Halaman

Rabu, 27 November 2013

Pas Selangor setuju muzakarah dengan Umno

Dr Abdul Rani Osman

Pas Selangor bersetuju muzakarah antara parti itu dengan Umno dilaksanakan secara terbuka dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam, kata Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Abdul Rani Osman.

Beliau berkata sudah tiba masanya perbincangan antara dua parti utama orang Islam itu diadakan, apatah lagi umat Islam di negara ini sedang berdepan dengan pelbagai ancaman seperti isu lesbian, gay dan murtad.

Bagaimanapun, Dr Abdul Rani meminta muzakarah itu diadakan secara terbuka atau siaran langsung bagi mengelakkan timbulnya pelbagai isu dan spekulasi, terutama bagi kepentingan politik pihak tertentu.

"Kita ketepikan perbezaan politik dan saya setuju supaya kita mesti berada di landasan yang sama. Pas tidak mahu bersendirian berjuang untuk Islam kerana Umno perlu turut berada bersama kita.

"Pas Selangor melihat muzakarah ini menjadi penentu kepada nasib generasi akan datang," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Abdul Shukur Idrus berharap Pas ikhlas dengan muzakarah itu serta tidak menggunakannya untuk kepentingan politik, semata-mata untuk menakutkan DAP.

"Kita harap Pas ikhlas, jangan keluarkan kenyataan ini untuk takutkan DAP, untuk ugut DAP supaya tunduk dengan Pas. Apapun Umno berharap ini permulaan yang pasti untuk Umno dan Pas seiring dalam pelbagai isu melibatkan umat Islam," katanya ketika ditemui di tempat sama.

Muzakarah antara Pas dan Umno dizahirkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap pada sesi penggulungan Muktamar Pas di Shah Alam Ahad lepas.

Abdul Hadi berkata parti itu sedia bermuzakarah dengan Umno dalam usaha  melaksanakan pentadbiran berasaskan Islam dan ia perlu dilakukan jika Umno benar-benar ingin melaksanakan Islam.

Presiden Pas itu berkata parti itu mempunyai ramai tokoh dan pemimpin yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang untuk bermuzakarah dengan Umno demi kepentingan Islam. - Bernama

Mengapa Pas Selangor sahaja?bukan Pas induk?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan