Halaman

Jumaat, 20 Disember 2013

DBKL Tak Kejam

Prihatin dengan keluhan warga kota, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pengurangan kadar peratusan yang digunakan untuk mengira jumlah Cukai Taksiran 2014.
Menerusi kadar baharu itu, cukai perlu dibayar pemilik rumah pangsa kos rendah di ibu kota dikurangkan kepada dua peratus daripada nilai hartanah, berbanding enam peratus pada masa kini.

Pada masa sama, DBKL memberi jaminan kenaikan cukai taksiran bagi rumah kos rendah dan sederhana rendah, dikenakan pada kadar paling minimum.
Bagi rumah kos tinggi, kenaikan tidak lebih 10 peratus dan tidak lebih 35 peratus bagi bangunan komersial berbanding jumlah yang dibayar pemilik ketika ini.

Turut diumumkan, pemberian insentif dalam bentuk pengurangan cukai taksiran kepada pemilik hartanah golongan kelainan upaya (OKU), pesara dan pemilik yang menghuni kediaman sendiri dan tidak menyewanya.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu diambil bagi mengelak rakyat berasa terbeban selepas penilaian semula hartanah di ibu kota.
Beliau berkata, ia juga mengambil kira bantahan warga kota dan beberapa pihak sebelum ini.

“Saya berharap pengumuman ini dapat meredakan kegusaran pemilik harta. Saya juga akan memastikan DBKL mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memperbanyak penyediaan kemudahan infrastruktur demi kesejahteraan warga kota,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu ke-35, Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang (Greater Kl/KV) di ibu pejabat DBKL di sini, semalam. Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib Tengku Adnan berkata, kira-kira 53,000 pemilik yang mengemukakan bantahan secara bertulis dan lisan sehingga 17 Disember lalu akan dipanggil ke sesi pendengaran Jawatankuasa Mendengar Bantahan Cukai Pintu.

Katanya, individu terbabit berpeluang membayar kadar lama sekiranya dapat membuktikan Nilai Tahunan yang dicadangkan DBKL terhadap hartanah mereka adalah tinggi.

“Jawatankuasa itu boleh mengurangkan lagi Nilai Tahunan itu dan ini seterusnya mengurangkan lagi jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar oleh pemilik,” katanya.

Beliau berkata, bagi pemberian insentif, golongan yang layak perlu mengisi borang permohonan yang boleh didapati di kaunter pembayaran DBKL dan menyertakan dokumen sokongan.

“Bagaimanapun, pemilik perlu menghuni kediaman mereka, bukannya disewa kepada orang lain. Insentif juga hanya boleh diberi kepada satu rumah pemilik sahaja,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan