Halaman

Rabu, 10 April 2013

Hari biasa pun boleh - SPR

PUTRAJAYA: Tarikh pembuangan undi bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak semestinya diadakan pada hujung minggu atau cuti persekolahan sebaliknya boleh dilakukan pada hari biasa.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ramalan kaji cuaca dianggap satu faktor penting untuk menetapkan tarikh mengundi bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
"Hari mengundi boleh diadakan pada bila-bila masa tetapi SPR menentukan banyak faktor sebelum menentukan tarikh. Kita tidak mahu tarikh yang dipilih sama dengan sambutan hari kebudayaan atau berkaitan agama kerana kita mempunyai banyak kaum di negara ini.

"Kita tidak mahu ia jatuh pada tarikh sama dengan peristiwa penting (yang disambut kaum atau agama tertentu) termasuk ramalan cuaca, kita perlu mendapat maklumat daripada Jabatan Meteorologi, kita mengambil kira semua pertimbangan itu sebelum memutuskannya, cuti persekolahan atau cuti hujung minggu bukan faktor penting bagi kita," katanya pada sidang selepas menyampaikan taklimat khas mengenai PRU-13 kepada perwakilan asing di Wisma Putra di sini, semalam.

SPR dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian selepas mesyuarat khas yang diadakan pada jam 10 pagi esok (Rabu).

Mengulas mengenai trend pilihan raya sebelum ini yang kebanyakan diadakan pada hujung minggu dan cuti persekolahan, Abdul Aziz berkata, perkara itu tidak semestinya menjadi ikutan dan pengundian boleh dilakukan pada hari biasa.

Ditanya sama ada terdapat keperluan mengisytiharkan cuti umum pada hari pengundian, beliau berkata, tidak semestinya sebaliknya majikan perlu membenarkan pekerja masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka.

"Walaupun bukan cuti umum mengikut undang-undang Kementerian Sumber Manusia, majikan wajib membenarkan pekerja mereka keluar mengundi," katanya.

Kegagalan majikan memberi suatu tempoh yang munasabah untuk pekerja keluar mengundi boleh menyebabkan majikan didakwa mengikut Seksyen 25 (A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau tempoh setahun penjara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan