Halaman

Rabu, 11 Disember 2013

Guan Eng minta maaf dengan Jahara?

Selepas menggelar ketua pembangkang, Datuk Jahara Hamid sebagai nenek rasis kerana membangkitkan isu Pulau Mazhu dan isu perobohan gerai makanan tidak berlesen yang didakwa dilaksanakan secara tidak adil dalam sidang Dun semalam, akhirnya Ketua Menteri  Lim Guan Eng tampil memohon maaf.

Dalam satu kenyataan hari ini, Guan Eng berkata, jika Jahara terasa hati kerana digelar seorang nenek yang rasis kerana ia berkait dengan gendernya, beliau hanya akan memanggilnya seorang rasis.    

"Saya memohon maaf kerana menggunakan perkataan ‘nenek’.

"Namun beliau tetap seorang yang rasis kerana memainkan api kebencian terhadap kaum dan agama melalui pembohongan konon saya meluluskan penukaran nama Pulau Jerejak menjadi Pulau Mazhu (seorang dewa Cina) kerana saya meluluskan tokong Mazhu..

"Pembohongan ini memainkan sentimen agama sedangkan Pulau Mazhu ini tidak wujud pun," katanya.

Menurutnya, satu lagi pembohongan yang dilakukan ketua pembangkang itu ialah apabila bertanya kenapa tiada tindakan diambil ke atas empat gerai tanpa lesen milik pengusaha Cina di Pantai Bersih di Butterworth.

"Beliau sengaja tidak menyebut bahawa tiada tindakan diambil terhadap lebih empat pengusaha gerai Melayu tanpa lesen dalam kawasan yang sama dan ia jelas sekali tidak wujud ‘double standard’ seperti yang didakwa.

"Kerajaan negeri tidak akan berdiam diri terhadap penipuan yang bertujuan menimbulkan kebencian antara masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan