Halaman

Rabu, 18 Disember 2013

SMS baucar RM200 hanya fitnah

SMS baucar RM200 hanya fitnah
Penyebaran mengenai pemberian baucar RM200 untuk Program Jom Shopping Kembali Ke Sekolah kepada anak Selangor melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi ‘Whatsapp’ sejak kelmarin adalah fitnah semata-mata.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali mengesahkan, pesanan yang tersebar adalah palsu dan tindakan tidak bertanggungjawab itu disifatkan sebagai sengaja ingin merosakkan nama baik kerajaan negeri.

"Orang ramai khususnya ibu bapa diminta tidak mudah terpengaruh dengan fitnah yang sengaja dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Ia SMS yang tidak benar dan sengaja menyusahkan serta mengelirukan semua pihak selain mengecewakan ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah," katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Buat laporan polis

Sehubungan itu, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Selat Klang telah membuat laporan polis kira-kira jam 11 malam, kelmarin selepas menyedari kewujudan SMS fitnah berkenaan.

"Tidak sampai 24 jam, kita dihujani lebih 2,000 panggilan telefon yang bertanyakan mengenai kesahihannya.

“Kita juga tidak pernah membuat pengumuman rasmi pemberian baucar RM200, sebaliknya hanya memberi baucar RM30 untuk keluarga berpendapatan rendah untuk membeli kasut sekolah anak-anak di kedai Bata,” katanya.

Beliau menegaskan, terdapat beberapa keraguan yang jelas dalam SMS itu yang menggunakan istilah 'pengajian tinggi' sedangkan portfolio Exco menggunakan 'pendidikan tinggi'.

“Nombor telefon pegawai seperti yang dicatatkan dalam SMS itu juga tidak tepat kerana ia nombor pegawai PKM Dun Selat Klang, bukannya nombor pegawai dari pejabat Exco Pendidikan," katanya.

Katanya, dalam SMS itu juga menyatakan, penetapan syarat penerima dari kalangan murid darjah satu hingga tingkatan enam atas hanya perlu membawa kad pengenalan dan hadir bersama ibu bapa (pengundi Selangor) boleh menebus baucar itu di semua pasar raya kecuali MyDin dan Kedai 1Malaysia.

"Ia juga menyatakan baucar boleh diambil di seluruh Pusat Khidmat Dun mulai 16 Disember hingga 28 Disember depan dan difahamkan. Semua itu tidak benar dan sengaja ingin memburuk-burukkan kerajaan negeri," katanya.

Turut menerima kesan katanya, semua 56 Pusat Khidmat Dun dan Pejabat Ahli Parlimen dihujani panggilan daripada rakyat berhubung dakwaan pemberian baucar itu.


Cubaan jatuhkan imej kerajaan negeri

Dalam pada itu, Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi menyifatkan penyebaran maklumat palsu mengenai program tersebut bukan sahaja menjatuhkan imej kerajaan negeri, tetapi menyusahkan semua pihak.
“Tidak dinafikan kerajaan negeri ada menyediakan baucar kasut di outlet Bata untuk 600 peserta setiap Dun yang kurang berkemampuan.

“Namun, tiada pula peruntukan setiap anak Selangor yang mahu kembali ke sekolah akan diberi bantuan baucar RM200 di semua pasaraya kecuali Mydin dan Kedai Rakyat 1Malaysia seperti yang disebarkan sehingga ramai ibu bapa datang ke pejabat bertanyakan maklumat itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Propaganda pihak pembangkang?

Sementara itu, Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail mendakwa SMS palsu berhubung pemberian baucar RM200 oleh kerajaan negeri itu adalah tindakan propaganda pihak pembangkang.

Menurutnya, baucar itu memang tidak wujud dan cerita berkenaan sengaja direka-reka pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan rakyat.

Kerajaan negeri katanya, hanya menyediakan 600 baucar RM30 di setiap Dun untuk membantu pelajar yang layak menerusi program ‘Back to School’.

“Saya percaya tindakan ini adalah propaganda pihak pembangkang di Selangor, Exco yang disebut dalam SMS juga tiada kena-mengena dengan sumbangan ‘Back to School’ berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan