Halaman

Isnin, 23 Disember 2013

PAS korban prinsip untuk kelihatan lebih terbuka


Meneliti dan mendengar penjelasan Ustaz Kazim Elias mengenai punca beliau meninggalkan PAS seperti yang penulis paparkan minggu lalu, mudahlah kita memahami kenapa begitu ramai ulama dan tokoh agama sebelum beliau tidak lagi mahu bersama parti itu. Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Datuk Ghazali Ahmad, Datuk Nakhaie Ahmad, Datuk Dr Hassan Ali, Ustaz Hassan Basri, Prof Datuk Dr Shahnon Ahmad, Dr Mohd Noor Deris, Ustaz Kamal Saidin juga ulama pondok yang disegani di Kedah dan Kelantan termasuk Tok Guru Haji Rahim Pendang, Tok Guru Sobri Osman dan Tok Guru Abdullah Sa’amah, sekadar menyebut beberapa nama, semuanya melahirkan kekecewaan dengan sikap hipokrit pucuk pimpinan PAS dan kegagalan parti itu mempertahankan martabat Islam dan umatnya. 

Mereka tidak boleh terima hakikat bahawa PAS sanggup pusing 360 darjah berhubung dasar parti dan perjuangan asas. Konsep Negara Islam, kalimah Allah dan tahaluf siyasi dengan parti rasis-cauvinis Cina DAP dan parti menyokong liberalisme dan pluralisme agama Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah sebab utama mereka hilang terus kepercayaan kepada PAS. 

Terdesak raih sokongan bukan Melayu 




Menyedari ia dan sekutunya tidak mungkin mendapat undi mencukupi untuk memerintah negara tanpa sokongan bukan Melayu dan melihat kejayaan formula Barisan Nasional (BN) dalam banyak pilihan raya umum pada dekad 1970-an, 1980-an dan 1990-an, PAS mengambil keputusan bersekongkol dengan DAP sejak 15 tahun lalu. Pada hal, PAS sebelum itu menunjukkan sikap politik yang anti-Cina dan India. Ketika menubuhkan PAS pada 1951, pemimpinnya menentang kerakyatan diberi kepada orang Cina dan dan India. 

Mereka mahu Kerajaan British mengetatkan undang-undang imigresen agar orang Cina dan India, masing-masing berjumlah 1.2 juta dan 270,000 ketika itu, tidak mudah berada di Persekutuan Tanah Melayu. Malah, PAS mahu pastikan tiada orang Cina atau India berjawatan menteri, ketua menteri, gabenor atau pegawai tinggi angkatan tentera (Baca buku Alias Mohamed, Malaysia’s Islamic Opposition: Past, Present and Future, 1991). 

Benci PAS kepada Cina dan India bukan setakat soal kerakyatan dan jawatan, malah melimpah kepada Melayu yang turut dianggap kafir kerana berbaik-baik dan bekerjasama dengan bukan Melayu. Dalam setiap pilihan raya sejak 1950-an hingga sekitar 2000, PAS melaung-laungkan bahawa orang Islam tidak boleh mengambil bukan Islam sebagai pemimpin. 
PAS melarang ahli dan penyokongnya memberi undi kepada calon Cina atau India kerana perbuatan itu seperti mengangkat orang kafir jadi pemimpin. PAS mendakwa UMNO jadi kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC sejak 1955. Apabila UMNO bergabung dengan parti lain menubuhkan BN pada 1974, apatah lagi apabila Tun H S Lee, Tun Tan Siew Sin, Tun VT Sambanthan dan Tan Sri Manikavasagam dilantik menteri Kabinet, pemimpin PAS memutarbelit maksud ayat 28 Surah Al-Imran. Dalam ceramah di seluruh negara, mereka menimbulkan istilah ‘kafir berikat’ yang ditujukan kepada UMNO. 

Sikap ekstremis PAS meresap ke dalam sistem pendidikan, organisasi dan pertubuhan. Di sekolah dan universiti, PAS tidak toleran dengan kaum lain dalam aspek agama dan budaya. Mereka membantah dan mengadakan demonstrasi apabila pelajar atau persatuan Cina dan India ingin mengadakan konsert, tarian naga/singa dan pertunjukan budaya. Melawat rakan Cina dan India pada hari perayaan, malah menghantar kad ucapan juga, dianggap haram. Dari segi pakaian dan pendekatan pula, mereka membezakan diri mereka dengan kaum lain. 

Sehingga 1980-an, ada penceramah PAS yang menjatuhkan haram kepada orang Melayu-Islam memakai tali leher dan kot. Ramai penganalisis sosial, psikologi dan politik berpendapat sikap benci yang melampau terhadap semua yang dianggap kafir dan taghut telah mewujudkan kumpulan pelampau dalam PAS. 
Dalam pilihan raya kecil Teluk Kemang dan Lunas (2000), PAS mendakwa jika undi diberi kepada calon India (MIC), itu ibarat menyokong kuil dan gereja. Menurut PAS, orang Islam wajib undi calon Islam (PKR) kerana itu menyokong masjid. 

Selama 50 tahun, wujud jurang yang lebar antara PAS dengan bukan Islam. PAS tiada tempat di hati orang Cina dan India. PAS juga tidak minat undi Cina. Di Kelantan misalnya, hubungan rapat pemimpin UMNO dan MCA-MIC dijadikan bahan cacian. PAS menggelar Pengerusi MCA Kelantan ketika itu Foo Chow Yong, sebagai ‘Ustaz Foo’ bertujuan mengejek UMNO kononnya berustazkan pemimpin Cina. 

Apabila Parti Semangat 46 mengilhamkan Gagasan Rakyat pada 1990 sebagai pakatan pembangkang untuk jatuhkan BN, PAS tidak mahu menyertai atas alasan tidak boleh bersekongkol dengan DAP. Mana boleh parti yang dipimpin ulama berkongsi kuasa dengan parti yang dipimpin orang kafir? Sekitar waktu inilah Karpal Singh mengeluarkan amaran melangkah mayatnya dulu jika PAS mahu menubuhkan negara Islam. Sebagai kompromi, diwujudkan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan Parti S46, Berjasa dan PAS manakala S46, DAP dan Parti Rakyat Malaysia berada dalam Gagasan Rakyat. 

Kuasa Allah dan kehendak-Nya, terbukti juga belang PAS akhirnya. Pada 1999, PAS menggadai prinsip yang dipegangnya selama ini dan berpakat dengan DAP dalam Barisan Alternatif kerana realiti politik. Ia terpaksa menelan semula ludahnya semata-mata untuk mendapat kuasa. Sejak 14 tahun lalu, PAS berusaha keras untuk menunjukkan ia lebih terbuka, melakukan pelbagai perkara yang tidak terfikir oleh ahli sendiri terutama penyokong di luar bandar, untuk menjatuhkan kerajaan BN yang bertunjang kuasa Melayu-Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan