Halaman

Rabu, 19 Jun 2013

Lesen penjaja akan ditarik balik jika beri pada warga asing

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan teragak-agak untuk menarik balik lesen perniagaan peniaga dan penjaja tempatan di pasar-pasar seluruh ibu negara yang melanggar syarat khususnya menyewakan lesen kepada pendatang asing.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan berkata, kerajaan memandang serius perbuatan itu kerana ia bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah turut mengehadkan peluang untuk peniaga dan penjaja tempatan.
Katanya, DBKL amat tegas dalam soal tersebut dan sehingga bulan ini, sebanyak 444 lesen penjaja di seluruh Kuala Lumpur sudah ditarik balik kerana melanggar peraturan.
"Kerajaan telah melonggarkan syarat untuk memberikan lesen kepada orang tempatan yang ingin menjalankan perniagaan.
"Tetapi kalau ada antara peniaga dan penjaja yang tidak berminat untuk berniaga, kembalikan lesen kepada DBKL dan kami akan memberikan kepada orang tempatan lain yang berminat.
"Kita tidak pernah memberikan sebarang lesen perniagaan kepada pendatang asing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gotong-royong Mega di Pasar Raja Bot di sini hari ini.
Aktiviti gotong-royong itu merupakan antara usaha DBKL untuk meningkatkan kebersihan sekitar kawasan pasar itu, selain sebagai satu platform untuk merapatkan kerjasama antara DBKL dan para peniaga.
Lebih 1,000 orang terdiri daripada para peniaga, penjaja, kakitangan DBKL dan Alam Flora terlibat dalam aktiviti itu.
Mengenai pendatang asing yang bekerja dengan peniaga dan penjaja tempatan, Saravanan berkata, ia perlu dikaji sebelum sebarang tindakan diambil berhubung perkara itu.
"Kita perlu mencari bukti yang tepat dengan bertanya kepada penjaja dan peniaga itu sendiri kenapa mereka mengambil pendatang asing sebagai pekerja di premis perniagaan mereka sedangkan orang tempatan masih ramai yang berminat untuk bekerja.
"Ada juga peniaga dan penjaja yang menyewakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing tetapi kita harus meneliti dengan lebih terperinci masalah ini," ujarnya.
Mengenai Pasar Raja Bot yang lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit itu, Saravanan berkata, pasar itu sudah beroperasi sejak sebelum merdeka lagi dan kerajaan sedang berusaha untuk menaik taraf pasar itu sejajar dengan usaha menjadikan Kuala Lumpur bertaraf dunia.
Malah, katanya, persatuan peniaga dan penjaja di situ telah mencadangkan supaya bumbung di pasar itu ditinggikan bagi menambahkan keselesaan dalam pasar itu.
"Dari segi dasar, kita bersetuju tetapi ia perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan kita perlu mencari masa yang sesuai untuk melakukan kerja-kerja pembinaan kerana ia melibatkan aktiviti perniagaan di sini.
"Kita juga perlu mengkaji berapa lama kawasan pasar ini perlu ditutup untuk projek pembinaan kerana ia boleh menjejas peniaga jika ditutup terlalu lama," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup ketika dihubungi berkata, projek untuk menaik taraf pasar itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dan dimulakan dengan aktiviti pembersihan pasar itu.
"Kita akan berbincang dengan peniaga untuk melaksanakan cuti sehari dalam sebulan bagi membolehkan aktiviti pembersihan seluruh pasar dapat dilakukan.
"Jika kita tidak melaksanakan cuti tersebut, ada pihak yang tidak turut dalam melakukan aktiviti pembersihan," katanya.

Peliklah warga tempatan ni,daha dapat lesen tapi bagi pada pendatang,suka sangat ler tue bila ekonomi kita dikawal selia oleh orang asing..nak jadi "pendatang" di negara sendiri ke??




Tiada ulasan:

Catat Ulasan