Halaman

Selasa, 26 Mac 2013

DAP boleh guna lambang Pas, PKR

Pas bersedia untuk menerima calon-calon DAP bertanding menggunakan lambang parti Islam itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tidak wajar sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggantung DAP dalam situasi PRU13 yang semakin hampir.

Menurutnya, jika ROS bertindak demikian, maka ia seperti ada unsur politik.

“Jika benar DAP digantung, Pas sedia menerima calon DAP bertanding atas tiket Pas.

“Ini bukan suatu yang asing kerana Pas juga ada meletakkan calon daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas. Daripada bertanding atas calon bebas, lebih baik menggunakan lambang parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat (PR),” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa calon DAP berkemungkinan akan bertanding di bawah tiket PKR atau Pas sekiranya pendaftaran parti itu digantung sebelum hari penamaan calon diadakan.

Kebimbangan Karpal Singh itu berikutan siasatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung kontroversi keputusan pemilihan parti itu pada Disember lalu.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, parti komponen Pakatan Rakyat (PR) tiada halangan malah menerima dengan terbuka jika DAP berhasrat bertanding di bawah tiket PKR atau Pas.

Menurutnya, setiap masalah yang dihadapi rakan komponen akan dibantu dan diberi sokongan oleh rakan komponen yang lain.

"Kami dalam PKR tiada masalah untuk DAP bertanding di bawah apa jua tiket parti dalam PR," katanya.

Bagaimanapun, menurut Tian Chua, semua siasatan yang dijalankan ROS perlu dilaksanakan secara adil.

Mengapa susah sangat untuk Dap  mengikut peraturan ROS.Bila nak kena gantung salahkan ROS pula.Padahal salah sendiri mereka tak nampak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan