Halaman

Rabu, 17 Julai 2013

Pendidikan sejarah pengukuh patriotisme

Sejarah mengajar kita supaya tidak mengulangi kesalahan dan kelemahan yang menjadikan sesebuah negara itu mudah dijajah pemikiran, budaya dan negaranya.
Oleh itu, sewajarnya langkah kerajaan memperkenalkan semula mata pelajaran di peringkat sekolah rendah dan mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat penting dalam kelulusan peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia (SPM). Langkah ini bukan saja menjadikan mata pelajaran Sejarah akan dipelajari dengan bersungguh-sungguh malah akan difahami dan dihayati secara mendalam.

Sebenarnya, mata pelajaran Sejarah dapat memupuk jati diri, akal budi, semangat cintakan tanah air yang mendalam kepada setiap pelajar. Ia juga mempunyai kaitan dengan prinsip kedua dan ketiga dalam Rukun Negara iaitu melalui pelajaran Sejarah akan dapat memupuk kesetiaan kepada raja dan negara serta memahami keluhuran perlembagaan.

Kesetiaan kepada negara adalah jiwa kebangsaan kita. Melalui semangat kesetiaan dari sanubari seseorang itu akan lahir rasa setia kepada raja dan tanah airnya yang sekali gus mampu menyatukan kita semua daripada pelbagai rumpun menjadi satu bangsa bersatu padu.

Melalui pelajaran Sejarah juga seseorang itu akan memahami keluhuran perlembagaan negara yang memberi perlindungan kepada setiap anggota masyarakat di negara ini dari segi melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warga negara. Selain itu, dapat memahami bagaimana negara ini mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Perlembagaan juga meletakkan rasa tanggungjawab dan kewajipan warga negara yang mendukungnya. Sejajar dengan itu, setiap warga negara harus menghormati, menghargai serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang penggubalannya bagi memastikan Malaysia terus aman, makmur dan maju dalam segenap bidang.

Oleh sebab perlembagaan negara digubal berasaskan kesepakatan semua kaum di negara ini, maka ia merupakan kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat mana-mana pihak.

Perlembagaan negara juga adalah sumber rujukan kepada semua perkara berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio ekonomi rakyat Malaysia. Mereka yang tidak memahami sejarah saja akan mempertikaikannya.

Begitulah pentingnya mata pelajaran Sejarah di sekolah dapat mendidik, memberi kefahaman dan pengetahuan kepada rakyatnya apabila dewasa.

Sebab itu guru-guru disarankan menjadikan subjek sejarah lebih menarik dan mudah difahami oleh pelajar.Peranan guru amatlah penting,bukan setakat mengajar tetapi dalam membentuk jati diri anak bangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan