Halaman

Rabu, 15 Mei 2013

Sampai bila PAS sanggup diperangkap DAP


Kenyataan terbaru Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang kecewa dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu, bukan saja menggambarkan isu sensitif itu belum selesai dalam kalangan pakatan pembangkang tetapi menimbulkan tanda tanya siapa antara dua pemimpin itu bercakap benar. 

Karpal, pada sidang media di Pulau Pinang kelmarin, berkata adalah salah untuk menyatakan keputusan Majlis Syura PAS berhubung isu kalimah Allah diterima baik oleh bukan Islam termasuk pemimpin DAP. 
Beliau menegaskan tiada sebarang perkara dibincangkan berhubung isu itu pada pertemuannya dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Isnin lalu. 


Pemimpin veteran DAP itu juga berkata, Majlis Syura PAS tidak sepatutnya berpegang teguh dengan keputusan bahawa kalimah Allah hanya untuk orang Islam kerana ia bercanggah dengan pendirian pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Kenyataan Hadi bercanggah

Laporan akhbar sebelum ini memetik Abdul Hadi sebagai berkata, larangan ke atas bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu sudah selesai dan pimpinan atasan DAP juga menerima penjelasan berhubung perkara itu yang dibuat Nik Aziz dalam pertemuan dengan Karpal itu. 

Sebelum ini juga, Hadi, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan bersetuju bahawa kalimah itu boleh digunakan oleh bukan Islam. 
Kenyataan Karpal itu secara tidak langsung memberi gambaran seolah-olah beliau menuduh Hadi berbohong mengenai hasil pertemuannya dengan Nik Aziz, sesuatu yang pasti tidak dapat diterima ahli PAS atau mungkinkah Karpal tidak bercakap benar dan sengaja mengeluarkan kenyataan sedemikian untuk menguji sejauh mana kesediaan pemimpin PAS mengikut telunjuk DAP dalam mencapai matlamat pakatan pembangkang.

Tidak kira siapa bercakap benar atau berbohong, isu penggunaan kalimah Allah yang dihidupkan semula oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ini, hanya mengukuhkan kedudukan DAP sebagai ‘juara bukan Islam’ tetapi semakin mengikis rasa hormat umat Islam bukan ahli PAS terhadap parti yang mendakwa Islam sebagai dasar perjuangannya itu. 

Tindakan DAP yang tidak menghormati keputusan Majlis Syura PAS mengenai isu ini, turut mencalarkan maruah PAS di mata umat Islam dan penyokongnya.

Walaupun sebahagian ulama dan pemimpin PAS sendiri sudah mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai pendirian mereka berhubung isu ini, ia seolah-olah tidak diendahkan oleh pucuk pimpinan parti.


Rugikan PAS

Yang jelas percanggahan pandangan secara terbuka dalam kalangan pemimpin PAS dan meningkatnya bantahan umat Islam di seluruh negara terhadap DAP yang memainkan isu ini, tidak menguntungkan politik PAS walaupun untuk jangka pendek. 

Lainlah jika pucuk pimpinan PAS berpendapat penyokong mereka masih setaksub dulu sehingga sedia menyokong apa saja arahan pemimpin walaupun ia jelas memberi peluang kepada bukan Islam untuk mencemarkan kesucian kalimah Allah.

Jika benar andaian banyak pihak bahawa isu kalimah Allah ini adalah perangkap DAP yang mahu melaga-lagakan umat Islam/Melayu di negara ini untuk keuntungan jangka panjang politik mereka, ternyata parti itu sudah separuh berjaya. 

Percanggahan pendapat antara pemimpin Islam dalam pakatan rakyat dan dalam kalangan PAS sendiri mengenai isu ini menjadi bukti. Yang menjadi persoalan sekarang, sampai bila PAS sanggup diperangkap oleh DAP?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan