Halaman

Isnin, 23 Disember 2013

Bank Dunia yakin prestasi kukuh sistem kewangan kita

Bank Dunia yakin terhadap sektor perbankan Malaysia dengan menyatakan sektor itu kini bersedia untuk mencapai pertumbuhan selanjutnya pada 2014 dengan prospek dan keuntungan yang kukuh. 

Pakar Ekonomi Kewangan Kanannya, Jose de Luna Martinez, berkata Bank Dunia menganggap Malaysia sebagai satu kisah kejayaan dari segi keterangkuman kewangan dan kualiti kawalan atur dan kawalan selia perbankan. 
Beliau yang juga Naib Presiden Pembangunan Sektor Kewangan dan Swasta, berkata Malaysia sedang berada pada landasan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan sistem kewangannya akan memainkan peranan penting dalam mencapai cita-cita itu. 


“Sistem perbankan Malaysia berkembang dengan pesat dalam tahun kebelakangan ini. 

“Ekonomi dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga lima peratus pada 2014, yang akan memberi peluang bagi peluasan bank, sama ada dalam pasaran domestik mahupun serantau,” katanya. 


Usaha BNM diyakini 
Beliau berkata, Bank Dunia yakin terhadap langkah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menangani risiko yang bakal timbul dengan berkesan. 

Malaysia menduduki tempat teratas dalam penerbitan Doing Business Bank Dunia dari segi kemudahan mendapatkan kredit bagi perusahaan kecil dan sederhana. 

Sementara itu, Moody’s Investors Service, dalam nota terbaharunya, memberikan prospek stabil kepada sistem perbankan Malaysia bagi tahun depan. 

Persekitaran operasi industri diberikan penarafan stabil, meskipun ada kebimbangan pinjaman isi rumah yang semakin meningkat, katanya, sambil menambah bank di negara ini tidak menghadapi banyak tekanan mudah tunai kerana kebanyakannya membiayai perniagaan masing-masing dengan menggunakan deposit. 

“Keuntungan juga akan kekal stabil bagi bank kerana pertumbuhan pinjaman dan pendapatan daripada yuran dijangka cukup kukuh untuk mengimbangi tekanan margin dalam sistem,” kata agensi penarafan itu. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan