Halaman

Isnin, 23 Disember 2013

Sukarelawan banjir disyaki kena virus kencing tikus


Seorang remaja berusia 15 tahun yang menjadi sukarelawan banjir di bandar ini, meninggal dunia Selasa lalu selepas demam hampir empat hari.

Keluarga mangsa, Nik Ammar Shahril Nik Mustafa, yang tinggal di Kampung Padang Garuda, Batu 9, Jalan Gambang di sini, memaklumkan badan pelajar itu berubah kekuningan sebelum disahkan meninggal dunia, jam 10.20 pagi. 

Ibunya, Samsiah Harun, 37, berkata pengurusan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, memaklumkan yang anaknya disyaki dijangkiti kencing tikus dan virus bawaan air banjir. 



Beliau berkata, ketika banjir melanda bandar ini pada 3 Disember lalu, anaknya keluar membantu beberapa mangsa banjir sekitar kampung mereka. 

“Oleh kerana rumah kami tidak dinaiki air, Nik Ammar meminta kebenaran untuk membantu beberapa penduduk. Dia keluar seawal jam 6 pagi melakukan kerja sukarelawan sehingga jam 7 malam. 


Demam, muntah 
“Keesokannya, arwah yang juga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau, mengadu kekejangan pada kaki kiri sehingga tidak mampu berdiri. 

“Keadaan itu berlarutan sehingga 14 Disember lalu sebelum dia mengalami muntah-muntah dan mula demam,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Samsiah berkata, demam itu berlarutan sehingga Isnin minggu lalu dan sebaik badan anaknya menunjukkan tanda kekuningan, keluarganya segera membawa Nik Ammar ke HTAA, jam 8 malam. 

Meninggal selepas 12 jam dirawat 

“Namun selepas lebih 12 jam menjalani rawatan di HTAA, anak saya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.20 pagi (Selasa),” katanya. 

Beliau berkata, pihak hospital memaklumkan punca awal kematian arwah mungkin disebabkan jangkitan kencing tikus dan virus bawaan air, namun laporan perubatan lengkap hanya akan diketahui esok. 

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kesihatan negeri memaklumkan kes berkenaan sudah dirujuk kepada Pakar Perunding Perubatan HTAA, selain siasatan lanjut oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan. 

“Ia bertujuan mendapatkan maklumat lebih tepat mengenai punca kematian mangsa. Laporan akhir kes ini akan disiapkan secepat mungkin bagi memastikan ia dianalisa daripada pelbagai aspek dan kemungkinan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan