Halaman

Isnin, 23 Disember 2013

Guan Eng Tuduh Najib Malukan MCA

Lim Guan Eng

DAP menyifatkan parti komponen BN, MCA telah dimalukan Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-60, semalam.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, penghinaan politik itu bukan daripada kekalahan pada pilihan raya umum lalu atau penolakan daripada rakyat tetapi dari kawan baik mereka sendiri.

“Jika MCA perlukan viagra politik daripada Kementerian Kesihatan seperti dinasihatkan Najib, ia hanya membuktikan kewujudan MCA bukan kerana prinsip mereka ataupun untuk berkhidmat kepada rakyat. Tetapi semata-mata berkhidmat untuk kepentingan Umno.

“Kegagalan MCA menegur Presiden BN dan Umno untuk komen yang sebegini menunjukkan betapa patuhnya MCA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Guan Eng mempertikaikan tindakan MCA hanya membiarkan dirinya dimalukan di bangunan sendiri.

“Jika MCA tidak berani membantah apabila mereka dimalukan di bangunan mereka sendiri secara terbuka di hadapan perwakilan mereka, bagaimana rakyat boleh mengharapkan MCA melawan Umno untuk mempertahankan hak rakyat Malaysia?

“Rakyat menantikan jawapan bagaimana untuk bebas daripada penjara kemiskinan, rasuah dan hutang ekoran kegagalan pentadbiran BN,” katanya.

Tambahnya, “bolehkah viagra politik itu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat sehari-hari? Atau hanya bersandar pada dasar perintah Umno yang bermain dengan isu perkauman dan pelampau agama?.

Semalam, Najib meminta MCA mengambil 'viagra politik' untuk mengembalikan semangat ahli parti yang semakin pudar.

Beliau berkata demikian setelah menyentuh soal prestasi MCA yang mengecewakan pada PRU13, baru-baru ini.

Nampaknya DAP cuba hendak melaga-lagakan antara MCA dan UMNO.Sudah-sudah lah tue DAP ....

Khalid dipilih lagi Presiden MTUC

Khalid dipilih lagi Presiden MTUC



Pemilihan kepemimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) semalam menyaksikan penyandang jawatan, Mohd Khalid Atan dipilih semula sebagai presiden kesatuan itu bagi penggal 2013-2016. 

Khalid mengalahkan pencabarnya yang juga bekas Setiausaha Agung, Abdul Halim Mansor selepas memperoleh 297 undi, mengatasi Abdul Halim yang mendapat 173Jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid dengan memperoleh 213 undi manakala N Gopal Krisnan dipilih Setiausaha Agung MTUC mengatasi tiga calon lain selepas mendapat 216 undi. 



Keputusan itu diumumkan Pengerusi Pemeriksa dan Pengiraan Undi Pemilihan itu, Roy Raja Sehgaran pada jam 9.16 malam selepas lebih lima jam menunggu proses kiraan undi selesai. 

Tujuh orang dipilih mengisi jawatan Naib Presiden bagi mewakili sektor awam, swasta dan berkanun. Antara yang terpilih termasuk Ahmad Helmi Ibrahim yang mewakili kesatuan sekerja di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Kira-kira 501 perwakilan dari 129 kesatuan mewakili pelbagai sektor layak memilih kepemimpinan baru MTUC pada persidangan dua hari, berakhir semalam di Institut Penyelidikan, Pendidikan dan Inovasi, Universiti Malaya, di sini. 

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan menghantar delegasi teramai iaitu 42 perwakilan ke persidangan tahunan dan pemilihan tiga kali tahun itu. 
Pemilihan kali ini juga malakar sejarah apabila buat pertama kali sejak kongres itu ditubuhkan pada 1949 menyaksikan pertandingan antara penyandang Setiausaha Agung dan presiden bagi merebut jawatan nombor satu dalam kesatuan itu. 

Sebanyak 16 resolusi dibincang dan dibahas antara lainnya menyentuh mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan, penambaikan perlembagaan kesatuan serta menambahbaik kebajikan pekerja. 

MTUC mempunyai keahlian kira-kira 620,000 terdiri daripada 162 kesatuan gabungan meliputi badan swasta, awam dan berkanun. undi atau majoriti 124 undi. 

Biaya umrah mangsa banjir

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET) akan memilih dan menanggung perbelanjaan 50 penduduk terjejas banjir di negeri ini menunaikan umrah. 

Perkara itu diumumkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir Peringkat negeri dan Penghargaan Kepada Sukarelawan di Masjid Al-Mutaqqim, Tanah Putih, di sini semalam. 

Baginda bertitah, sumbangan itu adalah sebahagian usaha meringankan beban penduduk yang mengalami kerugian dalam kejadian banjir awal bulan ini. 


“Beta berharap semua rakyat dapat bersabar dalam menempuh dugaan Allah ini. Kerajaan Pusat dan negeri akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada semua mangsa secara berperingkat,” titahnya. 

Majlis turut dihadiri Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; Tengku Arif Temenggung, Tengku Fahd Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Azeez Abdul Rahim. 

1,000 terima bantuan 

Pada majlis itu, 1,000 mangsa banjir menerima bantuan ihsan RM250 dari kerajaan negeri dan RM100 sumbangan SASET. 
Selain itu, mereka menerima tilam, bantal dan dapur sumbangan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M). 

Sementara itu, Adnan berkata, kerajaan negeri mengagihkan bantuan RM250 kepada 17,054 keluarga di negeri ini yang menjadi mangsa banjir bermula semalam. 

Katanya, proses agihan itu dijangka mengambil masa dan meminta semua mangsa bersabar menunggu giliran mereka. 

“Banjir kali ini membabitkan ramai mangsa dan sudah pasti proses untuk menyerahkan bantuan ihsan ini mengambil masa. Kita akan cuba mempercepatkan pengagihan dan berharap semua dapat bersabar. 

“Kalau dikira dengan jumlah kerugian dialami setiap mangsa, sudah pasti jumlah bantuan ihsan RM250 ini tidak memadai, namun kerajaan negeri akan mencari jalan lain untuk memberikan bantuan tambahan kepada mangsa,” katanya. 

Adnan berkata, secara keseluruhannya kerajaan negeri menganggarkan banjir awal bulan ini menyebabkan kerugian kira-kira RM390 juta. 

Dalam pada itu, Azeez yang juga Pengerusi KP1M, berkata setakat ini pihaknya sudah menyalurkan bantuan berjumlah kira-kira RM4.5 juta kepada mangsa banjir di Pahang. 

Katanya, bantuan berkenaan sudah dan sedang diagihkan 150 sukarelawan KP1M sejak hari pertama banjir melanda negeri ini.

Hilang royalti RM500,000 setahun

Eksklusif:  Hilang royalti RM500,000 setahun

 Satu lagi lokasi curi pasir dikesan di Selangor, kali ini membabitkan kegiatan penyelewengan permit dan doket (kupon untuk tuntutan royalti) pengeluaran tanah merah di kawasan bahan buangan kuari bersebelahan Kuari Hansson, di Rawang, dekat sini.

Ini juga menyebabkan kerajaan Selangor mengalami ketirisan RM500,000 dalam tempoh setahun setengah sejak operasi haram itu berlaku, kerana gagal mengutip cukai dan royalti, seperti juga di tiga lokasi lain yang turut dijadikan lokasi kegiatan curi pasir sebelum ini. 

Kegiatan curi pasir di Rawang sejak setahun setengah lalu itu, terbongkar hasil pendedahan sumber SPRM yang tidak mahu penyelewengan ini berterusan hingga mengakibatkan kerugian kepada rakyat negeri Selangor.

Harap kerajaan Selangor dapat memberi penjelasan mengenai isu ini.

Sukarelawan banjir disyaki kena virus kencing tikus


Seorang remaja berusia 15 tahun yang menjadi sukarelawan banjir di bandar ini, meninggal dunia Selasa lalu selepas demam hampir empat hari.

Keluarga mangsa, Nik Ammar Shahril Nik Mustafa, yang tinggal di Kampung Padang Garuda, Batu 9, Jalan Gambang di sini, memaklumkan badan pelajar itu berubah kekuningan sebelum disahkan meninggal dunia, jam 10.20 pagi. 

Ibunya, Samsiah Harun, 37, berkata pengurusan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, memaklumkan yang anaknya disyaki dijangkiti kencing tikus dan virus bawaan air banjir. 



Beliau berkata, ketika banjir melanda bandar ini pada 3 Disember lalu, anaknya keluar membantu beberapa mangsa banjir sekitar kampung mereka. 

“Oleh kerana rumah kami tidak dinaiki air, Nik Ammar meminta kebenaran untuk membantu beberapa penduduk. Dia keluar seawal jam 6 pagi melakukan kerja sukarelawan sehingga jam 7 malam. 


Demam, muntah 
“Keesokannya, arwah yang juga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau, mengadu kekejangan pada kaki kiri sehingga tidak mampu berdiri. 

“Keadaan itu berlarutan sehingga 14 Disember lalu sebelum dia mengalami muntah-muntah dan mula demam,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Samsiah berkata, demam itu berlarutan sehingga Isnin minggu lalu dan sebaik badan anaknya menunjukkan tanda kekuningan, keluarganya segera membawa Nik Ammar ke HTAA, jam 8 malam. 

Meninggal selepas 12 jam dirawat 

“Namun selepas lebih 12 jam menjalani rawatan di HTAA, anak saya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.20 pagi (Selasa),” katanya. 

Beliau berkata, pihak hospital memaklumkan punca awal kematian arwah mungkin disebabkan jangkitan kencing tikus dan virus bawaan air, namun laporan perubatan lengkap hanya akan diketahui esok. 

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kesihatan negeri memaklumkan kes berkenaan sudah dirujuk kepada Pakar Perunding Perubatan HTAA, selain siasatan lanjut oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan. 

“Ia bertujuan mendapatkan maklumat lebih tepat mengenai punca kematian mangsa. Laporan akhir kes ini akan disiapkan secepat mungkin bagi memastikan ia dianalisa daripada pelbagai aspek dan kemungkinan,” katanya.

Caj rawatan hospital, klinik kerajaan kekal


 Kementerian Kesihatan memberi jaminan caj rawatan di hospital, klinik serta pusat kesihatan kerajaan seluruh negara, akan kekal pada kadar lama.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata kerajaan tidak bercadang untuk menyemak atau menaikkan kadar caj rawatan itu walaupun ia disifatkan sebagai antara terendah di dunia. 

“Rakyat Malaysia mungkin paling bertuah di dunia kerana pada kadar paling minimum atau RM1, mereka boleh mendapat pelbagai jenis rawatan di hospital kerajaan. 



Dalam tempoh terdekat ini, kita tiada cadangan untuk menaikkan kadar caj sedia ada.

Manfaat kemudahan

“Walaupun kita mengenakan kadar caj minimum dan rendah, kerajaan akan terus merangka sistem kesihatan lebih menyeluruh supaya rakyat terus menikmati penjagaan kesihatan lebih baik dan berkualiti,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan dewan serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jementah, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keluhan rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup yang dianggap membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini. 
Sementara itu, Subramaniam berkata, pasukan penguatkuasa yang disertai kakitangan Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan digerakkan bagi membuat pemeriksaan serta pemantauan di kawasan pembiakan Aedes, termasuk empat kawasan membimbangkan iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang, Melaka serta Negeri Sembilan.

“Penguatkuasa diarah mengambil tindakan tegas di kawasan pembiakan yang serius terutama kepada pemilik premis yang melakukan kesalahan secara berulang, dengan mengheret mereka ke mahkamah.


Tindakan tegas

“Bagaimanapun, jika mereka melakukan kesalahan pertama mungkin tindakan kompaun boleh diambil bagi menyedarkan mereka terhadap bahaya Aedes dan denggi kepada masyarakat,” katanya.

Subramaniam berkata, petugas kesihatan termasuk doktor juga diarahkan berjaga-jaga jika merawat pesakit yang mengalami simptom demam dengan mengarahkan mereka membuat pemeriksaan darah segera.

“Ini berikutan banyak pesakit mengalami demam denggi lewat mendapatkan rawatan sehingga mendapat komplikasi serius. Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai turut mengambil langkah pencegahan iaitu berjumpa doktor dengan segera jika mengalami simptom demam bagi mengelak komplikasi denggi merebak,” katanya.

PAS korban prinsip untuk kelihatan lebih terbuka


Meneliti dan mendengar penjelasan Ustaz Kazim Elias mengenai punca beliau meninggalkan PAS seperti yang penulis paparkan minggu lalu, mudahlah kita memahami kenapa begitu ramai ulama dan tokoh agama sebelum beliau tidak lagi mahu bersama parti itu. Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Datuk Ghazali Ahmad, Datuk Nakhaie Ahmad, Datuk Dr Hassan Ali, Ustaz Hassan Basri, Prof Datuk Dr Shahnon Ahmad, Dr Mohd Noor Deris, Ustaz Kamal Saidin juga ulama pondok yang disegani di Kedah dan Kelantan termasuk Tok Guru Haji Rahim Pendang, Tok Guru Sobri Osman dan Tok Guru Abdullah Sa’amah, sekadar menyebut beberapa nama, semuanya melahirkan kekecewaan dengan sikap hipokrit pucuk pimpinan PAS dan kegagalan parti itu mempertahankan martabat Islam dan umatnya. 

Mereka tidak boleh terima hakikat bahawa PAS sanggup pusing 360 darjah berhubung dasar parti dan perjuangan asas. Konsep Negara Islam, kalimah Allah dan tahaluf siyasi dengan parti rasis-cauvinis Cina DAP dan parti menyokong liberalisme dan pluralisme agama Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah sebab utama mereka hilang terus kepercayaan kepada PAS. 

Terdesak raih sokongan bukan Melayu 




Menyedari ia dan sekutunya tidak mungkin mendapat undi mencukupi untuk memerintah negara tanpa sokongan bukan Melayu dan melihat kejayaan formula Barisan Nasional (BN) dalam banyak pilihan raya umum pada dekad 1970-an, 1980-an dan 1990-an, PAS mengambil keputusan bersekongkol dengan DAP sejak 15 tahun lalu. Pada hal, PAS sebelum itu menunjukkan sikap politik yang anti-Cina dan India. Ketika menubuhkan PAS pada 1951, pemimpinnya menentang kerakyatan diberi kepada orang Cina dan dan India. 

Mereka mahu Kerajaan British mengetatkan undang-undang imigresen agar orang Cina dan India, masing-masing berjumlah 1.2 juta dan 270,000 ketika itu, tidak mudah berada di Persekutuan Tanah Melayu. Malah, PAS mahu pastikan tiada orang Cina atau India berjawatan menteri, ketua menteri, gabenor atau pegawai tinggi angkatan tentera (Baca buku Alias Mohamed, Malaysia’s Islamic Opposition: Past, Present and Future, 1991). 

Benci PAS kepada Cina dan India bukan setakat soal kerakyatan dan jawatan, malah melimpah kepada Melayu yang turut dianggap kafir kerana berbaik-baik dan bekerjasama dengan bukan Melayu. Dalam setiap pilihan raya sejak 1950-an hingga sekitar 2000, PAS melaung-laungkan bahawa orang Islam tidak boleh mengambil bukan Islam sebagai pemimpin. 
PAS melarang ahli dan penyokongnya memberi undi kepada calon Cina atau India kerana perbuatan itu seperti mengangkat orang kafir jadi pemimpin. PAS mendakwa UMNO jadi kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC sejak 1955. Apabila UMNO bergabung dengan parti lain menubuhkan BN pada 1974, apatah lagi apabila Tun H S Lee, Tun Tan Siew Sin, Tun VT Sambanthan dan Tan Sri Manikavasagam dilantik menteri Kabinet, pemimpin PAS memutarbelit maksud ayat 28 Surah Al-Imran. Dalam ceramah di seluruh negara, mereka menimbulkan istilah ‘kafir berikat’ yang ditujukan kepada UMNO. 

Sikap ekstremis PAS meresap ke dalam sistem pendidikan, organisasi dan pertubuhan. Di sekolah dan universiti, PAS tidak toleran dengan kaum lain dalam aspek agama dan budaya. Mereka membantah dan mengadakan demonstrasi apabila pelajar atau persatuan Cina dan India ingin mengadakan konsert, tarian naga/singa dan pertunjukan budaya. Melawat rakan Cina dan India pada hari perayaan, malah menghantar kad ucapan juga, dianggap haram. Dari segi pakaian dan pendekatan pula, mereka membezakan diri mereka dengan kaum lain. 

Sehingga 1980-an, ada penceramah PAS yang menjatuhkan haram kepada orang Melayu-Islam memakai tali leher dan kot. Ramai penganalisis sosial, psikologi dan politik berpendapat sikap benci yang melampau terhadap semua yang dianggap kafir dan taghut telah mewujudkan kumpulan pelampau dalam PAS. 
Dalam pilihan raya kecil Teluk Kemang dan Lunas (2000), PAS mendakwa jika undi diberi kepada calon India (MIC), itu ibarat menyokong kuil dan gereja. Menurut PAS, orang Islam wajib undi calon Islam (PKR) kerana itu menyokong masjid. 

Selama 50 tahun, wujud jurang yang lebar antara PAS dengan bukan Islam. PAS tiada tempat di hati orang Cina dan India. PAS juga tidak minat undi Cina. Di Kelantan misalnya, hubungan rapat pemimpin UMNO dan MCA-MIC dijadikan bahan cacian. PAS menggelar Pengerusi MCA Kelantan ketika itu Foo Chow Yong, sebagai ‘Ustaz Foo’ bertujuan mengejek UMNO kononnya berustazkan pemimpin Cina. 

Apabila Parti Semangat 46 mengilhamkan Gagasan Rakyat pada 1990 sebagai pakatan pembangkang untuk jatuhkan BN, PAS tidak mahu menyertai atas alasan tidak boleh bersekongkol dengan DAP. Mana boleh parti yang dipimpin ulama berkongsi kuasa dengan parti yang dipimpin orang kafir? Sekitar waktu inilah Karpal Singh mengeluarkan amaran melangkah mayatnya dulu jika PAS mahu menubuhkan negara Islam. Sebagai kompromi, diwujudkan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan Parti S46, Berjasa dan PAS manakala S46, DAP dan Parti Rakyat Malaysia berada dalam Gagasan Rakyat. 

Kuasa Allah dan kehendak-Nya, terbukti juga belang PAS akhirnya. Pada 1999, PAS menggadai prinsip yang dipegangnya selama ini dan berpakat dengan DAP dalam Barisan Alternatif kerana realiti politik. Ia terpaksa menelan semula ludahnya semata-mata untuk mendapat kuasa. Sejak 14 tahun lalu, PAS berusaha keras untuk menunjukkan ia lebih terbuka, melakukan pelbagai perkara yang tidak terfikir oleh ahli sendiri terutama penyokong di luar bandar, untuk menjatuhkan kerajaan BN yang bertunjang kuasa Melayu-Islam.