Halaman

Rabu, 19 Jun 2013

TPP: Boleh tarik diri lagi


 Malaysia boleh menarik diri di saat akhir perbincangan, jika ia tidak memberi faedah kepada negara ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Datuk Hamim Samuri berhubung satu rundingan perdagangan bebas (FTA) yang dinamakan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Menurutnya, bukan hanya Malaysia, malah negara lain yang terlibat dalam TPP ini juga boleh menarik diri jika merasakan tiada kepentingan untuk negara masing-masing.

“Buat masa ini, rundingan masih dijalankan dan kerajaan hanya akan bersetuju jika ia beri kebaikan. Jika di akhir perbincangan itu nanti, ada perkara yang akan membebankan rakyat, kita akan tarik diri.

“Kerajaan bukan bodoh hingga mahu gadai maruah dan kepentingan negara seperti apa disimpulkan beberapa pihak. Kerajaan akan jaga keperluan asas rakyat dan kita tidak mahu lari daripada konsep ‘Rakyat Didahulukan’,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga menafikan jika rundingan tersebut mencapai kata putus, harga barang di negara ini akan naik hingga membebankan rakyat khususnya berpendapatan rendah.

“Rundingan itu meliputi pelbagai aspek. Bagaimana ada pihak sudah buat andaian sebegitu sedangkan ia masih di peringkat perbincangan?

“Sekarang ini, runding, bukan keputusan. Perkara ini perlu jelas kerana jika ia disalah tafsir, rakyat akan anggap kerajaan tidak telus,” katanya.

Menurutnya, pihak yang tidak bersetuju dengan TPP dilihat cuba mempengaruhi rakyat dengan pelbagai cara.

“Saya sangat berharap, TPP tidak dipolitikkan. Buat masa ini, biarkan Miti teruskan perbincangan dengan pihak berkaitan. Kerajaan juga beri jaminan apa juga keputusan yang bakal dibuat, rakyat tidak akan terbeban,” katanya.

Ahli Parlimen Ledang itu berkata, isu itu akan dibahas di Dewan Rakyat minggu pertama persidangan bermula.

“Sekarang pun ada soalan-soalan yang dikemukakan dan ia pasti hangat apabila kedua-dua pihak pasti membangkitkan isu ini nanti,” katanya.

Malaysia mula menyertai TPP pada tahun 2011 dan rundingan tersebut yang sudah memasuki pusingan ke-17 dan dijangka dimuktamadkan menjelang Oktober 2013.

Miti adalah wakil perunding bagi Malaysia dalam rundingan itu yang turut disertai 10 negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. Jepun bakal menyertai pada Julai depan.

TPP didakwa dijalankan secara penuh rahsia dan dijangka akan ditandatangani Oktober depan, dengan kehadiran Presiden AS Barack Obama di salah sebuah negara Asean.

Harap kerajaan membuat keputusan yang betul berkaitan isu TPP ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan