Halaman

Rabu, 13 Mac 2013

Musa: 'Politik perkauman politik bankrap'


Ahli-ahli politik yang menggunakan isu perkauman sebagai bahan atau modal survival masing-masing merupakan ahli politik yang sudah bankrap, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam hari ini.
Tun Musa Hitam.
Sehubungan itu kata Musa, melihat kepada perkembangan hari ini banyak perkara yang boleh dibahaskan secara membina.
"Kita dalam suasana pilihan raya umum (PRU) pada pendapat saya dulu, baru ini dan sekarang, barang siapa yang menggunakan perkauman sebagai isu politik adalah ahli politik yang bankrap," kata beliau pada program Bicara Minda Survival Ekonomi Melayu di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini.
Musa yang berkecimpung dalam dunia politik lebih lima dekad yang lalu berkata, jika dahulu parti politik boleh menggunakan isu perkauman apabila berada atau berkempen di kawasan-kawasan yang majoritinya satu-satu kaum, kini keadaan tidak begitu lagi.
"Sekarang tidak boleh lagi kerana macam-macam kejayaan yang kerajaan dah buat, kerajaan jangan berasa malu. Kerajaan harus berasa bangga dengan kejayaan yang telah dibuat, tentulah ada kritikan dan yang menentang, dalam politik itu perkara biasa.
"Tetapi berdebatlah, tunjuk dengan bukti di atas kebolehan-kebolehan itu, bukan mempertangguhkan apa yang dibuat, dan kita merasa takut, kita dimomokkan dengan keadaan ini, dan penghabisan kita terdesak dan itu yang akan memusnahkan kita," kata beliau yang menjadi gandingan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dari tahun 1981 hingga 1986.
Ketika ditanya bagaimana untuk mengubah minda Melayu dan gerak kerja yang berasaskan perkauman, Musa, 78, berkata, perkara itu memerlukan tempoh yang lama dan bergantung kepada kepimpinan politik.

"Itu yang saya duka cita, jika kita bergantung pada akedemik senang sikit kita boleh belajar dan proses semula jadi. Tetapi dari segi mentaliti nak ubah, sukar jika kita ada sistem politik begitu terbuka, misalnya di Malaysia.

Jadi gunakanlah isu-isu yang rasional dan relevan semasa berkempen.Jangan pula gunakan isu-isu yang sensitif yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan