Halaman

Rabu, 12 Jun 2013

Rakyat perlu boikot

Rakyat perlu menghentikan ‘pesta kegilaan’ pembangkang yang menganjurkan perhimpunan membantah dan menolak keputusan PRU13.

Menteri  Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, rakyat perlu menghantar mesej dengan bertindak memboikot dan menghentikan tindakan demikian yang jelas menafikan demokrasi dibuat majoriti rakyat.

“Tindakan pembangkang boleh dikatakan sebagai pesta kegilaan dalam kalangan orang kecewa dan perlu dihentikan.

“Mereka kecewa kerana gagal berkuasa dan meronta seperti anak kecil,” katanya  selepas majlis serah tugas bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim kepada beliau dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz di kementeriannya semalam.

Katanya, pembangkang perlu menerima hakikat majoriti rakyat memberikan mandat kepada BN menerajui negara.

“Kerajaan memerintah ditentukan melalui jumlah kerusi yang dimenangi di kawasan bandar dan orang luar bandar bukan berdasarkan undi popular kawasan bandar.

“Saya rasa perkara ini jelas seperti mana mereka setuju di permulaannya seperti di Perak, jika tidak setuju jangan bertanding. Jangan angkat sumpah kalau tidak terima keputusan di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

Shabery berkata, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan semua syarikat komunikasi di negara ini bagi membincangkan penurunan caj perkhidmatan langganan jalur lebar kepada pengguna negara ini.

Ujarnya, perkhidmatan jalur lebar merupakan asas yang perlu diberi perhatian supaya dapat ditingkatkan ke tahap 80 peratus pada masa akan datang.

“Insya-Allah saya akan adakan perbincangan dalam masa terdekat. Saya juga telah bertanya kepada Ketua Setiausaha Kementerian (Datuk Seri Kamaruddin Siaraf), sama ada perkara ini boleh dilaksanakan, dan beliau beri jaminan boleh kurangkan caj perkhidmatan jalur lebar.

“Kita juga akan buat tanda aras dengan membuat perbandingan caj perkhidmatan di sini dengan negara jiran seperti Thailand dan India,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan