Halaman

Khamis, 28 November 2013

Janji Khairy

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengurangkan kos perbelanjaan dengan memastikan setiap sen yang dibelanjakan untuk aktiviti dan program di bawah kementerian itu mendapat pulangan dan nilai terbaik, kata menteri berkenaan Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin

Walaupun belum menetapkan sasaran pengurangan kos itu, namun katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha KBS Datuk Jamil Salleh baru-baru ini supaya memperincikan setiap perbelanjaan dan menjadikan kementerian sebagai model terbaik yang mempraktikkan perbelanjaan secara berhemah.

Sambil menyifatkan ia sebagai tugas berat, Khairy bagaimanapun yakin dapat melaksanakannya dalam menegakkan reputasi, integriti dan akauntibliti kementerian itu dalam kalangan rakyat.

"Kita perlu meneliti setiap perkara bagi memastikan kita mendapat nilai terbaik untuk wang yang dibelanjakan. Walaupun kita teruskan dengan program yang besar, tetapi kita belanja kurang. Memang ia sukar tetapi kita boleh melakukannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri forum 'Integriti Bersama' bertemakan 'Mendakap Integriti Demi Menerajui dan Mengurus Perubahan Organisasi' anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di sini hari ini.

Menurut Khairy, pengurangan perbelanjaan dimulakan dengan kadar bayaran elektrik daripada lima hingga 10 peratus dan disusuli dengan perkara-perkara lain.

"Bajet KBS tetap sama tapi kos akan dikurangkan dan ia akan dibelanjakan untuk tujuan lain. Kita mulakan dengan pengurangkan kadar bayaran elektrik daripada 5 hingga 10 peratus," katanya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012, kementerian itu membelanjakan RM2.94 juta untuk Hari Belia Negara 2012, termasuk RM1.6 juta untuk bayaran artis K-Pop dari Korea sempena Himpunan Jutaan Belia 2012.

Bekas Menteri KBS Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memberi penjelasan berhubung isu itu.

Sementara itu, berhubung cadangan perlunya potongan cukai berjadual bagi pemain bola sepak di negara ini yang memperoleh gaji lumayan, Khairy berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Itu saya kena bincang dengan FAM sebab setiap negeri ada pendekatan yang berbeza tetapi yang terbaik yang patut kita buat ialah potongan cukai berjadual supaya lebih senang," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan