Halaman

Selasa, 25 Jun 2013

Kerajaan Selangor sedia kerjasama jamin kesihatan


 Rakyat Selangor dinasihati sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan tidak terjejas berikutan jerebu melanda negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media berkata, Kerajaan Selangor juga mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa tetap Kesihatan Negeri, Dr Daroyah Alwi supaya mengedarkan topeng muka kepada orang ramai sebagai kesedaran perlunya menjaga kesihatan dalam keadaan berjerebu ini.

“Kementerian Kesihatan mengumumkan semua sekolah di Selangor ditutup semalam dan kerajaan negeri akan mencadangkan agar sekolah hanya dibuka sehingga Indeks Pencemaran Udara (IPU)  bertambah baik dan selamat kepada pelajar.

“Kerajaan Selangor juga sentiasa sedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan kesihatan rakyat terpelihara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya mengehadkan aktiviti luar rumah dan lebihkan minum air bagi mengelak kesan akibat pendedahan secara berterusan kepada jerebu seperti sukar bernafas, mata pedih dan berair, kegatalan pada kulit dan tekak serta sesak nafas dan sentiasa memakai topeng muka ketika berada di luar atau tempat terbuka.

Peningkatan IPU yang begitu mendadak sehingga mencatat paras indeks yang tidak sihat turut melanda negeri Selangor di mana beberapa kawasan mencatatkan IPU melebihi 100.

Antara kawasan paling terjejas di Selangor adalah Pelabuhan Klang apabila mencatatkan IPU mencecah bacaa 314 pada jam 3 petang semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan