 

Sikap ekstremis PAS meresap ke dalam sistem pendidikan, organisasi dan pertubuhan. Di sekolah dan universiti, PAS tidak toleran dengan kaum lain dalam aspek agama dan budaya. Mereka membantah dan mengadakan demonstrasi apabila pelajar atau persatuan Cina dan India ingin mengadakan konsert, tarian naga/singa dan pertunjukan budaya. Melawat rakan Cina dan India pada hari perayaan, malah menghantar kad ucapan juga, dianggap haram. Dari segi pakaian dan pendekatan pula, mereka membezakan diri mereka dengan kaum lain. 

Sehingga 1980-an, ada penceramah PAS yang menjatuhkan haram kepada orang Melayu-Islam memakai tali leher dan kot. Ramai penganalisis sosial, psikologi dan politik berpendapat sikap benci yang melampau terhadap semua yang dianggap kafir dan taghut telah mewujudkan kumpulan pelampau dalam PAS. 
Dalam pilihan raya kecil Teluk Kemang dan Lunas (2000), PAS mendakwa jika undi diberi kepada calon India (MIC), itu ibarat menyokong kuil dan gereja. Menurut PAS, orang Islam wajib undi calon Islam (PKR) kerana itu menyokong masjid. 

Selama 50 tahun, wujud jurang yang lebar antara PAS dengan bukan Islam. PAS tiada tempat di hati orang Cina dan India. PAS juga tidak minat undi Cina. Di Kelantan misalnya, hubungan rapat pemimpin UMNO dan MCA-MIC dijadikan bahan cacian. PAS menggelar Pengerusi MCA Kelantan ketika itu Foo Chow Yong, sebagai ‘Ustaz Foo’ bertujuan mengejek UMNO kononnya berustazkan pemimpin Cina. 

Apabila Parti Semangat 46 mengilhamkan Gagasan Rakyat pada 1990 sebagai pakatan pembangkang untuk jatuhkan BN, PAS tidak mahu menyertai atas alasan tidak boleh bersekongkol dengan DAP. Mana boleh parti yang dipimpin ulama berkongsi kuasa dengan parti yang dipimpin orang kafir? Sekitar waktu inilah Karpal Singh mengeluarkan amaran melangkah mayatnya dulu jika PAS mahu menubuhkan negara Islam. Sebagai kompromi, diwujudkan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan Parti S46, Berjasa dan PAS manakala S46, DAP dan Parti Rakyat Malaysia berada dalam Gagasan Rakyat. 

Kuasa Allah dan kehendak-Nya, terbukti juga belang PAS akhirnya. Pada 1999, PAS menggadai prinsip yang dipegangnya selama ini dan berpakat dengan DAP dalam Barisan Alternatif kerana realiti politik. Ia terpaksa menelan semula ludahnya semata-mata untuk mendapat kuasa. Sejak 14 tahun lalu, PAS berusaha keras untuk menunjukkan ia lebih terbuka, melakukan pelbagai perkara yang tidak terfikir oleh ahli sendiri terutama penyokong di luar bandar, untuk menjatuhkan kerajaan BN yang bertunjang kuasa Melayu-Islam.

Rabu, 18 Disember 2013

Fitnah Tak Henggat Punye



Mohd Sabu Nak Saman Zahid Hamidi

Mohamad Sabu

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyatakan kelewatannya bertindak apabila dikaitkan dengan isu Syiah kerana mahu kekal "cool".

Bercakap kepada Sinar Harian dalam wawancara khas semalam, Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, apabila dirinya dikaitkan dengan fahaman itu, perkara pertama dilakukan adalah tidak boleh melatah dan perlu berbincang dengan individu yang lebih arif mengenainya.

"Saya orangnya jenis "cool",  saya kena berbincang dengan peguam dan benda ini bukan benda perlu melatah apa-apa.

"Saya pun sudah sebut dah tajuk ini (dalam sidang media), biarlah ia di mahkamah, baik kita cakap benda lain," katanya dalam temu bual yang diadakan di pejabatnya, semalam.

Awal bulan ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno menyatakan pembabitan pemimpin nombor dua Pas itu dengan fahaman Syiah.

Beliau kemudian menggesa pihak bertanggungjawab mengendalikan kes itu

Susulan itu,  Ahmad Zahid menerusi kementeriannya mengemukakan 10 bukti bagi mengaitkan Mat Sabu dengan Syiah dan menggesa pemimpin Pas itu membuktikan dirinya tidak terlibat dengan fahaman itu.

Selain 10 bukti yang didedah kepada awam, KDN berkata, beberapa bukti yang dikategorikan gred A akan diserahkan kepada Jakim bagi tindakan selanjutnya.

Namun Mat Sabu dilihat mengambil pendekatan relaks dan baru semalam secara rasminya menyatakan pendirian berhubung tuduhan penganut Syiah yang dilemparkan ke atasnya.
 
Beliau mengumumkan bakal memfailkan saman ke atas Ahmad Zahid kerana mendakwa menteri itu sebagai pencetus yang mengaitkan beliau dengan isu Syiah.

Dalam pada itu, Mat Sabu yang baru semalam diumumkan sebagai Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang yang baru berkata, selepas ini beliau tidak akan lagi bercakap kepada umum isu berkaitan Syiah.

"Saya memang tak akan cakap isu ini lagi, saya akan cakap isu biasa saja," katanya.

Selasa, 17 Disember 2013

Luahan Hati Ustaz Kasim

Luahan hati Ustaz Kazim

Ini dugaan untuk ustaz..Sabar ye ustaz.....

PAS melenting jika kena tegur


Marah orang PAS kepada Ustaz Kazim Elias bukan bermula dua minggu lalu apabila beliau ditawarkan menduduki kerusi Majlis Tertinggi UMNO. Pemimpin dan penyokong PAS sudah berbuku hati dengan beliau sudah lama. Puncanya, Ustaz Kazim suka bercakap benar. Ketika masih menjadi ahli PAS, beliau sering dan berani mengeluarkan pandangan mengenai pelbagai isu agama, termasuk menyentuh politik semasa dalam ceramahnya.

Banyak kali pandangannya bercanggah dengan pendapat pemimpin PAS. Bagi orang PAS pandangan yang menyakiti telinga dan hati tidak boleh diterima, walaupun benar. Jika teguran Ustaz Kazim terkena kepada pemimpin PAS melentinglah mereka. Jika teguran terkena kepada orang lain, diam dan senang hatilah mereka. Maknanya, bagi orang PAS, kebenaran adalah sesuatu yang subjektif, bukan mutlak. 
Ustaz Kazim tegas menolak tahaluf siyasi PAS dengan DAP dan PKR kerana dibuat atas dasar dendam kesumat kepada Muslimin lain. Katanya, PAS tidak konsisten dengan perjuangan sendiri dan gagal mempertahan konsep Negara Islam apabila bersekongkol dengan parti dipimpin orang yang terang-terang menolak Islam, anti-Melayu serta menyokong pluralisme dan homoseksualiti. Manakala PAS hanya bercakap, kerajaan pimpinan UMNO sudah lama melaksanakan dasar Islam dalam kehidupan umat meliputi sistem kehakiman, perundangan, pendidikan, kewangan, pentadbiran dan ekonomi. “Busuk-busuk orang UMNO, mereka jaga Islam dan boleh laksana dasar Islam. Tapi busuk-busuk orang PAS, mereka rela bersekongkol dengan puak anti-Islam, penentang sekolah agama dan pendukung liberalisme semata-mata nak ke Putrajaya,” katanya dalam satu ceramah pada 2012. 





PAS sanggup jual agama 

Pandangan begini tentulah tidak popular dalam kalangan orang PAS. Pemikiran popular dalam PAS ialah menjatuhkan kerajaan UMNO-BN (Barisan Nasional) dengan apa cara sekali pun. Yang utama ialah mendapat kuasa, nilai dan ajaran agama boleh diketepikan dulu. Justeru, PAS sanggup menjual agama dan berkompromi dasar perjuangan sendiri. 

“Bila PAS tukar negara Islam kepada negara berkebajikan, ahli sendiri jadi keliru. Kalimah Allah juga tidak dipertahan. Bila ada pemimpin PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kata kalimah Allah boleh diguna orang bukan Islam selagi mereka tidak salah guna, bagaimanakah cara dia nak kawal? PAS lebih rela menjaga hati DAP dan PKR daripada menjaga hati umat Islam dan martabat agama.” Padahal, dalam kalangan pemimpin DAP dan PKR, ramai yang rasis, pembohong, pemfitnah dan pengamal pluralisme agama. 
Ustaz Kazim juga mengkritik sikap hipokrit PAS. “Dalam soal hudud, orang PAS cepat hukum Kerajaan Pusat sekular dan kafir kerana belum laksanakannya. Padahal negeri yang diperintah PAS puluhan tahun pun tak laksana juga. Belum laksana hudud bukan bermakna tolak Islam. Samalah apabila seseorang belum pergi haji tidak bermakna dia tolak haji, justeru, boleh dilabel kafir.” 


PAS tak patut musuhi kerajaan 

PAS sepatutnya berperanan melengkapkan pelaksanaan dasar dan perundangan Islam dalam negara ini, bukan memusuhi kerajaan yang diterajui pemimpin Melayu-Islam atau membuang dasar dan prasarana yang terbina selama ini. “Ibarat karpet atau sejadah di rumah kita. Jika setompok saja terkena air kencing anak kecil, kita perlu basuh di tompok itu saja. Tidak perlulah kita basuh semua tempat atau buang kar-pet itu. Kita ikutlah cara Ahli Sunnah Wal Jamaah, bukan cara Syiah atau Khawarij.” 

Malah, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat juga tidak terkecuali daripada tegurannya. Ustaz Kazim menganggap Nik Aziz menghina Nabi Muhammad kerana berpandangan Baginda hanya mendapat rahmat Allah apabila dilantik menjadi Nabi pada umur 40 tahun. Menurut Nik Aziz, sebelum itu, Nabi Muhammad ‘sama seperti mamat-mamat lain’ malah ibu Baginda, Aminah, tidak tahu beliau mengandungkan seorang nabi. “Orang yang berkata begini fahaman apa ni? Tidakkah dia tahu mamat-mamat lain di Makkah ketika itu masih jahiliah, minum arak dan sembah berhala? Nabi Muhammad macam itukah?” Menurut Ustaz Kazim, banyak hadis sahih menegaskan kerasulan Nabi Muhammad. Dalam satu ceramahnya, pendakwah popular Ustaz Azhar Idrus berkata Nik Aziz sudah ‘terbatal akidahnya’ kerana merendahkan martabat Rasulullah. 

Menurut Ustaz Kazim, agama menjadi bercelaru apabila pemimpin politik mengambil alih peranan Majlis Fatwa dan mengeluarkan fatwa sesuka hati. Sikap Nik Aziz yang celupar dan tidak berhati-hati mendorong ramai pengikut seacuan, tidak terkecuali beberapa artis yang baru masuk PAS dan terus menjadi ustaz dan ustazah. “Baru dua hari pakai tudung dah jadi ustazah. Mana boleh beri ceramah agama kepada orang tanpa ilmu, tanpa belajar?” 

Oleh kerana ketegasan dan atas nama kebenaran dalam memberi pandangan, Ustaz Kazim sering difitnah dan dipanggil pelbagai nama buruk seperti Ustaz Khinzir. 
Kepada mereka, beliau memberi amaran. “Ada orang beritahu anak saya yang belajar di Darjah 6 bahawa bapanya adalah anjing. Mereka pakai serban dan jubah tapi mulut tak jaga. Islam tak ajar kita fitnah atau maki orang. Ini perbuatan fasik dan haram. Ingatlah, seburuk-buruk fasik ialah memberi gelaran buruk dan hina kepada orang lain.”

Isnin, 16 Disember 2013

PAS sudah lama diresapi Syiah

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu kini hangat dikaitkan dengan fahaman Syiah.

PAS didakwa sudah lama diresapi fahaman Syiah dan ramai di antara pemimpin mereka yang menganut fahaman berkenaan memegang jawatan penting dalam parti Islam itu di peringkat pusat dan akar umbi, lapor akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.
Akhbar berbahasa Melayu itu memetik sumber keselamatan yang memaklumkan, PAS mula diresapi Syiah selepas Revolusi Iran dan fahaman itu semakin bertapak kukuh dalam parti berkenaan kerana ramai kalangan lulusan Iran menyertai parti itu dan seterusnya terpilih menjadi pemimpin.
Menurut Utusan Malaysia, maklumat risikan percaya satu pertemuan khas melibatkan beberapa pemimpin parti itu yang diyakini mempunyai kaitan dengan gerakan Syiah akan berlangsung dalam masa terdekat tetapi motifnya masih disiasat.
"Kita sedang meneliti semua maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sudut tetapi pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan pertemuan sulit itu ada kaitan dengan isu Syiah yang kini hangat dikaitkan dengan Mat Sabu.
"Penilaian juga sedang dibuat apakah pertemuan sulit berkenaan turut mempunyai kaitan dengan sambutan hari memperingati Arbain (Ashura) yang akan disambut 23 Disember ini," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.
Sumber itu memberitahu, pihak berkuasa kini memantau pergerakan beberapa pemimpin kanan PAS yang dipercayai ada kaitan dengan gerakan Syiah di negara ini selain gerak-geri Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
Menurut sumber terbabit, pada tahun lalu sahaja lebih 100 pengikut fahaman Syiah dari Malaysia menyeberangi sempadan untuk menyambut hari memperingati Arbain di markas terbesar Syiah di Asia Tenggara yang terletak di Satun, Thailand.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan penelitian, tahun lalu tiada pemimpin kanan PAS yang disyaki terlibat dengan gerakan Syiah mengunjungi Satun, sempena hari memperingati kematian cucu Rasulullah, Saidina Hussein.
Semelam media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan memiliki bukti eksklusif 'gred A' berupa pengakuan lebih 20 individu yang didakwa mampu 'menceritakan' kecenderungan Mat Sabu dengan fahaman Syiah.
Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Zamihan Mat Zain Al-Ghari, berkata mereka merupakan individu terdekat dan rapat dengan pemimpin itu.
“Ada yang 'sekapal' daripada sudut politik, ada juga pengikut Syiah yang sudah bertaubat. Mereka ini rapat dengan pemimpin tersebut, orang yang berkawan dengannya, jadi 'anak buah' dia. Mereka menyaksikan apa dia cakap, buat dan libatkan aktiviti berkaitan Syiah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas KDN yang mengatakan mempunyai bukti "gred A" mengaitkan Mohamad dengan fahaman Syiah tetapi gagal mengemukakan bukti kukuh.
"Ini yang saya tidak faham apa dia gred A, gred B ini? Kita tidak tahu dulu tidak ada, bulan lepas tidak dengar pula alih-alih ada gred A.
"Kalau betul kementerian mempunyai gred sedemikian, maka jelaskan kepada rakyat apa itu gred yang dikatakan," katanya.
Mohamad sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya berfahaman Syiah, tetapi tidak menolak beliau mengagumi pemimpin besar Revolusi Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al-Khomeini dan Setiausaha Agung Hezbollah, Sayyid Hassan Nasrallah. – 16 Disember, 2013.
Kalau tak salah,mengapa nak menggelabah pembangkang ni??tak faham aku tengok..

KDN seperti pembekal telur ayam, kata PAS

Bukti gred A dan B KDN ala pembekal telur ayam, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar. Gambar fail.
PAS menyifatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti “pembekal telur ayam” apabila agensi itu mengatakan mereka mempunyai bukti gred A dan B berhubung penglibatan Mohamad Sabu dengan fahaman Syiah.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata kenyataan KDN mengenai hanya 1,500 rakyat Malaysia menjadi pengikut Syiah membuktikan fahaman itu bukan satu ancaman besar, tetapi digunakan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kenaikan kos kehidupan.
“Apa bukti gred A, gred B KDN? Macam pembekal telur ayam yang ada gred A, gred B dan Omega 3.

Apabila KDN kata hanya 1,500 rakyat Malaysia di Selangor, Perak dan Johor menganut fahaman Syiah terbukti ia langsung tidak merbahaya kepada negara,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, KDN yang seharusnya menjaga keselamatan negara kini sudah menjadi seperti “badan penglipur lara.”
“10 bukti yang dikemukakan KDN berhubung penglibatan Mat Sabu dengan fahaman Syiah bukannya bahan bukti tetapi cerita penglipur lara yang boleh menghiburkan.
“Mereka mahu rakyat Malaysia terutama orang Melayu lupa kenaikan kos kehidupan seperti tol, minyak, gula dan banyak lagi,” katanya.
Hari ini akhbar milik Umno, Utusan Malaysia melaporkan PAS sudah lama diresapi fahaman Syiah dan ramai di antara pemimpin mereka yang menganut fahaman berkenaan memegang jawatan penting dalam parti Islam itu di peringkat pusat dan akar umbi.
Akhbar berbahasa Melayu itu memetik sumber keselamatan yang memaklumkan, PAS mula diresapi Syiah selepas Revolusi Iran dan fahaman itu semakin bertapak kukuh dalam parti berkenaan kerana ramai kalangan lulusan Iran menyertai parti itu dan seterusnya terpilih menjadi pemimpin.
Mengulas mengenai laporan itu Mahfuz berkata: “Sumber dan bukti KDN tidak dapat meyakinkan rakyat. Rakyat kini menunggu roadshow tentang Syiah KDN yang mereka anggap seperti ‘sarkis’.”
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas KDN yang mengatakan mempunyai bukti "gred A" mengaitkan Mohamad dengan fahaman Syiah tetapi gagal mengemukakan bukti kukuh.
"Ini yang saya tidak faham apa dia gred A, gred B ini? Kita tidak tahu dulu tidak ada, bulan lepas tidak dengar pula alih-alih ada gred A.
"Kalau betul kementerian mempunyai gred sedemikian, maka jelaskan kepada rakyat apa itu gred yang dikatakan," katanya.
Mohamad sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya berfahaman Syiah, tetapi tidak menolak beliau mengagumi pemimpin besar Revolusi Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al-Khomeini dan Setiausaha Agung Hezbollah, Sayyid Hassan Nasrallah. – 16 Disember, 2013.

Berani kerana benar,takut kerana salah.

Ahli Pas Terlibat Syiah

JAKIM, MAIN buat tindakan susulan

Kes seorang pemimpin PAS yang dikaitkan dengan fahaman Syiah kini diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk tindakan undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kementeriannya akan menyerahkan semua bukti berhubung perkara itu kepada dua pihak berkuasa agama terbabit kerana kes berkenaan sudah masuk peringkat penguatkuasaan. 


“Dalam perkara ini, saya fikir tindakan susulan akan dibuat JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri. Bukti akan kita serahkan semuanya kepada JAKIM kerana kami (KDN) terbabit dalam soal keselamatan, soal akidah kita serahkan kepada pihak berkuasa agama negeri,” katanya. 

Bukti akan kita serahkan semuanya kepada JAKIM kerana kami (KDN) terbabit dalam soal keselamatan, soal akidah kita serahkan kepada pihak berkuasa agama negeri” Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri


Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Air Bagan Datoh, di sini semalam.

Zahid mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Zamihan Mat Zin kelmarin bahawa kementerian itu memiliki bukti eksklusif ‘gred A’ berupa pengakuan lebih 20 individu yang didakwa mampu 'menceritakan' kecenderungan pemimpin PAS berkenaan dengan fahaman Syiah.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi turut mendedahkan kementerian itu mempunyai 10 maklumat untuk mengaitkan pemimpin pembangkang terbabit dengan fahaman berkenaan.

Sambil yakin pihak berkuasa agama akan mengambil tindakan tegas berhubung kes itu, Zahid berkata, beliau tidak mahu lagi mengulas isu berkenaan kerana ia kini di peringkat penguatkuasaan. 
“Seperti disebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, beliau akan menugaskan bahagian penguatkuasaan MAIN untuk melakukan pendakwaan dan langkah penguatkuasaan lain,” katanya sambil mengulangi cabaran kepada pemimpin PAS itu supaya membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Khamis, 12 Disember 2013

Melayu Melukut Di Bumi Sendiri





Terang-Terang DAP Tulis Mahu Hapuskan Keistimewaan Bumiputra


Kepada rakyat Malaysia, masa masih ada untuk anda buat keputusan. Bukti apa agenda yang DAP hendak lakukan kepada kaum bumiputra telah jelas terbentang depan mata anda sekarang. Jangan sesekali beri undi kepada DAP, PAS dan PKR jika tidak mahu segala keistimewaan bumiputra dihapuskan. 

Pas boleh kata mereka akan jaga keistimewaan bumiputra. Jangan percayakan Pas....Mereka nak jaga kalimah Allah pun tak boleh hingga terpaksa bersetuju dengan DAP. Perjuangan negara islam mereka sendiri pun mereka gugurkan, bagaimana mereka nak jaga kita ?

Apa Kata Pembangkang Buat Dulu

Desakan rakyat boleh turunkan kos sara hidup

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata kepedulian dan kerjasama rakyat itu penting dalam menjayakan kempen kesedaran itu bagi memastikan nasib rakyat terbela akibat tindakan kerajaan Barisan Nasional yang menaikkan beberapa keperluan rakyat akibat penghapusan subsidi selepas PRU13 lalu.

“Berjaya atau tidak kempen Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) itu bergantung pada sambutan daripada rakyat, kalau rakyat rasa perlu menyokong saya yakin kempen ini beri kesan.

“Jika rakyat tidak peduli, saya percaya kempen ini sukar berjaya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan gabungan NGO dan mahasiswa yang melancarkan gerakan mendesak kerajaan menurunkan kos sara hidup rakyat hari ini di pusat membeli-belah terkemuka di ibu negara yang antara lain membantah kenaikan harga barangan dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Gerakan itu juga mendapat sokongan daripada parti politik yang mempersoalkan tindakan kerajaan yang membebankan rakyat selepas PRU13 lalu.

Menurut Suhaizan, kempen itu meletakkan lima agenda iaitu menghapuskan subsidi kepada industri, memecahkan monopoli terutamanya pembekal gula, menangguhkan pelaksanaan GST, mendedahkan perjanjian konsesi tol, menamatkan korupsi yang berleluasa.

Tambah beliau, pemberian subsidi kepada rakyat boleh diteruskan jika pengurusan kewangan negara dilakukan dengan lebih cekap dan mengatasi kelemahan seperti mana yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

“Kalau kewangan negara diurus dengan baik, kita akan dapat mengelakkan ketirisan dengan itu duit kita akan lebih terjamin dan lebih banyak lagi dan boleh menampung subsidi kepada rakyat,” katanya lagi.
Selain beliau, turut hadir Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Teo Kok Seong yang juga selaku Adun Bahau dan beberapa pemimpin aktivis mahasiswa.

Apa kata kerajaan pembangkang buat dulu.............boleh tak????????


Pas digesa tidak pilih bulu

Pas digesa supaya tidak bersifat memilih bulu atau cuba melindungi anggota parti berfahaman Syiah yang jelas bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

Ketua UMNO bahagian Ledang Datuk Ir. Hamim Samuri menegaskan, sebaliknya mereka perlu bersama-sama membanteras ajaran itu tanpa mengira fahaman politik.

Anggota Pas yang mengikuti fahaman itu perlu didedahkan dan tidak menyembunyikan perkara itu hanya kerana bimbang pengaruh parti itu terjejas, katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Khatan Asnaf Parlimen Ledang di Masjid Jamek Tangkak, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, lebih membimbangkan fahaman itu juga turut diikuti pemimpin tertinggi parti berkenaan dan perkembangan itu amat berbahaya.    

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang meminta kerajaan menangkap ketua dan pengikut Syiah di negara ini jika benar-benar serius mahu membasmi fahaman berkenaan.

Hamim berkata, semua pihak perlu bekerjasama tanpa mengira fahaman politik untuk membasmi fahaman itu kerana sukar menangkap ketua dan pengikut Syiah kerana mereka sangat licik dan berselindung atas nama agama.

"Ajaran Syiah boleh dibanteras jika mendapat kerjasama daripada orang ramai," katanya sambil berharap bekas menteri besar Kelantan itu bersama-sama kerajaan membantu menyekat penularan fahaman itu.

Beliau turut menyatakan keyakinan dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Isnin lepas berhubung beberapa bukti pemimpin Pas terlibat fahaman itu.

Hamim berkata, semua pihak perlu akur dengan keputusan yang sudah ditetapkan kerajaan bahawa fahaman Syiah menyimpang daripada ajaran Islam sebenar bagi memastikan akidah umat Islam tidak terpesong. - Bernama

'Kami belum terima pelawaan minum teh'

Selepas beberapa hari Perhimpunan Agung Umno berlalu, Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusoff bagaimanapun masih belum menerima apa-apa pelawaan 'minum teh' sepertimana yang dinyatakan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Kita Muslimat, tak dapat apa-apa pelawaan daripada dia (Shahrizat), kita sentiasa terbuka untuk muzakarah.

"Kami tak akan tunggu macam itu saja pelawaan itu, kami tak akan membazirkan masa kami.

"Tapi kalau itu setakat nak gimik politik... kami banyak kerja lain nak buat," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.  

Siti Zailah berkata demikian ketika ditanya sama ada Dewan Muslimat ada menerima sebarang pelawaan daripada Wanita Umno, yang sebelum ini mahu menjadi pemangkin kepada muzakarah pertama Umno-Pas.

Shahrizat pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu lalu menyatakan, Wanita Umno bakal memulakan langkah pertama muzakarah dengan Dewan Muslimat Pas sebaik Perhimpunan Agung Umno kali ini selesai.

"Wanita Umno menjadi ejen perpaduan. Kita akan mulakan Islam dengan Islam. Saya kenal beberapa pemimpin Muslimat, saya akan mulakan silaturahim yang pertama.

"Ini bukan atas dasar politik. Mungkin kita mula dengan minum teh. Saya akan buat jemputan selepas Perhimpunan Agung Umno ini tamat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti Zailah berkata, Muslimat Pas kini menumpukan usaha membantu rakyat yang terjejas akibat banjir.

"Kita sekarang ini, daripada tunggu untuk muzkarah, kita sedang sibuk tolong mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal dan keperluan asas.

"Lebih elok kita lakukan apa yang perlu dahulu," katanya.

Isu Syiah 'hilang' jika Umno, Pas bersatu?

Umno yang mengaitkan ajaran Syiah dengan pemimpin nombor dua Pas itu hanya sekadar khabar angin "lama" jika tidak ada tindakan dilakukan.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, perkara itu cuba dibangkitkan untuk menonjolkan parti masing-masing di hadapan rakyat sebagai  pejuang, khususnya dalam agama Islam dan kaum Melayu.

Menurutnya, perkara berkaitan agama Islam dan kaum Melayu telah lama digunakan oleh Umno dan Pas termasuk isu Syiah untuk mengekalkan sokongan rakyat.

"Bagi saya isu Syiah ini sebenarnya bukan perkara besar bagi kedua pemimpin terlibat, ia hanya sekadar untuk menghangatkan Perhimpunan Agung Umno contohnya.

"Sebab saya lihat perkara ini telah lama, khabar angin yang mengaitkan pemimpin nombor dua Pas ini sering diperkatakan namun tiada tindakan, akhirnya senyap," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menggemparkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2013 apabila meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan ke atas orang nombor dua Pas kerana didakwa mengamalkan ajaran Syiah.

Ahmad Zahid  ketika sesi penggulungan PAU itu berkata, telah memberikan 'lampu hijau' kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang portfolio agama menjalankan tugasnya.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam Pas. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya.

Dalam pada itu, Azizuddin berkata isu Syiah ini mungkin hilang jika Pas dan Umno bergabung.

"Kalau dari sudut lainnya, isu Syiah yang sering dibangkitkan sejak dulu lagi, ia mungkin akan hilang begitu saja jika kedua-dua parti ini bersatu.

"Namun kalau KDN ada bukti, mereka boleh dedahkan dan ambil tindakan, ini juga isu akidah umat Islam," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam isu tersebut, Jakim yang akan memainkan peranan besar untuk mengambil tindakan terhadap pengamal ajaran Syiah itu.

"Kalau kita tengok kenyataan Ahmad Zahid itu, dia telah serahkan tugas kepada Jakim, jadi Jakim yang terbeban sebenarnya.

"KDN sudah boleh cuci tangan," ujarnya.

Adun Pas puji tindakan Ahmad Said agih roti

MB guna kuasa 'veto' tahan lori Gardenia

Tindakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang menahan dua buah lori Gardenia untuk mengagihkan bekalan rotinya kepada mangsa banjir di Kemaman baru-baru ini mendapat pujian pembangkang.

Dalam sesi perbahasan Belanjawan 2014 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu hari ini, Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepoh) memuji tindakan Menteri Besar yang menahan kenderaan berkenaan di kawasan Chendor, Pahang minggu lalu.

Hishamuddin berkata, Menteri Besar tidak sanggup melihat rakyat kelaparan akibat terperangkap dalam banjir selepas laluan Kemaman-Kuantan ditutup akibat dinaiki air.

"Saya kira, jika saya berada di tempat Menteri Besar ketika itu, saya juga akan melakukan perkara yang sama atas faktor kemanusiaan," katanya.  

Tindakan Ahmad itu mendapat pujian ramai dan berita tentangnya tersebar luas di laman sosial Facebook dan beberapa blog. - Bernama

Rabu, 11 Disember 2013

Umno kekurangan ulama jelas isu Syiah

Umno kekurangan ulama bagi membahaskan isu fahaman Syiah yang semakin menimbulkan salah faham dalam kalangan umat Islam.

Kenyataan itu dibuat Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir ketika menjawab soalan penonton pada sesi Dialog Bersama Pemimpin yang mengupas Impak Krisis Timur Tengah Kepada Malaysia, hari ini.

Beliau juga menyatakan parti selain Umno tidak begitu serius dalam usaha menyekat penyebaran fahaman tersebut.

"Dalam soal Syiah, belah sana nampaknya tak berapa serius nak bersama kita menyekat penyebaran fahaman itu.

"Belah kita pula tak cukup orang untuk bahas soal Syiah," katanya.

Beliau akui Umno memerlukan lebih ramai ulama seperti Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya.

"Ustaz Fatul Bari ada di sini, dia antara yang lantang. (Beliau) masuk (video) dalam Youtube untuk menjelaskan soal Syiah.

"Tapi, tak cukup ramai. Kita perlu lebih ramai lagi," katanya.

Beliau mencadangkan agar peluang dibuka seluas-luasnya supaya ulama-ulama lain turut bersama Umno membanteras isu Syiah tersebut.

"Saya syorkan, kalau boleh...sepatutnya boleh lah kan? Kita buka peluang seluas-luasnya supaya ulama-ulama ini bersama-sama kita.

"Kalau itu dapat kita lakukan, saya percaya orang yang melihat Umno menjauhi agama, akan kembali bersama kita.

"Dan orang yang dulunya merasakan Pas itu mewakili agama, akan sedar bahawa, kita pun dua kalimah syahadah juga, kita pun sembahyang lima waktu juga, kita pun seIslam dengan mereka juga," katanya.

Syiah: Pas nak tengok bukti dahulu

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan bukti yang menyatakan pemimpin nombor dua Pas terlibat ajaran Syiah.

Beliau berkata jika benar seperti yang dikatakan menteri tersebut, Pas akan mengambil bertindak termasuk meminta pemimpin terlibat mengangkat sumpah.

"Zahid kemukakanlah dulu bukti, kalau Zahid ada.

"Saya tak mahu Mat Sabu sumpah dahulu, kita nak tengok bukti dulu.

"Saya pun nak tengok (bukti), lepas itu baru kita boleh ambil tindakan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan nama Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kembali dikaitkan dengan ajaran Syiah.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno pada ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno.

Susulan itu, Mohamad atau Mat Sabu telah menyatakan akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid sekaligus mengakui beliau adalah pengikut dan pengamal ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Terbaru, Ahmad Zahid berjanji akan mendedahkan bukti mengenai pemimpin nombor dua Pas terlibat ajaran Syiah.

Dalam pada itu, Harun juga berkata, dalam perlembagaan Pas ahlinya adalah mesti daripada pengikut Sunni.

"Saya tak tahu, saya tak terima apa-apa laporan mengenai Syiah dalam parti.

"Lagipun perlembagaan kita telah tetapkan ahli Pas mesti mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," jelasnya.

Lima bukti kegiatan Syiah pemimpin PAS

Lima bukti kegiatan Syiah pemimpin PAS
 Sekurang-kurang lima bukti kukuh akan dikemukakan bagi membuktikan kegiatan serta kecenderungan seorang pemimpin kanan PAS terhadap fahaman Syiah di negara ini. 

Menurut sumber, segala bukti itu sudah lama dikumpul pihak berkuasa yang sememangnya sudah sekian lama menyedari kegiatan pemimpin PAS terbabit yang mengamalkan fahaman bertentangan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah. 


Difahamkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi mendedahkan kepada orang ramai berhubung kegiatan Syiah pemimpin kanan PAS terbabit. 


Enggan dedah secara teliti 

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan secara teliti lima bukti yang dimaksudkan bagi mengait pemimpin PAS kerana ia akan didedahkan oleh pihak berkaitan dalam masa terdekat. 

Antara kecenderungan pemimpin PAS terbabit terhadap gerakan Syiah ialah mengagumi serta menyeru supaya meneladani pemimpin revolusi Iran iaitu Ayatollah Khomeini, serta perlu menyokong pemimpin Iran itu. 

Beliau juga secara terangan mengakui mengagumi ulama Syiah Lubnan selain turut menuntut ilmu agama dengan seorang guru agama Syiah di utara tanah air dan kerap berkunjung ke Iran. 
Semua bukti itu sudah ada dengan pihak berkuasa dan ia akan didedahkan kepada umum satu masa nanti, katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Pemimpin PAS yang didakwa berfahaman Syiah didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO pada ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu. 

Sikap berpura-pura 

Sementara itu, bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad, berkata Syiah sememangnya sudah meresap dalam parti itu selepas revolusi Iran dan ramai kalangan mereka menghantar anak belajar ke negara itu. 

Nakhaie berkata, Syiah berjaya meresap dalam PAS adalah kerana revolusi Iran dan pada masa itu, mereka masih belum memahami Syiah dalam erti kata sebenar yang boleh membawa kepada penyelewengan akidah. 

Nak kesan pengikut fahaman Syiah ini amat susah kerana mereka mempunyai sikap berpura-pura, misalnya bila berada di tanah suci Makkah golongan ini boleh solat mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, katanya. 

Teliti bukti KDN 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata JAKIM perlu meneliti bukti dikemukakan KDN sebelum melakukan penyiasatan terhadap pemimpin kanan PAS yang didakwa mengamalkan ajaran Syiah. 

Katanya, tindakan yang akan diambil nanti, bukan hanya bertumpu kepada pemimpin kanan PAS itu, malah kepada semua yang mengamalkan ajaran Syiah. 

Tidak kira pemimpin nombor satu, dua, tiga atau empat, ia merangkumi semua dan tidak terikat kepada mana-mana parti. Asalkan dia orang Malaysia dan Islam, kemudian dia terikat dengan Syiah, tindakan akan diambil. 

Kita akan berbincang dengan KDN, kita nak tengok bagaimana pendedahan (yang akan dibuat). Di Malaysia, muzakarah fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan Syiah kerana ia terkeluar daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, itu dari sudut hukum. Cuma, dari sudut pendakwaan kita perlukan kepada pembuktian, katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian sambutan Bulan Zakat dan Ijtima Amil Zakat Kebangsaan 2013 di sini, semalam.

Selasa, 10 Disember 2013

Pas tidak menyesal pecat Ustaz Kazim

Pas Perak tidak pernah menyesal memecat Mohammad Kazim Elias biarpun penceramah bebas itu sudah menolak pelantikannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Timbalan Ketua Pemudanya, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, pemecatan Ustaz Kazim bukan satu kerugian kepada Pas kerana parti ini mempunyai ramai tokoh-tokoh agama.
Menurutnya, keputusan Pas itu dilihat tepat kerana selama ini Ustaz Kazim merugikan parti itu.

“Semasa dia (Ustaz Kazim) di dalam Pas, beberapa kenyataan dikeluarkan melalui ceramah-ceramah telah merugikan Pas dan menguntungkan Umno," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Akmal berkata, Pas terbuka menerima sebarang kritikan atau pandangan tetapi biarlah melalui saluran betul.

Menurutnya, bagaimanapun, sekiranya Ustaz Kazim mahu kembali kepada Pas, kepimpinan berkemungkinan akan mempertimbangkannya dengan membuat rayuan kepada Pas Pusat.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria ketika mengulas isu sama berkata, beliau mengakui ketokohan dan ilmu dimiliki Ustaz Kazim, bagaimanapun sejak 2008, tindak tanduknya tidak lagi mesra Pas.

“Dia (Ustaz Kazim) mula berceramah di pentas-pentas Umno dan memburuk-burukkan Pas. Kita ada rakaman dan bukti.

“Dia buatkan ahli dan penyokong keliru. Jadi lebih baik kita pecat dia demi kebaikan Pas sendiri,” katanya.

Isu mengenai pelantikan Ustaz Kazim sebagai ahli MT Umno hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Pemuda Pas Perak kemudiannya tampil mengemukakan bukti bahawa penceramah bebas itu merupakan ahli Pas Kawasan Tambun sebelum Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Ustaz Kazim telah dipecat daripada parti.

30 aduan seleweng akidah diterima tiap tahun

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah mengkaji semula fatwa Syiah 1998 dengan menambah tujuh elemen penyebaran Syiah yang boleh di ambil tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Timbalan Pengarah Jais, Ahmad Zaki Arshad berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah mengeluarkan pekeliling kerajaan kepada penjawat awam bagi menghalang mereka terlibat dengan aktiviti berkaitan Syiah.

Katanya, setiap tahun aduan berkaitan penyelewengan akidah yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak kurang daripada  30.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan Islam  terpelihara dan pegangan ajaran Islam tetap kukuh.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Simposium Serantau Ahli Sunnah Wal Jamaah 2013, yang berlangsung semalam hingga hari ini dan dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dianggarkan 700 peserta menghadiri simposium yang pertama kali dianjurkan Jais dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Lembaga Zakat Selangor.

Abdul Khalid berkata, umat Islam harus menangkis sebarang cubaan membawa fahaman bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Salah satunya melalui pemantapan kerjasama antara ulama, umara, Jais, Jabatan Mufti dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Usaha hebatkan dakwah perlu diteruskan agar pandangan positif terhadap Islam dapat ditanamkan," katanya.

Mat Sabu tak gentar dilabel anut Syiah

mat sabu

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, beliau tidak gentar dengan pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengaitkan dirinya dengan fahaman Syiah.

Malah kata Mohomad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, beliau sudah biasa dengan tuduhan seumpama itu.

Ujarnya, sejak beliau menyertai parti Islam itu pada awal 1080-an, beliau sudah biasa dipenjarakan termasuk dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Umur saya sudah 59, kalau terpaksa habiskan sisa-sisa hidup saya naik turun mahkamah dan masuk penjara, saya akan hadapi,” katanya kepada sebuah portal.

Tambah Mat Sabu, peguam yang dilantiknya kini sedang menunggu tindakan lanjut Ahmad Zahid.

“Peguam masih lagi kaji tindakan susulan yang akan dilakukan. Kita tunggu dulu pendedahan dia,” katanya.

Ahmad Zahid semalam berkata akan mendedahkan bukti dalam waktu terdekat bagi mengesahkan dakwaannya bahawa "orang nombor dua" Pas terbabit dengan fahaman Syiah.

Bukti itu akan didedahkan pada sidang media khas yang akan diketuai oleh Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi serta pegawainya.

Terdahulu, Ahmad Zahid pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno mendakwa "orang nombor dua" Pas terbabit dengan Syiah, kenyataan yang dianggap merujuk kepada Mat Sabu.