Halaman

Isnin, 23 Disember 2013

Bank Dunia yakin prestasi kukuh sistem kewangan kita

Bank Dunia yakin terhadap sektor perbankan Malaysia dengan menyatakan sektor itu kini bersedia untuk mencapai pertumbuhan selanjutnya pada 2014 dengan prospek dan keuntungan yang kukuh. 

Pakar Ekonomi Kewangan Kanannya, Jose de Luna Martinez, berkata Bank Dunia menganggap Malaysia sebagai satu kisah kejayaan dari segi keterangkuman kewangan dan kualiti kawalan atur dan kawalan selia perbankan. 
Beliau yang juga Naib Presiden Pembangunan Sektor Kewangan dan Swasta, berkata Malaysia sedang berada pada landasan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan sistem kewangannya akan memainkan peranan penting dalam mencapai cita-cita itu. 


“Sistem perbankan Malaysia berkembang dengan pesat dalam tahun kebelakangan ini. 

“Ekonomi dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga lima peratus pada 2014, yang akan memberi peluang bagi peluasan bank, sama ada dalam pasaran domestik mahupun serantau,” katanya. 


Usaha BNM diyakini 
Beliau berkata, Bank Dunia yakin terhadap langkah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menangani risiko yang bakal timbul dengan berkesan. 

Malaysia menduduki tempat teratas dalam penerbitan Doing Business Bank Dunia dari segi kemudahan mendapatkan kredit bagi perusahaan kecil dan sederhana. 

Sementara itu, Moody’s Investors Service, dalam nota terbaharunya, memberikan prospek stabil kepada sistem perbankan Malaysia bagi tahun depan. 

Persekitaran operasi industri diberikan penarafan stabil, meskipun ada kebimbangan pinjaman isi rumah yang semakin meningkat, katanya, sambil menambah bank di negara ini tidak menghadapi banyak tekanan mudah tunai kerana kebanyakannya membiayai perniagaan masing-masing dengan menggunakan deposit. 

“Keuntungan juga akan kekal stabil bagi bank kerana pertumbuhan pinjaman dan pendapatan daripada yuran dijangka cukup kukuh untuk mengimbangi tekanan margin dalam sistem,” kata agensi penarafan itu. - BERNAMA

Didik jiwa elak boros


Kebelakangan ini, isu kenaikan harga barang menjadi bualan ramai pihak. Namun, kenaikan harga barang masih tidak memberi kesan terhadap sikap berjimat cermat dan bersederhana (wasatiyyah) dalam berbelanja. 

Walaupun harga barang dinaikkan, cara perbelanjaan dan penggunaan masyarakat kita masih tidak berubah. Jika berubah pun, ia hanya sementara waktu iaitu ketika harga barang baru dinaikkan.

Tidak dinafikan manusia mempunyai keinginan yang tidak terhad. Justeru, tidak hairan jika ada yang bernafsu besar untuk memiliki sesuatu di luar kemampuan. 



Kehidupan mereka seperti ‘lebih besar kerak daripada periuk’. Hasilnya pula, ‘biar papa asal bergaya’.

Sebenarnya, punca utama keinginan tidak terbatas ini kerana jiwa dipengaruhi nafsu yang mendorong kepada sifat mazmumah (terkeji) seperti ammarah, lawwamah atau mulhamah. Dengan ini, kemahuan mereka menjadi tidak terbatas dan sukar dikawal. 

Apabila kemahuan tidak terhad, tanpa rasa bersalah mereka boros berbelanja seperti ketika mengadakan majlis perkahwinan atau membeli-belah. Begitu juga ketika memperoleh ‘durian runtuh’ seperti bonus, hadiah serta kenaikan gaji.

Bagi mendidik diri daripada terus bersikap boros, kemahuan yang tidak terhad perlu dikawal dengan menghapuskan nafsu jahat dan menggantikannya dengan sifat terpuji (mahmudah). 
Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati. Apabila kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dikawal. Akhirnya, hal ini membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk memenuhi kemudahan hidup. 

Justeru, mereka tidak lagi boros berbelanja sehingga menyebabkan pembaziran. Amat mendukacitakan apabila pembaziran dilakukan ketika ada segelintir ahli masyarakat terlalu memerlukan bantuan seperti mangsa banjir di di Pantai Timur.

Islam tidak melarang umatnya membelanjakan harta dimiliki asalkan ia berfaedah serta mengikut peraturan ditetapkan syarak. Antara peraturan itu ialah membelanjakan harta mengikut keperluan, bukan kemahuan. 

Perkara ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan, ayat 67) 

Sifat bersederhana dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan harian penting. Islam mahukan umatnya pandai dan bijaksana mengatur perbelanjaan iaitu tidak boros, membazir serta tidak juga kedekut dan bakhil. 

Kebijaksanaan merancang perbelanjaan mewujudkan keseimbangan antara pendapatan dengan penggunaan. Di samping itu, cara berbelanja lebih terarah dan timbul sikap berjimat cermat. 

Berjimat cermat dan sentiasa bersederhana dalam perbelanjaan banyak mendatangkan faedah seperti kehidupan pada masa depan lebih terjamin, terutama ketika menghadapi kesusahan dan kecemasan. 

Bersederhana dalam berbelanja membolehkan kita mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT kerana ia sebahagian daripada tuntutan Islam. Pembaziran akan meninggalkan kesan buruk kerana perbuatan itu didorong oleh syaitan. 

Allah SWT berfirman bermaksud: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikan-Nya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang beriman antara kamu serta membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah) mereka tetap beroleh pahala yang besar.” (Surah al-Hadid, ayat 7) 

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27) 

Mereka yang bersederhana dalam perbelanjaan juga berpeluang menambahkan pahala melalui ibadah zakat dan sedekah pada jalan Allah SWT. 

Bersederhana dalam perbelanjaan amat dituntut dalam Islam dan biarlah setiap sen wang yang dibelanjakan bukan setakat memenuhi selera, tetapi matlamat yang ingin dicapai ialah mendapat berkat serta keredaan Allah SWT.

Komunikasi lemah gagal temuduga



Kelemahan resume, masalah komunikasi dan penampilan kurang memuaskan, antara aspek perlu ditangani graduan dalam persiapan mereka menghadiri temuduga. 
Pengurus Sumber Manusia Bank Simpanan Nasional (BSN), Syanorida Bahari, berkata tiga kelemahan itu menyebabkan graduan gagal mendapat pekerjaan dipohon. 

Ciplak resume internet Katanya, ramai graduan dikesan menciplak resume daripada internet, tanpa mengubahsuainya menjadi dokumen lebih menarik. 




“Walaupun memperoleh keputusan memberangsangkan, kegagalan menghasilkan resume yang bagus menyebabkan permohonan ditolak. 

“Tahap keyakinan yang rendah dengan masalah komunikasi turut mempengaruhi penemuduga. Ada graduan tampil dalam keadaan tidak terurus, menggambarkan personaliti kurang baik,” katanya ketika ceramah berkaitan penyediaan resume di Seminar Kerjaya Fakulti Petroleum dan Tenaga Diperbaharui (FRPEE) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini. 

Program anjuran Pertubuhan Kejuruteraan Gas UTM itu dirasmikan Timbalan Dekan FRPEE UTM, Prof Dr Khairul Sozana Nor Kamaruddin. Ia disertai 220 mahasiswa FRPEE, Fakulti Kejuruteraan Kimia, Elektrik dan Mekanikal. 
Syanorida berkata, resume perkara penting dan tanggapan pertama sebelum graduan dipanggil menghadiri sesuatu temuduga. 

“Resume perlu jelas, menarik untuk dibaca dan tidak sensasi dengan pelbagai warna, sebaliknya perlu padat bagi memudahkan penemuduga membacanya,” katanya.

Ku Li sokong usaha rasionalisasi subsidi

 Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyokong usaha kerajaan merasionalisasi subsidi bagi memacu perkembangan ekonomi negara untuk terus bersaing dalam era globalisasi.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan (1976-1984) bagaimanapun berkata, usaha untuk memperkasakan orang Melayu dengan pelbagai kemahiran dalam bidang ekonomi perlu disusun dengan lebih sistematik dan berkesan. 

Tengku Razaleigh berkata, perkembangan terbaru mengenai pembabitan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan korporat cukup membimbangkan, malah ada beberapa tokoh Melayu yang cukup ternama tidak mampu mempertahankan perniagaannya. 


“Matlamat utama yang harus kita sasarkan ialah meletakkan orang Melayu sebagai kaum yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan serta mampu bersaing tanpa dibantu kerajaan. Program khusus perlu disusun supaya ia dapat dilaksanakan secara berperingkat.

“Dengan cara ini, Melayu akan lebih merdeka, kompeten dan tidak akan ditelan oleh badai globalisasi. Sedikit demi sedikit, budaya subsidi perlu kita hakis dan mengangkat kemampuan orang Melayu untuk berdiri atas kaki sendiri,” katanya berucap pada Persidangan Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Ke-4 di sini, semalam.

Dominasi bukan Bumiputera

Turut hadir ialah Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang turut menganugerahkan Bintang Pahlawan Pribumi PERKASA sebagai penghargaan terhadap sumbangan Tengku Razaleigh dalam pembangunan negara. 
Veteran UMNO itu yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata, penguasaan orang Melayu dalam sektor korporat menurun, begitu juga dalam perniagaan produk halal yang turut didominasi bukan Bumiputera. 

Katanya, kesamarataan dalam penguasaan ekonomi adalah kunci utama aspek perpaduan kaum di negara ini dan keseimbangan dalam aspek ini akan menyegarkan perpaduan, tetapi jika sebaliknya, ia akan mengganggu kestabilan negara.

Sementara itu, dalam sidang medianya Tengku Razaleigh berkata, kerajaan tidak berupaya untuk mengelak peningkatan kos hidup di negara ini kerana ia bergantung kepada pasaran semasa.

“Kerajaan tidak boleh mengelak (peningkatan kos hidup)... ia bergantung kepada pasaran, tetapi kerajaan boleh mengawal bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang,” katanya.

DAP Dicabar Pemimpin KMPP

Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) mencabar kepimpinan tertinggi DAP membawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke mahkamah untuk mendapatkan perintah penyemakan kehakiman berhubung arahan dikeluarkan oleh pertubuhan itu mengenai laporan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Presidennya Rahmad Ishak berkata semakan kehakiman untuk mendapatkan satu perintah pengisytiharan sama ada pihak ROS mempunyai kuasa untuk menghantar surat kepada DAP  meminta parti itu mengemukakan laporan lengkap berkaitan pemilihan semula CEC yang diadakan dalam Kongres Khas pada 29 September lalu.

“Dengan adanya semakan kehakiman ini, dapat mengelakkan kritikan serta tohmahan yang tidak berasas terhadap pihak ROS oleh DAP.

“Saya percaya, sebelum ROS mengeluarkan apa-apa arahan bertulis, pihaknya juga telah mengambil kira kesan dari sudut undang-undang. Oleh itu, saya berharap pihak ROS perlu bertindak lebih agresif dalam mendaulatkan kuasa dan tanggungjawab mereka dengan memberi masa kepada DAP untuk mengemukakan semua dokumen yang diperlukan.

“Jika, pihak DAP terus berdegil atau tidak patuh kepada  had masa yang diberikan, maka  pihak ROS perlu menggunakan budi bicara melalui kuasa yang diperuntukkan membuat keputusan mutlak sekalipun tanpa prasangka terpaksa mengharamkan parti berkenaan,” katanya, dalam kenyataan media, semalam.

Beliau juga menasihatkan  Pengerusi Biro Undang- Undang DAP, Gobind Singh Deo supaya tidak mengkritik dan mendakwa ROS bertindak di luar batasan kuasa untuk menyekat kepimpinan DAP.

“Saya kira bukan sahaja pemimpin mahupun ahli DAP malah rakyat Malaysia ingin tahu mana satu pihak yang betul dalam isu laporan pemilihan DAP yang tidak lengkap.

“Daripada bersandiwara dengan episod mengkritik dan menggertak pihak ROS kononnya bertindak di luar batas, malah tindakan yang munasabah untuk memutuskan kesahihan perkara atau isu berkenaan secara waras adalah lebih penting,” katanya.

Empat hari lalu, Gobind Singh  mendesak ROS memberikan undang-undang yang digunakan oleh mereka  untuk menyekat kepimpinan DAP yang baru dipilih  daripada menjalankan tugas mereka.

Beliau meminta ROS jelaskan undang-undang yang diguna pakai untuk menafikan calon CEC.

“Laporan ROS yang kami hantar untuk pengundian semula adalah sama dengan tahun-tahun lalu yang selalunya diterima ROS. Ia tidak menjadi sebab mengatakan yang laporan itu kurang lengkap,” katanya.

Justeru, beliau memberi amaran kepada ROS agar bertindak dengan cepat bagi mengelak DAP mengambil tindakan undang-undang terhadap ROS.

Sebelum ini, ROS membuat aduan bahawa pengundian semula DAP tidak sah berikutan laporan yang dihantar ke ROS tidak lengkap.

Apa lagi Guang Eng,silalah jawab yer!!

Gurauan terima kasih Bangladesh dapat perhatian

Najib Tun Razak
"Saya pergi Bangladesh untuk ucap tahniah kepada 40,000 pengundi di sana." Gurau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-60, semalam.

Beliau menyentuh soal dakwaan pembangkang yang menuduh BN membawa masuk 40,000 pengundi Bangladesh ketika PRU13 lalu.

"Saya pergi ke Bangladesh untuk mengesahkan perkara itu.

"Saya minta Presiden Bangladesh kumpulkan rakyatnya di stadium sebab saya nak ucapkan tahniah pada 40,000 pengundi itu," katanya yang disambut sorakan perwakilan.

Najib turut melahirkan rasa kecewa apabila dakwaan pembangkang itu membuatkan rakyat percaya.

"Saya tak faham bagaimana rakyat kita boleh percaya dengan penipuan pembangkang itu.

"Apa kena dengan rakyat Malaysia sekarang ini?," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menafikan pembabitan rakyatnya dalam proses demokrasi di Malaysia.

Pembangkang memang suka mengada-adakan cerita.Mereka sahaja cuba nak buat havoc...

MCA lulus 7 resolusi tingkat pembangunan

Perhimpunan Agung Tahunan MCA (AGM) Ke-60  yang berakhir di sini hari ini, meluluskan tujuh resolusi merangkumi 13 perkara di bawah usul hal ehwal parti, politik, ekonomi, pendidikan, perlembagaan persekutuan, tadbir urus kerajaan, serta masyarakat dan kualiti hidup.

Resolusi berkenaan yang diumum Speaker Datuk Yik Phooi Hong dan diluluskan sebulat suara oleh 1,258 perwakilan itu antaranya menyebut semua anggota MCA perlu bersatu padu bagi menyokong sepenuhnya barisan kepimpinan baharu dalam menjalankan pembaharuan dan transformasi untuk meraih semula sokongan rakyat.

Bagi isu politik, perwakilan mengecam segala bentuk perkauman dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan atau mencetuskan kebencian antara kaum.

Berhubung isu ekonomi, perwakilan menyatakan sokongan terhadap beberapa langkah kerajaan antaranya melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan merasionalisasikan subsidi sebagai sebahagian usaha dalam proses transformasi ekonomi.

Bagaimanapun bagi GST, perwakilan meminta agar kadar enam peratus dikekalkan untuk sekurang-kurangnya lima tahun.

Selain itu perwakilan menyeru kerajaan melaksanakan dasar berdasarkan merit kerana ia adalah satu cara yang berkesan untuk menarik bakat dan membendung pengaliran keluar pakar.

Mereka turut menyeru kerajaan mengurangkan ketirisan dan pembaziran dalam kewangan supaya defisit negara dapat dikurangkan.

Bagi isu pendidikan pula, kerajaan diminta melaksanakan Sijil Peperiksaan Bersepadu dan mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan arus perdana di Malaysia.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan juga digesa lebih telus dalam syarat kemasukan ke universiti tempatan selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berdaya saing tinggi.

Dalam aspek Perlembagaan Persekutuan pula MCA mempertahankan perlembagaan yang menyatakan bahawa Islam merupakan agama persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, selaras dengan Perkara 12 (1), tidak akan ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, bangsa, keturunan atau pun tempat lahir.

Selain itu, bagi resolusi berkaitan tadbir urus kerajaan, MCA menyokong jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk mengkaji penyelewengan dalam sistem tadbir urus kewangan yang dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara.

MCA turut menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan menubuhkan Unit Pengurusan Integriti di semua agensi awam untuk menambah baik pematuhan prosedur selaras dengan usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membanteras penyalahgunaan kuasa dan menghapuskan gejala rasuah.
Dalam aspek masyarakat dan kualiti hidup pula MCA meminta Kementerian Dalam Negeri meningkatkan langkah pencegahan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang untuk menambah baik persepsi masyarakat terhadap mutu perkhidmatan polis. - Bernama