Halaman

Jumaat, 1 Mac 2013

MB Kedah nafi syor senarai baru calon 'singkir musuh'

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyangkal dakwaan Pas Kedah menyerahkan senarai baru calon-calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), dalam usaha beliau mahu menyingkirkan beberapa pemimpin yang dilihat tidak sehaluan.

Katanya, tidak ada senarai baru membabitkan rombakan besar-besaran, sebaliknya hanya senarai sedia ada yang dibuat penambahbaikan berdasarkan penilaian berterusan.

“Pusat yang akan tentukan siapa paling layak dan sesuai di saat akhir kelak, berdasarkan kepada senarai yang saya serah itu. Mana ada senarai baru,” katanya.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, berdasarkan senarai itu, beberapa nama bagi sesuatu kawasan disenaraikan, di mana nama-nama calon itu dibuat penilaian berterusan sehingga tiba PRU13.

“Mana-mana calon yang kita senarai tu, contohnya, jika ada masalah timbul, skandal ka, uzur ka, mungkin terpaksa ubah di saat akhir. Perubahan itu terpaksa dibuat bagi pastikan calon boleh menang diketengahkan,” katanya.

Azizan berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura mengatakan Pas Kedah menyerahkan senarai baru kepada Pusat dengan mengetepikan calon-calon yang dilihat menentang Azizan termasuk mereka yang mahu menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar.

Antara yang dikaitkan ialah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah; Datuk Dr Ismail Salleh (Exco); Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib (Exco) dan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Ahli Parlimen Pendang).

Difahamkan, Phahrolrazi akan ditukarkan dari Dun Pengkalan Kundor ke kerusi parlimen Jerlun, manakala Ismail dan Hamdan digugurkan, termasuk Mohd Hayati kerana memberi laluan kepada Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Azizan bagaimana pun, tetap dengan pendirian bahawa kata putus hanya boleh diumumkan Pusat, dan enggan mengulas lanjut mengenai sebarang perubahan calon membabitkan beberapa kerusi terbabit.

“Kata akhir bukan kuasa saya… Pusat putuskan,” katanya.

Azizan turut menempelak pihak luar yang gemar membuat andaian dan dakwaan tidak berasas terhadap Pas Kedah, seolah mereka adalah ahli parti.

“Mereka yang tulis tu tak faham perjalanan politik dalam Pas sebab mereka orang luar. Jadi buat macam-macam andaian dan kefahaman sendiri. Biarlah saya tak melatah pun. Jika benar saya ada hasrat untuk cantas beberapa orang yang disebut itu, sudah lama saya buat, kenapa perlu tunggu sekarang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan