Halaman

Khamis, 13 Jun 2013

Penulis 'anonymous' sebar fitnah gugat keharmonian

 Kewujudan penulis 'anonymous' (tanpa nama) di media sosial yang mengambil peluang menyebar maklumat berunsur fitnah boleh merosakkan keharmonian negara, berbeza dengan media arus perdana yang berpegang kepada etika kewartawanan.
   
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam memastikan perjalanan media sosial tidak terus disalahguna, rakyat harus berpegang kepada prinsip dan nilai tanggungjawab terhadap apa jua maklumat yang disiarkan.
   
"Untuk itu saya ingin lontarkan kepada rakyat dan kalangan pengguna media sosial mencadangkan bentuk kawalan positif yang perlu dilaksanakan bagi memastikan nilai kebertanggungjawaban itu dan maklumat yang disampaikan tidak melangggar undang-undang.
 
 "Cadangan yang dikemukakan itu biarlah tidak bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia yang menegaskan tiada tapisan terhadap internet," ketika berucap pada Malam Kewartawanan Malaysia 2013, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kebebasan bersuara harus sesuai dan sepadan dengan identiti jati diri Malaysia yang sinonim dengan sifat budi bahasa dan nilai-nilai murni.
   
Beliau berkata, kebebasan menyuarakan pelbagai pendapat berbeza dapat dilakukan secara bijaksana serta dapat menghakis rasa tidak percaya dan perasaan syak wasangka yang melampau.
   
"Untuk demokrasi benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada di antara kita yang menyimpang mahupun menyalahgunakan kuasa," katanya.

Tambah Najib, tuntutan kebebasan bersuara di negara ini bukan sahaja berpunca daripada kesan globalisasi, tetapi dirangsang oleh akses kepada kemudahan infrastruktur internet, peningkatan taraf sosioekonomi dan tahap pendidikan.
   
Tegas Perdana Menteri, rakyat harus mahu dan mampu memanfaatkan kebebasan bersuara dengan menyalurkan maklumat yang tepat dan tidak mengelirukan.

"Kebebasan bersuara yang berpaksikan jati diri Malaysia akan menghadirkan semula perkongsian dialog-dialog penting di antara pelbagai kumpulan yang ada walaupun berbeza pendapat," katanya.
   
Najib dalam pada itu berkata, landskap media dan organisasi berita di negara ini telah mengalami perubahan yang amat pesat dengan kehadiran media dalam talian melengkapi media cetak dan media elektronik sedia ada.
   
Sementara itu, Perdana Menteri melahirkan penghargaan dan pujian kepada para wartawan yang telah melakukan tugas mereka secara beretika dan bertanggungjawab semasa PRU13 lalu.
   
Katanya, demokrasi media dan kebebasan bersuara benar-benar menjadi kenyataan dan penggunaan sepenuhnya kesemua jenis media itu dapat disaksikan semasa musim pilihan raya.
   
Bagaimanapun, katanya, penyebaran pelbagai bentuk pembohongan, fitnah dan hasutan kebencian dalam media sosial semasa musim pilihan raya tidak harus dibiarkan berleluasa kerana akan mendatangkan kesan buruk kepada masa depan negara.
   
Najib turut menyeru para wartawan untuk bijak mengetengahkan isu-isu seperti perpaduan dan usaha Malaysia untuk membangun sebagai sebuah negara yang berjaya, dalam usaha membetulkan semula perspektif dan persepsi orang ramai.
 
"Sebagai wartawan, saudara dan saudari turut mempunyai peranan iaitu dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
   
"Marilah kita bersama-sama berganding bahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi supaya keamanan dan kemakmuran yang dikecapi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia," katanya.
   
Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2012 termasuk pemenang Hadiah Kajai, Sophia Ahmad dari Berita Harian. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan