Halaman

Rabu, 19 Jun 2013

Apa faedah TPP?

Malaysia merupakan antara 11 negara yang terlibat di dalam beberapa siri perbincangan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), iaitu perjanjian yang dilihat bakal mengubah landskap ekonomi negara, khususnya terhadap aspek kepenggunaan domestik.
Melalui TPP, ia bakal membentuk satu jaringan perdagangan bebas terbesar di dunia, jika berjaya dilaksanakan.
Selain Malaysia, sepuluh negara lain yang terlibat ialah Amerika Syarikat (AS), Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
Perjanjian itu sebenarnya mirip perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang telah dilaksanakan dalam arus perdagangan global, khususnya bagi mengurangkan halangan perniagaan seperti tarif atau perlindungan industri.
Cuma, TPP membabitkan banyak pihak. Perjanjian ini pada asalnya dimulakan oleh empat negara iaitu Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura tetapi telah menarik perhatian AS untuk diperluaskan.
Secara terperinci, TPP membabitkan akses pasaran, penghapusan tarif, perlindungan hak cipta, mobiliti buruh dan persaingan terbuka termasuk kontrak milik kerajaan.
Malaysia dijangka memperoleh faedah jika perjanjian itu dilaksanakan, terutamanya daripada aspek akses pasaran kepada syarikat-syarikat tempatan. Tambahan pula produktiviti mereka kini mula mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Sekalipun Malaysia telah mengadakan FTA dengan kebanyakan negara yang terlibat (tidak bersama AS), namun TPP dilihat sangat signifikan terutama sekali kepada peniaga tempatan bagi memasuki pasaran benua Amerika (Chile, Mexico, Peru, Kanada dan AS) yang kadar pendudukannya tinggi.
Namun perlu diketahui, TPP ini sungguh menarik perhatian AS. sehingga Presidennya, Barack Obama sendiri bersungguh-sungguh mahukan perjanjian itu dilaksanakan atas alasan demokrasi perdagangan.
Sebenarnya, TPP merupakan perjanjian yang mahu membentuk peraturan bagi melindungi kepentingan perniagaan milik syarikat multinasional (MNC), terutama sekali yang mempunyai skala ekonomi yang kukuh.
Kajian oleh universiti di AS sendiri mendapati perjanjian itu akan lebih membawa manfaat kepada MNC dari AS, yang berusaha meningkatkan eksportnya ke pasaran negara-negara Pasifik, selepas kejatuhan pasaran utama mereka, Eropah.
Semua negara yang sedia menyertai TPP menyumbang 34 peratus nilai perdagangan AS.
Selain akses pasaran, penghapusan tarif dan perlindungan hak cipta serta ketelusan persaingan menjadi keyakinan utama AS di dalam TPP.
Beberapa pendedahan juga telah dilakukan termasuk oleh Wikileaks, yang mendakwa TPP dikatakan lebih menguntungkan MNC berbanding pengguna akhir, khususnya membabitkan ubat-ubatan serta kebebasan penggunaan internet.
Sebagai contoh apa yang didedahkan, ubat-ubatan jenis generik tidak boleh diedarkan sebaliknya hanya jenis tulen sahaja boleh dipasarkan. Keadaan ini boleh menjejaskan pengguna akhir khususnya yang berpendapatan rendah kerana harga ubat-ubatan ini meningkat beberapa kali ganda.
Hal yang sama juga berlaku ke atas produk lain yang telah dipatenkan seperti perisian komputer serta kebebasan kontrak kerajaan yang boleh diakses semua pihak.
Pada masa sama, jika setiap peraturan itu tidak dipenuhi di sesebuah negara terlibat, syarikat boleh mengambil tindakan mahkamah termasuk ke atas kerajaan.
Perjanjian itu telah dilemparkan pelbagai kritikan, Korea Selatan dan China dikhabarkan berhadapan kesukaran serta enggan menyertai TPP.
TPP dijangka dimuktamadkan pada hujung tahun ini, setelah 15 pusingan perbincangan diadakan sejak 2010.
Kerajaan Malaysia yang telah menyertai beberapa siri perbincangan, menghadapi cabaran dalam mencari kata putus demi mengutamakan keperluan rakyat Malaysia dalam menghalang usaha pihak tertentu yang ingin 'memonopoli perdagangan bebas'.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengakui beberapa isu mencabar telah dibincangkan dan mahukan beberapa keputusan dicapai turut berpihak kepada Malaysia.


Harap Kerajaan tidak menganiayai rakyatnya.Ingat balik slogan kerajaan "rakyat didahulukan,pencapaian diutamakan".


Tiada ulasan:

Catat Ulasan