Halaman

Rabu, 27 November 2013

Segerakan Muzakarah

Pas perlu mendahulukan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu bukannya ideologi politik parti itu bagi merealisasikan cadangan muzakarah dengan Umno, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Ketua Menteri Melaka itu berkata dalam bermuzakarah dengan Umno, Pas tidak seharusnya mencari pelbagai alasan dan meletakkan syarat bagi memastikan survival Islam dan Melayu terjamin pada masa hadapan.

Beliau berkata Pas perlu mencari titik persamaan dengan Umno pada muzakarah itu bagi memastikan perpaduan antara umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini semakin kukuh.

"Ketepikan segala perbezaan, segala ideologi dan duduk semeja bincang... tentukan objektif dan matlamat apa yang perlu diperoleh pada muzakarah itu dan jangan sekali-kali mencapah keluar," katanya kepada pemberita di luar
persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka di sini hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-59 di Shah Alam, Selangor Ahad lepas, berkata parti itu sedia bermuzakarah dengan Umno dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Ditanya tentang pengaruh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan mampu menjadi penentu sama ada muzakarah itu berlaku atau tidak, Idris berkata parti itu tidak seharusnya meletakkan kepentingan individu di hadapan kepentingan Islam dan Melayu.

"Muzakarah ini perlu dilihat pada kepentingan lebih luas, jangan lihat pada seorang sahaja, jangan kerana seorang tidak mahu semua tidak mahu ini tidak betul," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan