Halaman

Jumaat, 6 Disember 2013

TNB selenggara perkhidmatan lebih tinggi berbanding laba

Sebagai syarikat yang memiliki aset RM99 bilion, keuntungan RM4.6 bilion yang diraihnya boleh dianggap minimum berbanding konglomerat lain, yang untung sekurang-kurangnya separuh daripada nilai aset mereka.


Kajian semula tarif elektrik penting kepada TNB untuk menampung peningkatan kos bekalan, pelaburan semula dalam peralatan bekalan yang lama serta membuat penambahbaikan dalam menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan berkualiti. 
Berkuat kuasa 1 Januari 2014 tarif purata elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 4.99 sen/kWj, atau 14.89 peratus, daripada 33.54 sen/kWj kepada 38.53 sen/kWh. 

Pelarasan itu adalah berdasarkan empat komponen, termasuk semakan semula tarif asas TNB sebanyak 2.69 peratus atau 0.90 sen/kWj, daripada purata tarif semasa tarif.

Tarif 0.90 sen/kWj itu hanya menyumbang kira-kira 18 peratus daripada jumlah peningkatan tarif dan ia bagi menampung kos operasi TNB selain untuk pelaburan prasarana yang diperlukan untuk bekalan elektrik.

Dikaji setiap enam bulan

Tiga komponen lain yang menyumbang baki 82 peratus, adalah disebabkan kos bahan api yang meningkat membabitkan gas berpaip, gas asli cecair (LNG) selain harga arang batu.

TNB akan membayar RM15.20 mmBTU (Juta Metrik unit Termal British) untuk gas berpaip berbanding RM13.70 mmBTU pada masa ini.

Pada Mac 2009, kerajaan memutuskan bahawa harga gas akan dikaji semula setiap enam bulan, namun pelaksanaannya ditangguhkan berikutan krisis kewangan global.

Semakan harga gas sebelum ini ialah pada Jun 2011, daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU yang sekali gus menyelaraskan tarif elektrik. 

Bagi LNG, TNB akan membayar harga pasaran sebanyak RM41.68/mmBTU manakala harga arang batu yang dilindung nilai pada AS$87.50/tan, lebih tinggi berbanding AS$85/tan sebelum ini.

4.6 juta pelanggan tak terjejas

Dalam melaksanakan struktur baru tarif elektrik, kerajaan memastikan golongan berpendapatan rendah, tidak terjejas.

Semakan itu tidak akan menjejaskan kira-kira 70.7 peratus atau 4.6 juta pelanggan domestik, iaitu pelanggan dengan bil bulanan sebanyak RM77 dan ke bawah, tidak mengalami sebarang kenaikan tarif. 

Rebat daripada kerajaan untuk pelanggan domestik menggunakan elektrik hingga RM20 sebulan masih dikekalkan, membabitkan kira-kira satu juta pelanggan domestik dalam kategori ini. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan