Halaman

Selasa, 14 Mei 2013

Cari persamaan UMNO, PAS


: Hasrat untuk melihat UMNO dan PAS bersatu boleh menjadi kenyataan jika kedua-dua parti terbesar orang Melayu ini sanggup berlapang dada dan mencari titik persamaan antara satu sama lain demi perpaduan umat Islam. 

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, meminta semua pihak supaya tidak mensensasikan usaha itu, sebaliknya mengatur strategi secara terancang bagi menemukan pemimpin dua parti berkenaan. 
“Bagi saya perpaduan PAS dan UMNO bukan mustahil, yang penting perlu ada elemen kesederhanaan serta keikhlasan. Dua parti ini perlu mencari titik persamaan, jangan dicari perbezaan kerana titik persamaan mampu menyatukan mereka. 


Sanggup berkorban 

“Usaha ini juga harus dibuat secara mendalam... kedua-duanya juga perlu ada sedikit kesanggupan untuk berkorban dan melihat kepentingan untuk jangka masa panjang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Kelmarin, bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa menyifatkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) memberi gambaran jelas bahawa UMNO dan PAS perlu bersatu demi kepentingan Islam. 

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof, berkata penyatuan PAS-UMNO adalah langkah terbaik untuk menyatukan kembali orang Melayu yang sudah berpecah kepada beberapa kumpulan disebabkan percaturan politik. 
“Sekarang adalah masa terbaik untuk Melayu kembali bersatu kerana dibimbangi sekiranya terus bermain politik kepartian perpecahan bangsa akan terus parah dan tidak dapat diselamatkan lagi. 

“PAS dalam parti pembangkang tidak lagi dihormati, kita boleh lihat apabila isu agama dipermainkan dengan mudah dan kuasa tidak lagi diberi kepada mereka sedangkan parti itu banyak memenangi kerusi seperti yang kita lihat di Selangor,” katanya. 

Bagaimanapun, reaksi berbeza disuarakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang menolak penyatuan dua parti itu mendakwa mereka lebih selesa bersama pakatan pembangkang. 

“Buat masa ini, PAS tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan UMNO,” katanya. 

Perpaduan dalam UMNO 

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali, pula berkata UMNO seharusnya lebih fokus kepada mencari strategi mengukuhkan perpaduan dalam UMNO, bukan sebaliknya. 

“Kekuatan Melayu itu terletak pada UMNO sendiri, mereka hanya perlu memperkukuhkan kembali kekuatan Melayu pada UMNO,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan