Halaman

Khamis, 6 Mac 2014

Menjelang PRK Kajang

spr2
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan penyebaran maklumat serta gambar tertentu oleh pihak tidak bertanggungjawab mengenai PRK DUN Kajang termasuk kehadiran beberapa bas persiaran ke kawasan itu sebagai tidak berasas.
SPR dalam kenyataannya Sabtu memberitahu, laporan dan gambar itu disebar dengan tujuan menimbulkan persepsi bahawa akan berlaku manipulasi dalam PRK Kajang termasuk menggunakan warganegara asing sebagai pengundi.
Laporan itu juga dikaitkan dengan kelewatan tarikh PRK Kajang.
“Bagi SPR laporan itu sengaja ditulis sebagai strategi untuk memburukkan SPR,” menurut kenyataan itu.
Pada 19 Februari lalu, sebuah portal media menerbitkan artikel bertajuk ‘Perkembangan Pelik di Kajang, SPR Patut Minimakan Ruang Manipulasi’ yang antara lain mendakwa Solidariti Anak Muda Malaysia telah mengesan beberapa bas persiaran menurunkan warga Myanmar di hadapan stesen Keretapi Tanah Melayu di Kajang.
Kenyataan itu menyebut berdasarkan laporan itu, penulis artikel tidak faham dan sengaja memutarbelitkan gambar serta fakta untuk mengelirukan orang ramai bahawa SPR tidak telus.
Selain itu, SPR menegaskan tiada petugasnya yang termasuk dalam kategori pengundi awal dalam pilihan raya itu, sebaliknya pengundi awal bagi PRK Kajang hanya melibatkan 1,197 anggota polis.
Menurut kenyataan itu lagi pelantikan petugas PRK Kajang dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang dilantik SPR dan bukannya oleh Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor atau Ibu Pejabat SPR.
“SPR tidak boleh campur tangan dan menetapkan siapa yang akan dipilih untuk bertugas. Perkara itu terpulanglah kepada budi bicara Pegawai Pengurus Pilihan Raya berdasarkan syarat dan panduan yang ditetapkan oleh SPR,” menurut kenyataan itu.
Menjelas lanjut tentang isu petugas PRK Kajang, SPR memaklumkan sebanyak 65 peratus daripadanya diambil dari luar Kajang dan mereka juga bukan pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebagai langkah untuk mengurangkan jumlah pengundi pos.
Manakala, baki 35 peratus lagi adalah petugas-petugas membabitkan pengundi-pengundi di Kajang.
Bagi petugas-petugas PRK yang juga pengundi di DUN Kajang, mereka diberi pilihan sama ada untuk mengundi secara biasa atau memohon untuk mengundi melalui pos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan