Halaman

Selasa, 31 Disember 2013

GTP terus beri manfaat kepada rakyat

Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang memasuki fasa kedua pelaksanaannya tahun ini, terus memberikan manfaat kepada rakyat pelbagai lapisan terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Tidak dinafikan selepas tiga tahun kerajaan memulakan inisiatif GTP, rakyat turut merasai kesan daripada pelaksanaannya, apatah lagi tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk NKRA menangani Kos Sara Hidup rakyat, yang terkandung dalam program berkenaan, sememangnya disasarkan kepada mereka.

Kerajaan membelanjakan RM2.34 bilion untuk program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sejak diperkenalkan akhir 2011 dan memberi manfaat kepada lebih enam juta rakyat atau hampir 25 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014, Oktober lepas, berkata pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan diperluas kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Program bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah pula diteruskan mulai Januari 2013 dengan peruntukan RM540 juta.

Kerajaan juga meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan prauniversiti dengan nilai baucar dinaikkan daripada RM200 kepada RM250.

Dari segi meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, kerajaan menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi memperkasa sistem pendidikan negara secara berterusan supaya dapat  meningkatkan daya saing negara pada peringkat global.

Memuji Malaysia bagi insiatif itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) Dr Irina Bokova berkata PPPM yang dilancarkan pada September juga menjadikan Malaysia sebagai contoh baik dan ia boleh diaplikasi serta berguna untuk negara anggota Unesco yang lain.

Menurut Laporan Ekonomi 2013/2014, kerajaan menyediakan peruntukan RM450 juta di bawah NKRA Pengurangan Jenayah dan sejumlah RM24.5 juta diperuntukkan bagi pembelian 1,000 unit motosikal 250cc untuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PDRM akan menumpukan usaha membanteras jenayah khususnya di kawasan perumahan yang melibatkan kerjasama rakyat di bawah Kempen 1Aman.

NKRA Membanteras Rasuah pula dilihat mencapai sasaran melebihi Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan apabila Forum Ekonomi Dunia (WEF), dalam Laporan Daya Saing Global (GCR) 2013-2014, menyenaraikan Malaysia sebagai negara pada kedudukan ke-33 bagi Indeks Etika dan Rasuah daripada 148 negara.

Selain itu, menurut Transparency International Malaysia (TI-M), kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bertambah baik, iaitu dari tempat ke-54 tahun lepas ke-53 tahun ini, dengan mata CPI bergerak satu tangga daripada 49 ke 50.

Kerajaan membelanjakan RM145 juta untuk projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar bagi GTP 2.0 dan daripada jumlah itu, RM137 juta diperuntukkan untuk program Kampung Abad ke-21 dan Desa Lestari, manakala RM8 juta untuk Program Ladang berskala besar bagi kampung-kampung di luar bandar.

Sasaran kerajaan tahun ini adalah untuk membina sepanjang 441 kilometer (km) jalan luar bandar dan menambahbaik sepanjang 730 km jalan luar bandar dalam program penyelenggaraan luar bandar.

Selain itu, kerajaan akan menyediakan bekalan air kepada 24,000 buah rumah dan penyediaan bekalan elektrik kepada 19,811 buah rumah luar bandar di seluruh negara.

Projek Rimbunan Kasih (PRK), satu program transformasi kerajaan bagi memajukan masyarakat luar bandar, adalah bukti kerajaan membela nasib rakyat untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Projek bersepadu termasuk di Terengganu, Perlis, Sabah dan Pahang itu menggabungkan perumahan dan projek pertanian yang didirikan di kawasan seluas 12 hektar bagi menempatkan kira-kira 100 keluarga berpendapatan rendah dan asnaf.

Malaysia juga diyakini boleh menjadi hab industri lokomotif rantau Asia dengan pembukaan kilang lokomotif dan gerabak di Perak, di bawah projek pembangunan kejuruteraan dan teknologi maju rel Malaysia.

Kilang yang dibuka syarikat Kumpulan CSR dari China itu menjanjikan 800 peluang pekerjaan awal di bawah pelaburan fasa pertama sebanyak RM400 juta. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan