Halaman

Isnin, 23 Disember 2013

Caj rawatan hospital, klinik kerajaan kekal


 Kementerian Kesihatan memberi jaminan caj rawatan di hospital, klinik serta pusat kesihatan kerajaan seluruh negara, akan kekal pada kadar lama.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata kerajaan tidak bercadang untuk menyemak atau menaikkan kadar caj rawatan itu walaupun ia disifatkan sebagai antara terendah di dunia. 

“Rakyat Malaysia mungkin paling bertuah di dunia kerana pada kadar paling minimum atau RM1, mereka boleh mendapat pelbagai jenis rawatan di hospital kerajaan. 



Dalam tempoh terdekat ini, kita tiada cadangan untuk menaikkan kadar caj sedia ada.

Manfaat kemudahan

“Walaupun kita mengenakan kadar caj minimum dan rendah, kerajaan akan terus merangka sistem kesihatan lebih menyeluruh supaya rakyat terus menikmati penjagaan kesihatan lebih baik dan berkualiti,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan dewan serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jementah, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keluhan rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup yang dianggap membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini. 
Sementara itu, Subramaniam berkata, pasukan penguatkuasa yang disertai kakitangan Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan digerakkan bagi membuat pemeriksaan serta pemantauan di kawasan pembiakan Aedes, termasuk empat kawasan membimbangkan iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang, Melaka serta Negeri Sembilan.

“Penguatkuasa diarah mengambil tindakan tegas di kawasan pembiakan yang serius terutama kepada pemilik premis yang melakukan kesalahan secara berulang, dengan mengheret mereka ke mahkamah.


Tindakan tegas

“Bagaimanapun, jika mereka melakukan kesalahan pertama mungkin tindakan kompaun boleh diambil bagi menyedarkan mereka terhadap bahaya Aedes dan denggi kepada masyarakat,” katanya.

Subramaniam berkata, petugas kesihatan termasuk doktor juga diarahkan berjaga-jaga jika merawat pesakit yang mengalami simptom demam dengan mengarahkan mereka membuat pemeriksaan darah segera.

“Ini berikutan banyak pesakit mengalami demam denggi lewat mendapatkan rawatan sehingga mendapat komplikasi serius. Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai turut mengambil langkah pencegahan iaitu berjumpa doktor dengan segera jika mengalami simptom demam bagi mengelak komplikasi denggi merebak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan