Halaman

Rabu, 20 Mac 2013

Pakatan Rakyat tubuh Majlis Penasihat Keselamatan


Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) hari ini memutuskan untuk menubuhkan majlis penasihat keselamatan pihaknya atas alasan isu keselamatan adalah penting susulan perkembangan di Lahad Datu, Sabah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa bekas jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama bekas pegawai kanan polis yang kini bersama Pakatan Rakyat (PR) akan memainkan peranan untuk memberi pandangan dan nasihat.

"Jeneral-jeneral terbabit sudah mengemukakan mengapa masih terdapat kelemahan dari segi tindakan kawalan membabitkan kawasan di Sabah berhubung isu pencerobohan pengikut Sultan Sulu.
"Persoalan-persoalan ini yang mesti dijawab.

"Sebaliknya, yang dibuat oleh pimpinan Umno hanyalah menggunakan isu ini untuk politik domestik dan membuat tohmahan serta menunding," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan PR di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Anwar menjelaskan penubuhan Majlis Penasihat Keselamatan ini dibuat kerana isu keselamatanadalah penting.

Katanya lagi, melalui penubuhan majlis ini, jeneral-jeneral kanan yang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pegawai-pegawai polis kanan akan memberikan nasihat kepada pimpinan PR mengenai isu keselamatan negara.

Sementara itu, Anwar turut mendakwa, kegagalan kerajaan yang ditadbir Barisan Nasional (BN) memberikan penjelasan berhubung isu ini kerana kes ini turut melibatkan beberapa rundingan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Umno dengan keluarga Sultan Sulu.

"Hal ini termasuklah berkaitan pemberian kad-kad pengenalan, skandal yang berkaitan dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang masih dibincangkankan dan harus dijawab," dakwa beliau.

Dalam pada itu, Anwar menambah, semalam bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein turut mempersoalkan bagaimana penceroboh itu boleh bolos masuk dan keluar tanpa dikesan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat turut akan mengulangi persoalan-persoalan yang ditimbulkan bekas jeneral tersebut.

Mengulas mengenai isu pencerobohan di Lahad Datu, Anwar sekali lagi mengulangi pendirian PR yang menyokong langkah yang diambil oleh pasukan keselamatan.

Beliau juga turut mengucapkan takziah kepada keluarga pasukan keselamatan yang terkorban dalam misi tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan