Halaman

Khamis, 20 Jun 2013

TPP beri kebaikan, cabaran

Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) memberikan impak positif kepada negara apabila ia dilaksanakan kelak.
Pensyarah Kanan Program Sains Politik Pusat Pengajian Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, kebaikan kepada negara apabila cukai import dapat dikurangkan.

"Jika kita tidak tandatangani perjanjian ini, kita akan ditekan dengan cukai yang tinggi untuk mengimport barangan luar, jadi sebagai balasan kepada peraturan itu kita dapat membawa masuk barangan dengan cukai yang rendah.

"Selain itu, kebaikan yang diperoleh kerajaan ialah perkembangan perniagaan dalaman dan pertumbuhan kilang-kilang akan  memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan dan meningkatkan pendapatan mereka," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebaikan dan cabaran mengenai TPP yang bakal dilaksanakan.

Bagaimanapun Samsul berkata, pelaksanaan TPP turut mempunyai cabaran yang terpaksa dihadapi negara berikutan saingan dengan syarikat-syarikat ternama yang mempunyai rekod kejayaan masuk ke negara ini. 

"Ada kebaikan dan cabaran bakal dihadapi negara, sejak 10 tahun kebelakangan ini, kita menghadapi cabaran perdagangan global dan pendominasian global terhadap perniagaan tempatan yang akan menggugat atau menyekat perdagangan dalam negara.
"Syarikat-syarikat kecil sukar bersaing di peringkat lebih global," katanya.
Sebelum ini, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dilapor meminta kerajaan mengkaji semula penglibatan Malaysia dalam perbincangan pembentukan perjanjian TPP.
Selain itu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) juga mendesak kerajaan menarik diri daripada TPP kerana perjanjian itu didakwa bakal memudaratkan ekonomi negara.

Perbincangan bagi membentuk perjanjian TPP yang melibatkan 12 negara itu kini telah memasuki pusingan yang ke-17 dan dijangka dimuktamadkan menjelang Oktober 2013.

Negara terlibat ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Malaysia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Jepun.
Mengulas lanjut, Samsul berkata, bagi menghadapi cabaran itu, kerajaan disarankan memperkasakan produk tempatan supaya mampu bersaing di pasaran global.
"Kita perlu fokus kepada barang tempatan untuk dapatkan keuntungan kepada negara kerana cukai import diturunkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan