Halaman

Rabu, 18 Disember 2013

Orang Awam Boleh Kritik Kakitangan Awam

 Orang ramai kini boleh mengemukakan aduan, maklum balas atau cadangan mengenai mutu perkhidmatan kerajaan dan kakitangan awam menerusi pos di cawangan Pos Malaysia seluruh negara. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, berkata khidmat ditawarkan menerusi usahasama antara Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Pos Malaysia itu turut dipanjangkan kepada penduduk luar bandar dan pedalaman. 

Perbaiki perkhidmatan 


“Pendekatan ini memudahkan rakyat menghubungi kerajaan bagi membuat aduan, sekali gus membantu kerajaan menambah baik perkhidmatan kepada rakyat berdasarkan kemahuan mereka.

“Saya yakin budaya ini akan menghapuskan amalan bekerja secara bersendirian dikementerian, jabatan atau agensi kerajaan tertentu.

“Ia akan menggalakkan jalinan rangkaian kerjasama yang lebih berkesan dalam kalangan pegawai kerajaan merentasi kementerian, jabatan dan agensi,” katanya pada majlis pelancaran borang aduan pos itu di sini, semalam. 

Seng Kuan menjelaskan, saluran aduan terbaru yang disediakan itu selaras dasar kerajaan bagi mencapai kecemerlangan berterusan dalam sistem penyampaian dan perkhidmatan kepada rakyat. 
Borang aduan itu ditempatkan di 300 pejabat Pos Malaysia terpilih di seluruh negara mulai semalam dan borang yang sudah lengkap diisi akan dihantar ke alamat Peti Surat 9000 di ibu pejabat Pos Malaysia di Kuala Lumpur dengan kandungannya disemak oleh BPA sebelum menentukan tindakan susulan. 

Seng Kuan juga yakin skim itu dapat mempertingkatkan keberkesanan dan memperkenalkan kaedah lebih holistik lagi bertanggungjawab dalam cara jabatan atau agensi kerajaan menangani aduan.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan