Halaman

Selasa, 14 Mei 2013

Suburkan 'Melayu tolong Melayu'

Konsep Melayu menerajui agenda nasional perlu diperhebat dalam kalangan ahli politik, agama, korporat serta kumpulan profesional bagi menjamin hak dan kepentingan kaum itu terus dipertahan. 

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr Hassan Mad, berkata ia wajar dijadikan asas kepada usaha menyatupadukan Melayu dalam pelbagai aspek, termasuk politik, pendidikan, agama, keselamatan dan ekonomi. Katanya, pendekatan ‘Melayu tolong Melayu’ perlu terus subur dalam setiap tindakan dan tidak harus dipersoalkan pihak lain kerana ia bukan perjuangan yang ada unsur perkauman.

 Beliau mengulas saranan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang mahu UMNO dan PAS menjadikan agenda penyatuan kedua-dua parti sebagai usaha berterusan demi mengukuhkan Islam dan memperkasakan bangsa Melayu di negara ini. 

Nasharudin berkata, PAS sudah memulakan usaha itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, tetapi tidak kesampaian. 

Elak kemaruk kuasa 

Mengulas lanjut, Hassan berkata kegagalan itu berlaku kerana ada segelintir pemimpin PAS yang kemaruk kuasa. 

“Ini halangannya, jika sifat kemaruk kuasa ini dapat dibuang, saya percaya agenda penyatuan dapat berjalan dengan baik demi keuntungan Melayu dan Islam,” katanya. 

Hassan berkata, MPM juga akan mewujudkan satu Jawatankuasa Gerak Kerja Nasional dalam masa terdekat bagi menghimpunkan semua pemimpin dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu. 

Jawatankuasa itu, katanya, bagi memperhalusi dan mencari mekanisma terbaik dalam mencapai agenda perpaduan Melayu dan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan