Halaman

Jumaat, 21 Jun 2013

Datuk KJ calon timbalan Speaker PR

PR hari ini memutuskan untuk mengemukakan calonnya untuk jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi sidang Parlimen 2013-2018.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PR sebulat suara memilih ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar untuk dicalonkan bagi mengisi jawatan terbabit.

Menurutnya, tujuan PR berbuat demikian adalah bagi memantapkan lagi proses demokrasi dan memastikan perjalanan perbahasan berlangsung secara telus dan adil.

"PR tegaskan Speaker mesti dilantik dari kalangan seorang yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat.

"Kita juga nak pastikan Parlimen tidak jadi berat sebelah dan hanya dengar suara sebelah pihak sahaja," katanya pada sidang media, di ibu pejabat Pas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, PR telah menamakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai calon Speaker Dewan Rakyat.

Manakala, BN mengekalkan calon Speaker penggal lalu iaitu Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk meneruskan perkhidmatannya pada sesi Parlimen ke-13.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, pencalonan dua nama adalah sejajar dengan peningkatan bilangan komposisi ahli Parlimen PR.

"Tindakan akan meningkatkan lagi kualiti amalan demokrasi di negara ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan