Halaman

Khamis, 6 Mac 2014

Khalid Janji Akan Terus Jadi MB,Selepas PRK Kajang

Saya akan terus jadi menteri besar jika diterima semua pihak, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Gambar fail.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan terus memegang jawatan menteri besar Selangor selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini “jika diterima” oleh semua pihak.
Sebelum ini spekulasi mengatakan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam PRK Kajang adalah untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar bagi meredakan hubungan kerajaan negeri dan PKR Selangor.
“Insya-Allah kalau saya diterima semua, saya akan terus menjadi menteri besar,” kata Khalid dalam program Soal Jawab anjuran TV3 yang disiarkan malam tadi.
Menteri besar penggal kedua itu berkata, beliau tidak begitu mengambil kisah dengan golongan yang “kurang senang” dengan pentadbirannya kerana sudah biasa dengan keadaan itu sejak sebelum berkecimpung dalam arena politik lagi.
Beliau memberikan contoh penglibatannya dalam arena perniagaan, meskipun banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat, namun di penghujungnya, faedah tetap berpihak kepadanya.
“Dalam pengalaman saya berpuluh-puluh tahun bekerja, perkataan ‘tidak senang’ bukan hanya hari ini umpamanya saya mengambil alih Guthrie, ramai orang tidak senang, tetapi saya senang.
“Masa saya ambil alih ladang di Indonesia, ramai orang tidak senang, tetapi akhirnya saya senang juga,” katanya.
Minggu lalu, Khalid menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air di Selangor dengan suntikan dana RM2 bilion oleh Putrajaya bagi pengambilalihan saham syarikat konsesi.
Susulan tindakan menandatangani MoU tanpa memaklumkan kepada pucuk pimpinan partinya, sekali lagi Khalid dikritik hebat.
Antaranya, Anwar berkata, beliau tidak tahu menahu mengenainya manakala Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendesak MoU itu didedahkan manakala Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula berkata, tidak ada sebab Khalid takut kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk mendedahkan MoU itu.
Khalid berkata, keterbukaan PKR sebagai sebuah parti reformasi melihatkan ia terbuka kepada mana-mana pihak untuk melontarkan buah fikiran dan saling tidak bersetuju.
Katanya, seseorang pemimpin itu perlu yakin dan faham dengan apa yang sedang dilakukannya supaya penerangan lebih jelas dapat diberikan kepada rakyat.
“Saudara mesti faham, kami ialah parti reformasi. Semua orang dibebaskan untuk mengeluarkan fikiran. Kalau dia keluarkan fikiran dan bersetuju dengan saya, memang tidak bolehlah.
“Kalau kita percaya dan faham apa yang kita lakukan. Kita boleh jawab semua perkara tersebut. Boleh jadi mereka hanya memandang Langat 2 tetapi kita memandang secara keseluruhan. Itu boleh dijelaskan,” katanya dalam wawancara yang dipengerusikan oleh Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar.
Berhubung isu MoU penstrukturan semula air di negeri Selangor, Khalid berkata, rundingan itu sememangnya sesuatu yang dinantikan rakyat kerana mereka tidak dibebankan dengan kenaikan mendadak tarif air.
Katanya, dengan MoU berkenaan, kerajaan negeri mensasarkan kenaikan tarif air tidak akan melebihi 12% setiap tiga tahun.
“Rakyat Selangor memang meminta saya lakukan ini. Kalau tidak, daripada RM1, mereka perlu membayar RM1.70. Sudah tentu mereka menunggu perkara ini.
“Setiap tiga tahun tidak lebih 12% dan kiraan itu sangat munasabah berbanding negeri atau kenaikan lain di dunia,” katanya.
Dalam wawancara selama sejam itu, Khalid mengulangi pendirian bahawa MoU yang ditandatanganinya bersama kerajaan persekutuan tidak boleh diubah meskipun beliau tidak lagi menjadi menteri besar Selangor.
Katanya, kedudukan sebuah negeri atau negara akan tercalar dan tidak dihormati sekiranya perjanjian yang dimeterai tidak dilaksanakan.
“Perjanjian di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak boleh ditukar kerana apabila satu-satu perjanjian dibuat, ia mesti ditunaikan.
“Ia tidak mengira siapa yang mewakili negeri atau negara mesti menunaikannya. Jika perjanjian tidak ditunaikan, ranking sesebuah negara tidak akan meningkat kerana tidak menepati perjanjian,” katanya.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu turut menolak kenyataan Johan yang menyifatkan penstrukturan syarikat konsesi air di Selangor sebagai satu bentuk nasionalisasi.
Katanya, kerajaan negeri tidak memaksa pemilik saham syarikat konsesi sebaliknya membayar keuntungan dengan kadar sewajarnya.
“Saya anggap nasionalisasi tidak berlaku dalam perkara ini sebab nasionalisasi satu keadaan kita memeras pemilik saham tetapi yang ini kita bayar dengan per keuntungan yang sewajarnya.
“Ini tidak perlu dilakukan kerana menakutkan pelabur asing sebab mereka melihat Malaysia begitu baik apabila sanggup membeli pada harga berpatutan dan tidak merugikan mereka. Hutang diambil, pembayaran dibuat berdasarkan keuntungan ekuiti,” katanya.
Dalam wawancara yang dihadiri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili itu, Khalid turut mengumumkan kerajaan negeri sedang dalam perancangan membangunkan sistem empangan air teknologi baru.
Katanya, Sistem Pembesaran Sungai Hibrid Luar (Horas) dibangunkan untuk mengalirkan air dari sungai supaya ada satu lagi empangan yang dapat digunakan untuk air mentah.
“Kita mula melihat bagaimana sumber air di Selangor apabila banyak hujan tetapi kita tidak dapat air. Sebab itu saya mulakan rundingan lebih baik dengan kerajaan persekutuan, kita akan cari sumber lain seperti satu sistem kumpul sumber air iaitu Horas.
“Kawasan ini membolehkan air bawah tanah digunakan bagi memberi kita lebih banyak jumlah air mentah daripada yang dibawa dari Pahang,” katanya dan menambah teknologi itu dapat digunakan sehingga 2050. – 6 Mac, 2014.


Tunggu dan lihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan