Halaman

Jumaat, 5 Julai 2013

Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat Red Bean Army

Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam-Melayu sekali lagi mendesak kerajaan supaya menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Red Bean Army bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap usaha menjatuhkan kerajaan.
   
Ketua Sekretariat Publisitinya Dzulkarnian Taib berkata tindakan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang membantah penubuhan suruhanjaya itu hanya menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa parti pembangkang itu sememangnya mempunyai kaitan dengan pasukan tentera siber itu.
   
Red Bean Army merujuk kepada kumpulan tentera siber yang memanipulasi fakta sarat dengan fitnah terhadap kerajaan.
   
Dzulkarnain berkata NGO itu melihat gerakan anti-nasional yang dijalankanoleh kumpulan Red Bean Army sejak beberapa tahun sebelum pilihan raya umum ke-13 telah mencapai tahap yang mengancam keselamatan negara serta menggugat kestabilan politik.
   
"Adakah cadangan siasatan terhadap kaitan DAP dengan Red Bean Army sebenarnya telah menyentuh perasaan parti itu sehingga meminta Perdana Menteri campur tangan untuk menghalang cadangan kami diterima pihak kerajaan?," katanya.
   
Beliau berkata DAP seharusnya menyokong sebarang usaha daripada NGO yang mahu melihat keamanan, perpaduan dan kemakmuran negara dikekalkan serta diperkukuhkan.  - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan