Halaman

Rabu, 18 Disember 2013

Transaksi wang menerusi komputer 2014

 Jabatan Akauntan Negara akan membangunkan Sistem Perakaunan Luar Negeri (SPLN) secara berperingkat di 154 Pusat Tanggungjawab (PTJ) seluruh negara, selewat-lewatnya awal tahun depan. 

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, berkata SPLN adalah satu usaha kerajaan untuk mentransformasi sistem pengurusan kewangan dan perakaunan daripada sistem manual kepada berkomputer.

Sebelum ini, katanya, transaksi di luar negara membabitkan baucar bayaran yang di hantar melalui kurier dan mengambil masa dua bulan untuk sampai. 


“Perkara ini menyebabkan laporan kewangan selalu tidak seimbang dan lambat,” katanya sambil menambah pelaksanaan secara perintis SPLN dilakukan pada 2012 di Jakarta, Singapura dan New Delhi, manakala tahun ini diperluaskan di 90 PTJ di 53 lokasi di 36 negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran SPLN di kementeriannya di sini, semalam. Hadir sama, Akauntan Negara Malaysia, Datuk Wan Selamah Wan Sulaiman.

Perakaunan elektronik

SPLN adalah antara transformasi diwujudkan Kementerian Kewangan bagi membolehkan sistem pengurusan kewangan atau perakaunan elektronik membabitkan agensi kerajaan di luar negara dilaksanakan secara berkomputer. 
PTJ pula ialah agensi kerajaan di luar negara yang juga pemegang Panjar Tigaperduabelas (3/12) di bawah lapan kementerian yang berfungsi dalam proses pembayaran perbelanjaan di luar negara.

Ia termasuk Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan, Kementerian pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pendidikan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Imigresen serta Kastam Diraja Malaysia. 

Panjar Tiga Perduabelas adalah wang tunai yang diperuntukkan dalam Kumpulan Wang Disatukan yang diguna untuk memudahkan perbelanjaan berkala luar negara dalam mata wang asing untuk kegunaan kakitangan awam yang berkhidmat di luar negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan