Halaman

Isnin, 3 Mac 2014

Denggi Terus Membunuh

Kes denggi di Selangor mencatatkan peningkatan sehingga 354% dalam tempoh dua bulan pertama tahun 2014 iaitu 6,211 kes berbanding 1,367 kes tahun lalu.
Sehingga 8 Februari lalu, empat daerah utama yang menunjukkan kes  denggi tertinggi adalah daerah Petaling (2738 kes), Hulu Langat (1784 kes), Gombak (644 kes) dan Klang (775 kes).
Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi Dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata, situasi denggi di Negeri Selangor masih membimbangkan dan secara am, peningkatan kes berterusan telah dilihat semenjak awal bulan Mei 2013.
Menurutnya, Kerajaan Negeri dalam tempoh dua bulan lalu berusaha membasmi wabak denggi melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Strategi utama program kawalan denggi di Negeri Selangor adalah melalui aktiviti “cari dan musnah” kawasan potensi pembiakan nyamuk di dalam dan di luar rumah.
“Aktiviti pencegahan ini termasuklah menerusi gotong-royong berkala dan pemeriksaan rumah untuk pembiakan nyamuk sekurangnya ’10-minit sekali seminggu’,  penubuhan Pasukan ‘Communication for Behavioral Impact (COMBI) Denggi dan Skuad Anti-Denggi di tempat kerja atau belajar dan kawasan perumahan.
Untuk tujuan ini, katanya Jawatankuasa Tetap Kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah melancarkan kempen di laman sosial Facebook mengenai situasi semasa denggi di Negeri Selangor (www.facebook.com/situasidenggiselangor).
Melalui Facebook, katanya orang ramai boleh mendapatkan maklumat denggi terkini, mempelajari kaedah-kaedah pencegahan denggi, melihat gambar-gambar tempat berisiko pembiakan Aedes dan digalakkan untuk bertanya soalan dan memberi pendapat serta cadangan bagi mengukuhkan lagi program kawalan denggi di Negeri Selangor.
Sementara itu, Daroyah turut mengumumkan kempen ‘Ayuh Gempur Aedes Khas’ sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang bagi membasmi lokaliti pembiakan nyamuk di kawasan tersebut.
Katanya, kempen akan bermula pada 2 Mac depan dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) diarahkan untuk mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk aedes untuk melaksanakan proses pembersihan.
“Selain memelihara kesihatan dan keselamatan penduduk tempatan, kita tak mahu orang awam yang datang bertugas sebagai jentera pilihan raya pulang ke negeri asal masing-masing dengan membawa wabak denggi dari Kajang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan