Halaman

Selasa, 5 Mac 2013

Tian Chua nafi hina bekas komando terkorban, mahu saman

Naib Presiden PKR, Tian Chua menafikan tuduhan beberapa blog pro-Umno yang memfitnahnya - kononnya mengeluarkan kenyataan menghina dua bekas anggota polis komando yang terkorban dalam kejadian tembak-menembak di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, Jumaat lalu.

Malah tuduhan blogger terbabit tidak berasas apabila mengatakan beliau mengeluarkan kenyataan tersebut di Puchong walhal pada hari yan g sama berada di Johor.

"Mereka menuduh saya berada di Puchong bagi ucapan dengan kata-kata yang menghina komando yang syahid itu.

"... buktinya dalam twitter, saya berada di Johor, saya tidak pernah bagi ucapan yang menyentuh pasukan keselamatan dari awal hingga sekarang," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Pilihan Raya Umum ke-13 Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli Parlimen Batu ini mengulas lanjut tuduhan beliau telah menghina anggota keselamatan dengan istilah "Komando Mati Katak" dalam satu ceramah di Puchong, semalam.

Petang tadi beliau dilapor membuat laporan polis.

Malah Tian Chua juga menafikan beliau mengatakan tembakan itu sebagai sandiwara kerana kenyataannya telah diputarbelitkan blogger pro-Umno.

"Ada kumpulan yang mempolitikkan isu itu dan cuba mengaitkan saya dan (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim cenderung mendalangi kedatangan kumpulan sulu itu.

"... orang ramai jangan mudah percaya kepada propoganda yang bersifat palsu yang bertujuan untuk menimbulkan kebencian kepada saya dan PKR," tegasnya.

Sekiranya pihak terbabit terus-menerus menabur fitnah ke atasnya, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit.

"Saya juga akan mengambil tindakan undang-undang... media perdana pun memetik percakapan pemimpin negara yang menyampaikan mesej secara tidak tepat dan berdasarkan informasi yang tidak tepat," jelasnya.

Sementara itu, mengulas lanjut kenyataan Perdana Menteri mengatakan kerajaan tidak pernah menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan insiden pencerobohan Lahad Datu, beliau berkata, kerajaan perlu menyampaikan maklumat yang tepat supaya rakyat tidak panik dan mengelak daripada kekeliruan susulan banyak khabar angin yang cuba memburukkan keadaan.

"Paling baik kerajaan sampaikan maklumat secara tepat kepada orang awam supaya orang awam tidak panik dan memberi kerjasama dan sokongan kepada pasukan keselamatan kita," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan