Halaman

Khamis, 29 November 2012

Isu Salun Unisex PAS Ikut Telunjuk DAP


Tidak perlu tunggu lama, cuma tiga hari selepas Karpal Singh ‘mengaum’ isu salun unisex di Kelantan, PAS sudah angkat bendera putih bersedia kaji semula peraturan melarang pendandan rambut wanita bukan Islam memotong rambut pelanggan lelaki bukan Islam.
Walaupun beri alasan kononnya ikut konsep hak kebebasan anutan orang bukan Islam tetapi ramai tahu, ramai tahu PAS cukup takut dengan DAP apatah lagi jika parti itu bukan mulut isu yang ada kaitan dengan agama.
Sedangkan beberapa hari lalu, Exco kerajaan Kelantan Datuk Takiyudin Hasan bertegas mahu Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) menguatkuasa peraturan itu, walaupun selepas Karpal keluar kenyataan membantahnya.
Malangnya, petang Selasa, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta kerajaan Kelantan menimbang semula langkah itu selepas bantahan keras Karpal Singh dan DAP.
Karpal Singh mendesak kepimpinan PAS campurtangan dan menyelesaikan segera kontroversi terbaru itu.
Katanya, seringkali kerajaan negeri PAS secara terbuka mengisytiharkan bahawa undang-undang Islam tidak membabitkan bukan Islam, sepertimana parti itu juga berkata bahawa hudud bukan untuk bukan Islam.
Karpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, ramai rakyat Malaysia bimbang hukum yang sama akan dikenakan di negeri-negeri lain yang ditadbir oleh Pakatan dan sama ada hudud juga akan membabitkan bukan Islam.
Selain bantahan DAP, Sankara Nair – seorang daripada peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup beri khidmat kepada pihak salun yang disaman MPKB jika melaksanakan peraturan itu.
Ini menyebabkan Hadi tiada pilihan lain kecuali meminta kerajaan PAS Kelantan dan MPKB mengkaji semula peraturan tersebut demi menjaga kesepatan parti itu dengan DAP dan PKR.
Mana maruah PAS? Itu persoalan yang perlu dijawab pemimpin atasan parti yang mendakwa memperjuangkan Islam tersebut apabila akur dengan desakan DAP supaya mengkaji semula perkara itu.
Ini bukan kali pertama PAS terpaksa angkat bendera putih kepada DAP dalam soal peraturan membabitkan agama Islam.
Dulu, PAS Selangor ketika diterajui Datuk Dr Hasan Ali jadi mangsa DAP malah PAS sanggup memecat Exco Agama itu kerana ketegasan beliau cuba melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Selangor babitkan arak, judi, rumah urut, bajet hotel dan sebagainya.
Peristiwa menutup pusat-pusat hiburan sepanjang Ramadhan di Kedah 2 tahun yang lalu dan peraturan mensyaratkan model-model wanita yang menghiasi papan iklan menutup aurat turut dibantah DAP.
Dan terkini peraturan tidak mengizinkan penggunting dan pendandan wanita bukan Islam melakukan dandanan ke atas lelaki menserlahkan segala-galanya.
Apalah nasib PAS setiap langkah dan tindakannya sentiasa mendapat tentangan dan bantahan daripada rakan sejawat khasnya DAP.
Pimpinan tertinggi PAS pula sering campur tangan dan akhirnya menyebelah kepada kemahuan dan tuntutan DAP sama seperti berlaku di Selangor, Kedah dan Kelantan.
PAS semakin jelas jadi kuda tunggangan sekutu mereka.
Walaupun mereka menafikan, tetapi itulah wajah sebenar PAS kata Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengulas sikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ dan pengecut PAS mempertahan apa hendak dilaksanakan.
“Saya kasihan betul dengan Haji Hadi. Nampak sangat beliau ikut telunjuk dan jadi orang suruhan DAP,” katanya kepada Agendadaily.
Shahrizat berkata, Haji Hadi patut berdiri tegak mempertahankan isu itu bukannya di suruh berdiri berdiri, disuruh duduk, duduk. .
“Saya malu. Apa nak jadi pada PAS ikut telunjuk DAP…telunjuk Karpal, Kit Siang dan Lim Guan Eng. Kenapa sampai begitu sekali?…macam ni punya lemah, macam mana nak jadi pemerintah,” ujar Shahrizat.
Bagi Dr Hasan pula, sedikit rentetan peristiwa berlaku itu pasti mengundang lebih banyak tanda soal di dalam kepala dan benak masyarakat Islam di negara ini.
“Ada pihak mengatakan bahawa pimpinan PAS hanya bermain politik termasuk yang melibatkan perkara-perkara pokok yang berkait dengan dasar perjuangan parti,”
“Ada pula pihak yang lebih lantang tanpa bersembunyi-sembunyi mengatakan bahawa PAS cuba menipu masyarakat Islam mengenai pelaksanaan Hudud dan Negara Islam disamping meraih undi masyarakat bukan Islam,” katanya.
Menurut Presiden Jati itu semuanya ini dilakukan PAS untuk menghormati Buku Jingga yang mesti dirujuk dan restui oleh DAP dan PKR terlebih dahulu sebelum PAS dapat melaksanakan sebarang peraturan berkaitan dengan Islam.
Tepatlah kata Timbalan presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO malam tadi, bahawa PAS ibarat Lebai Malang atau kata orang Pulau Pinang: Baliok Pulau Bayan Lepas, Sini Terpelau Sana Terlepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan