Halaman

Rabu, 11 Disember 2013

Kena kawal harga barang naik

PADA suatu masa dahulu, saya anggap saya sinonim dengan keadaan di Pulau Pinang. Masa itu dengan megah saya beritahu rakan-rakan dari luar kononnya saya tahu setiap lorong di pulau  itu.

Masa kecil, saya pukul kaki dan kemudian naik basikal masuk kampung, keluar kampung; Kampung Makam, Kampung Dodol, Kampung Selut, Kampung Jawa, Sungai Pinang, Klawai dan banyak lagi.

Apabila mula bekerja, saya, dengan kawan-kawan sebaya, naik motosikal pusing seluruh bandar dan keliling pulau sejauh kira-kira 70 km.

Hari ini wajah dan suasana sudah banyak berubah. Kampung-kampung itu sudah dihimpit hutan konkrit; kos yang perlu dibayar untuk menikmati pembangunan.

Masa belasan tahun, hampir setiap dua minggu sekali, saya ikut ayah dan rakan-rakan pasukan badmintonnya panjat Bukit Bendera melalui Moon Gate, dekat Taman Bunga yang menarik ratusan pengunjung setiap hujung minggu dengan kejernihan air terjun dan monyetnya yang banyak.

Hari ini saya tidak nampak lagi orang mandi-mandi di air terjunnya dan monyet pun macam sudah kurang. Harap-harap bukan akibat dicuri orang.

Masa kempen pilihan raya umum pertama, saya selalu mendengar di corong radio lagu Mari Mengundi yang disampaikan penghibur serba boleh masa itu, Zainal Alam.

Lagu itu menyebut: Marilah tuan dan puan; 27 hari bulan; undilah calon yang utama; marilah, undilah bersama-sama.

Macam-macam stail yang menarik dalam kalangan penceramah dan pemimpin parti politik semasa kempen, yang saya ikuti di Padang Brown (orang Pulau Pinang sebut Padang Berom).

Antara penceramah hebat ialah Presiden Pas, Allahyarham Datuk Asri Muda. Beliau terkenal bukan sahaja kerana ucapannya yang berapi-api, tetapi juga stailnya yang unik.

Ada pada suatu malam, ketika beliau berucap, hujan lebat. Apabila ada petugas naik ke pentas membawa payung untuknya, beliau menolak tawaran itu. Beliau mendapat tepukan kerana tindakan itu.

Tepukan hadirin menjadi bertambah gemuruh apabila Asri meminum air hujan yang memenuhi gelas diletak atas rostrum. Sekarang Padang Brown yang menjadi tempat remaja bermain bola kelihatan kecil setelah dikelilingi gerai-gerai makanan.

Semalam saya ke tempat yang dikenali Rope Walk, di depan Stadium Pulau Pinang di Jalan Perak. Sebenarnya, kawasan itu ialah Lorong Kulit, bekas kawasan parkir. Rope Walk yang sebenar di mana terdapat penjualan barang-barang lama dan antik ialah di pusat bandar raya (dekat Chulia Street).

Di kawasan baru di depan stadium itu, macam-macam barang ada; daripada kasut, baju dan seluar bundle kepada barang elektronik, antik dan buah-buahan.

Gambar-gambar hitam putih anak-anak Pulau Pinang; Tunku Abdul Rahman dan Tan Sri P Ramlee, wajah bangunan, jalan raya dan kenderaan awam di bandar Pulau Pinang pada tahun-tahun 40-an hingga 70-an. Dari mana datangnya gambar-gambar lama itu saya  tidak pasti.

Yang saya tahu, disebabkan sambutan sangat menggalakkan, lot-lot niaga di situ sudah bertambah banyak sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Di situ ada tiga atau empat pentas yang macam-macam bentuk hiburan; tari-tarian, nyanyian, main baling bola dan gelang rotan untuk memenangi hadiah dan tentunya persembahan boria.

Malam paling sesak ialah ketika persembahan oleh anak kemegahan Pulau Pinang, seniman legenda Tan Sri P Ramlee dengan kumpulan penyanyinya Puan Sri Saloma, Tan Sri S M Salim serta pelawak A R Tompel dan Ibrahim Din.

Lorong kulit itu sebenarnya tidak sampai 150 meter dari rumah ibu P Ramlee di Counter Hall. Dua tiga kali saya ke rumah itu bersama Nasir (anak P Ramlee yang sekelas dengan saya dari darjah satu hingga tiga di hujung tahun 50-an). Hari ini kawasan itu selalu dilanda banjir.

Kawan-kawan yang masih tinggal di Pulau Pinang mengeluh makanan di sesetengah tempat di sini mahal. Mentang-mentang dikunjungi ramai pelancong antarabangsa, bihun sup yang patutnya berharga RM3.50 atau RM4 paling tinggi, dijual dengan harga RM6 di gerai kawasan tepi pantai.

Itulah harga pembangunan yang perlu dibayar, tetapi apakah peniaga mahu terus ambil kesempatan? Pihak penguat kuasa mahu tengok sahaja!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan