Halaman

Selasa, 31 Disember 2013

Kerajaan ada penyelesaian tiap masalah

Sambutan memberangsangkan yang dicapai Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) membuktikan kerajaan mempunyai jalan penyelesaian terbaik dalam menangani masalah pengangguran di kalangan belia.
    
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata langkah ini ternyata berbeza dengan pembangkang yang hanya tahu mengkritik kerajaan tetapi tidak mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan.
    
"Saya yakin langkah yang dilaksanakan Pemuda BN merupakan satu langkah penyelesaian untuk mengatasi belia-belia yang tidak ada peluang pekerjaan.
    
"Ini berbeza dengan pembangkang yang hanya tahu mengkritik kerajaan mengenai masalah tidak ada peluang pekerjaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kerjaya Pemuda BN 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
    
Beliau berkata usaha yang dilaksanakan Pemuda BN sejak 2010 itu berjaya memberi peluang pekerjaan kepada hampir 140,000 belia di samping membantu memenuhi keperluan tenaga kerja dalam syarikat atau jabatan yang menyertai karnival berkenaan.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata karnival itu boleh diperluas merangkumi pelajar yang menuntut di luar negara supaya maklumat mengenai peluang pekerjaan di Malaysia dapat disebarluaskan.
    
Langkah itu juga sebagai tarikan kepada graduan luar negara untuk kembali berkhidmat di syarikat tempatan yang turut mempunyai daya saing tinggi dan memerlukan tenaga mahir seperti mereka.
    
"Bila lepasan ijazah sudah pekerjaan yang terjamin, bila balik ke Malaysia, mereka tidak akan ditempah oleh mana-mana syarikat asing atau negara luar untuk eksploitasi kemahiran dan keupayaan mereka.
    
"Daripada beri sumbangan di luar negara,lebih baik memberi sumbangan dalam negara kerana mereka mempunyai kepakaran dan kebolehan untuk mengisi keperluan di dalam negara," katanya.
    
Sementara itu,  Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata Karnival Kerjaya edisi keempat itu dibuka kepada golongan belia yang mencari pekerjaan dan tidak terhad mengikut parti politik atau pun
bangsa.
   
Langkah itu juga, katanya sebagai model baharu politik yang dahagakan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi khususnya golongan muda dalam mencari peluang pekerjaan.
    
"Belia hendak lihat penyelesaian kepada mereka yang jelas dan langkah ini ternyata mendapat sokongan di kalangan mereka.    

"Saya harap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.
    
Karnival Kerjaya Pemuda BN 2013 yang berlangsung tiga hari bermula semalam memberi peluang kepada pengunjung dan bakat terbaik untuk berinteraksi dengan wakil dari pelbagai kementerian, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, institusi kewangan dan sektor korporat yang menawarkan peluang pekerjaan serta
latihan kemahiran.
    
Karnival disertai 300 majikan yang menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan