Halaman

Jumaat, 17 Mei 2013

Kembali kepada asas agama elak perpecahan

Umat Islam perlu kembali kepada asas ajaran agama dalam usaha mengembalikan perpaduan ummah, sekali gus mengelak berlakunya perpecahan dan permusuhan sesama mereka seperti tercetus di beberapa negara Islam di seluruh dunia kerana perbezaan ideologi. 

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, berkata pencapaian hebat Nabi Muhammad SAW perlu dicontohi apabila berjaya menyatukan puak yang berperang, bagi mewujudkan keharmonian pada zaman kegemilangan baginda. Kehebatan Rasulullah perlu dijadikan inspirasi dalam mewujudkan semula keharmonian dalam dunia Islam yang kini berpecah, dengan umat Islam saling bermusuhan danberbunuhan sesama sendiri. 


Berbeza mazhab 

Cukup menyedihkan apabila kita melihat berlaku insiden keganasan, pertumpahan darah dan konflik sesama umat Islam seperti yang berlaku di Syria, Iraq dan Afghanistan hanya kerana berbeza mazhab dan ideologi masing-masing, katanya. 

Baginda berkata demikian ketika merasmi dan menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Dan Keamanan 2013: Islam Dan Diplomasi - Ke Arah Pencarian Keselamatan Manusia Sejagat di Institut Diplomasi & Hubungan Luar Negeri (IDFR), di sini, semalam. 

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Luar Qatar, Dr Khalid Mohammad Al Attiyah dan Pengerusi Institut Kajian Lanjutan Islam Malaysia (IAIS), Profesor Dr Mohammad Hashim Kamali. 
Raja Nazrin yang juga Penaung Diraja IDFR, berkata konflik sesama umat Islam, khususnya di Asia Barat dan Afrika Utara turut memberi persepsi negatif masyarakat antarabangsa terhadap Islam. 

Bawa kehancuran 

Konflik yang tidak berkesudahan membawa kehancuran, kehilangan nyawa tidak berdosa, terutama wanita dan kanak-kanak, selain kemusnahan harta benda menyebabkan berjuta umat Islam menjadi pelarian dan kebuluran. 

Justeru, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) disarankan perlu mencari inisiatif bagi mengembalikan kedamaian dan keamanan di rantau bergolak itu, selain memperjuangkan nasib umat Islam di Selatan Thailand, Selatan Filipina dan etnik Rohingya (Myanmar) daripada terus ditindas, katanya. 

Baginda turut menyatakan perasaan sedih melihat ramai umat Islam hidup dalam keadaan serba kekurangan dan dibelenggu kemiskinan, selain tidak mempunyai kemudahan pendidikan dan kesihatan yang sempurna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan